Setelah bergelar ayah, baharulah saya dapat belajar menyelami maksud sebenar seorang ayah. Selama ini, saya sekadar memuntahkan apa yang terkandung kekal di dalam kitab-kitab agama, ataupun buku-buku motivasi islamik, ketika memberikan ceramah di surau-surau.
Kini, banyak perkara yang saya pelajari, walaupun dalam tempoh empat hari usia anak kami.
Saya belajar betapa susahnya memahami kehendak seorang bayi kecil. Ketika meminta, apa yang mampu dia ungkapkan hanyalah tangisan dan rengekan. Melalui cerita orang yang perpengalaman, dia mahukan susu. Jika sudah dikenyangkan dengan susu, tetap masih merengek, apa lagi yang dia mahukan? Mungkinkah belaian seorang ayah, atau dampingan ke badannya? Mungkin juga mahukan keselesaan untuk melelapkan mata. Semuanya terpaksa diagakkan dan dicuba.
Saya juga belajar bagaimanakah menjadikannya selesa dalam berpakaian. Perlukah dibedung selalu atau tidak. Kenapakah tangan dan kakinya mesti disarungkan. Bagaimana menyelitkan kain lampinnya. Dan seterusnya....
Saya seterusnya mempelajari apa yang boleh dan apa yang tidak bagi seorang ibu, khususnya ketika masih di dalam tempoh pantang. Kenapakah perlu diurut siibunya dan bagaimanakah urutan itu dilakukan.
Saya juga belajar erti berkongsi pengetahuan, perasaan, kegembiraan dan kehendak. Anak ini anak saya dan dalam masa yang sama, dia juga cucu kepada ibu saya dan ibu mertua saya. Anak saudara kepada adik beradik saya dan ipar saya.
Dalam mencari nama anak pun sudah pening dibuatnya untuk menemukan dua idea suami dan isteri, apatah lagi jika sesuatu keputusan itu melibatkan ramai, saya, isteri, doktor, hospital, ibu, mertua, ipar dan ramai lagi. Maka saya perlu belajar dan beramal untuk memberi dan menerima. Jangan pula ada yang terguris dalam menyambut kurniaan Tuhan ini.
Semua ini saya belajar dengan agak mudah. Boleh diperolehi melalui pengalaman, peristiwa dan tunjuk ajar orang-orang yang sudah lama bergelumang dengan penjagaan bayi.
Tinggal satu sahaja lagi yang saya belum belajar daripada pengalaman dan peristiwa. Iaitu belajar mendidik minda dan jiwa si anak kecil ini, SECARA TERATUR.
Ini adalah merupakan bentuk pendidikan dan penjagaan yang paling penting bagi kita sebagai manusia. Dalam erti kata lain, makan, minum, pakai, berak, kencing, mandi semuanya difahami oleh semua yang bergelar ibu dan ayah yang berpengalaman, termasuk seekor ibu binatang.
Tidak dalam mendidik minda dan jiwa anak kecil. Tidak semua mengetahuinya. Hanya manusia yang 'bijak' sahaja yang akan mempastikan pendidikan ini berlangsung dengan baik dan di antara semua itu, hanya yang 'bijak beragama' sahaja yang akan mempastikan minda anaknya kelak, terbentuk dengan acuan agama dan jiwanya kental dengan pengertian ubudiah anak kecil terhadap Tuhannya.
Pengetahuan saya sangat kurang dalam perkara ini. Bermula daripada saat inilah, saya perlu terus belajar dan mencari, bagaimana menyempurnakan penjagaan dan pendidikan ke atas seorang anak kecil, walaupun masih seusia 4 hari sahaja.
Kerana, bermula dari sekarang minda anak saya akan terus dibina, jiwanya akan terus dibangunkan. Sayang seribu kali sayang, jika pengisiannya tiada beza antara manusia biasa dengan manusia yang beriman denganNya.
Moga-moga, kewajipan kami ibu dan bapa kepada anak kecil ini tertunai dalam mempastikan hadhanah terhadapnya sempurna...ameen.
No comments:
Post a Comment