17.3.08

Barisan Rakyat

8 Mac yang lalu merupakan hari paling manis sepanjang lebih 50 tahun sejarah pembangkang di Malaysia. Ia melibatkan satu transformasi besar-besaran terhadap pentadbiran 4 buah negeri di Semenanjung Malaysia.

Melihat 2 hingga 3 minggu ke belakang, juga satu senario sangat berbeza telah disajikan oleh kuasa rakyat di Malaysia. Kaum Tiong Hua dan India telah mula mununjukkan sokongan terbuka terhadap PAS, PKR dan DAP. Sesuatu yang lebih mengkagunkan apabila sebuah parti berteras agama seperti PAS mendapat sokongan luar biasa daripada kaum Tiong Hua dan India yang tidak beragama Islam.

Saya sendiri mengalami pengalaman luar biasa ini. Ketika kami berkempen di Puchong, jelas sekali sokongan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan dan jiran daripada kaum India. Pagar rumah mereka tergantung bendera bulan putih berlatar warna hijau. Ada kereta yang memasang bendera kecil bulan. Sokongan melalui suara dan hon kereta juga kedengaran. Ketika kami berselisih dengan kempulan kaum India yang mengiringi calon Parlimen Puchong P103, Gobind Singh Deo berkempen, kemesraan sesama kami yang masing-masing paparkan seolah-olah sudah lama berkenal rapat. Sedangkn inilah baharu kali pertama berjumpa.

Jelas, semuanya kerana ketidak adilan yang berlaku di Malaysia selama ini. Orang Cina rasa disisihkan, kaum India didiskriminasi, dan orang-orang Melayu menjadi mangsa politik jika tidak mengikut ideologi kerajaan yang memerintah.

Bagi kaum Cina, mereka melihat parti MCA hanya mengikut telunjuk pemimpin UMNO. Bagi orang India, MIC yang diketuai oleh Samy Vellu gagal mengukuhkan ekonomi rakyat warga India. Malah terdapat kes melibatkan saham Maika Holding yang menyebabkan hati mereka terguris dan hilang percaya terhadap kepimpinan MIC. Paling tragis ialah sikap keras kerajaan melalui pasukan Polis ketika menguraikan perhimpunan anjuran Hindraf di Ibu Kota beberapa bulan sebelum pilihan raya berlangsung. Semua ini mengundang marah rakyat berbangsa India.

Sejak itulah mereka mula mendekati pimpinan pembangkang. Mengharapkan suatu pembelaan yang tiada harapan akan diperolehi daripada BN. Samy Vellu gagal membela mereka. Kesempatan ini diambil sebaik mungkin oleh pemimpin pembangkang.

Bagi PAS, ia konsisten terhadap keadilan. Presiden PAS pernah menegaskan, PAS berasaskan Islam. Agama Islam menolak sama sekali tindakan kejam dan keras terhadap rakyat seperti yang berlaku. Pembelaan terhadap kaum minoriti India yang dianiaya mesti dilakukan. Namun, tidak semua tuntutan Hindraf dipersetujui oleh PAS.

Kenyataan berlapik ini, walau bagaimanapun tidak disenangi oleh beberapa NGO Islam. Mereka sedikit bimbang dengan beberapa tuntutan Hindraf yang dilihat agak melampau. PAS jelaskan lagi, Islam adalah agama yang adil dan membela semua pihak dengan adil. Namun PAS tidak akan tunduk jika terdapat usaha untuk menafikan Malaysia sebuah negara beragama rasmi Islam. Kepentingan Islam bukan sewenang-wenangnya boleh diperdagangkan.

Benarlah sikap itu. Keadilan yang cuba ditunjukkan oleh Islam melalui PAS telah menarik sokongan kaum itu terhadap parti ini dalam pilihan raya yang lalu. Lantas bergemalah dipelusuk negara laungan bahasa Tamil " makkal sethi " yang bermaksud 'kuasa rakyat'.

Kuasa rakyat inilah yang menyatukan Melayu sedar, Cina terpinggir dan India teraniaya untuk bersatu dan membentuk Barisan Rakyat lalu menerobos jaringan kukuh BN di beberapa negeri di Semenanjung.

Rakyat sudah lama teraniaya, dinafikan hak mereka dan dijadikan bahan permainan politik pembangunan BN. Namun mereka lupa rakyat semakin sedar. Rakyat sudah bangkit. Rakyat telah menunjukkan kuasa mereka.

PAS khususnya, selepas kemenangan ini, harus terus bersama rakyat dan buktikan rakyat tidak akan kecewa bersama PAS dan PKR serta DAP.

No comments: