16.10.07

SEDIKIT MEMORI RAYA

Bismillah.

Saya memohon kekuatan untuk menulis semula.

Hari ini 4 Syawal 1428. Hari pertama bekerja selepas berhari raya. Alhamdulillah, sejak 13 Ogos yang lalu saya telah bertukar kerjaya daripada suasana penyiaran kepada perbankan. Moga Allah terus memberikan bantuanNya untuk saya terus hidup dalam agamaNya.

Hari raya kali ini sangat menyedihkan.

Hari pertama sahaja telah diuji dengan sakit2 dalam perut sebelum solat raya lagi. Seterusnya loya2 nak muntah. Badan lemah dan akhirnya raya disambut tanpa senyuman manis. Hanya sempat pegi ke 3 buah rumah dan satu majlis rumah terbuka, sepanjang raya baru ini.

Terengganu bukanlah negeri yang meriah menyambut Hari raya Eidul Fitri. Apa yang pastinya, keseronokan hanya dirasai pada bulan Ramadhan sahaja. Berbeza sekali daripada suasana di kampung saya, Teluk Sena, Perak.

Walau bagaimanapun, saya cuba juga mencari keriangan di celah2 kemurungan. Rasanya, inilah kali pertama saya beraya dengan loya, sakit perut dan akhirnya muntah pada malam harinya. Mujurlah ada sedikit kenangan "manis" pada siangnya untuk dijadikan memori raya kali ini. Sempat beraya dengan Ayah Chik di hadapan masjidnya. Juga sehari sebelum itu, sempat berbuka puasa dengan Ustaz Harun di "KL". Itu sahaja bekalan yang di bawa pulang ke Puchong, selain bergembira di rumah mertua.

Berbalik kepada suasana di Terengganu.

Poster berkenaan dengan babi dan Batu Burok hampir banyak dengan poster ucapan selamat hari raya. Di sesetengah tempat pula, poster perihal babi ini lagi banyak.

Kelihatan rakyat Terengganu sangat marah apabila sebuah demonstrasi mempertahankan ladang ternakan babi dilayan baik ( itulah sepatutnya ) tetapi perkumpulan untuk mendengar ceramah semasa dihambat dengan peluru hidup pistol pihak keselamatan. Jelas mereka sangat marah. Mungkinkah perubahan akan berlaku dengan insiden ini?

Malaysia ke ISS

Hari raya kali ini turut dimuatkan agenda "Malaysia ke ISS". Ia suatu pencapaian yang sangat mengkagumkan. Tidak kiralah sama ada ianya suatu perjalanan seorang angkasawan atau pelancong angkasa, ia tetap suatu pencapaian. Dalam hal ini, ia suatu yang sangat menarik.

Diharapkan ianya dapat memberi sumbangan bermakna kepada generasi masa depan Malaysia dan umat Islam keseluruhannya, bukan sekadar mencari nama dan publisiti, akhirnya negara menanggung kerugian wang ringgit tanpa pulangan bererti.

Dilapurkan bahawa negara juga akan berusaha untuk menghantar Kapten Dr. Faiz ke ISS. Beliau akan dilatih di NASA selama setahun supaya diikhtiraf oleh NASA sebagai angkasawan. Itulah yang sewajarnya, dan beliau perlu kekal lama di ISS untuk melakukan banyak kajian. Jika semuanya berjalan lancar, maka semua pihak harus mengambil kesempatan untuk penerokaan masing2, termasuk daripada kalangan para ulama. Carilah jalan untuk menunjuk laluan hidayah, walaupun di angkasa raya.

2 comments:

fadznida said...

Selamat kembali ke alam blog ustaz. Slamat berhari raya, moga ustaz sentiasa dikurniakan kesihatan bagi terus mendokong gerakan islam.

Elbaritii said...

Salam.

Syukran akhi Fadzli. Kalau sihat baru ni, memang ana nak beraya rumah enta. Sampai hari ini perut ana masih tidak stabil.

Blog enta pun lama dah ana tak kunjung. Tentu dah banyakkan tulisannya.