8.4.08

Jangan Dua Cara, Dua Pendekatan

Zaid bin Thabit meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah 'alaihissolah wa salam telah keluar menuju ke Bukit Uhud, tiba-tiba sekumpulan manusia yang bersamanya berpatah balik ke Madinah. Situasi ini menyebabkan para sahabat Nabi berpecah kepada dua kumpulan.


Sebahagian mereka berkata wajar kelompok ini diperangi, dan sekumpulan lagi mengatakan tidak. Maka Allah Ta'ala menurunkan ayat ke 88 daripada surah al-Nisa'.

" Maka mengapa kamu terpecah menjadi dua golongan dalam menghadapi orang-orang munafiq, padahal Allah telah membalikkan mereka kepada kekafiran, disebabkan usaha mereka sendiri..."


Ayat di atas membawa pengajaran dan panduan yang besar dan banyak kepada kita semua, khususnya selepas mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya yang lalu.


Untuk menjadikan keseluruhan ayat itu sebagai panduan kepada apa yang ingin saya perkatakan adalah kurang tepat, kerana ayat ini menyentuh tentang golongan munafiq yang berada di luar garis aqidah Islamiah.


Saya cuma ingin mengambil panduan pertama daripada ayat tersebut, iaitu tegahan Allah Ta'ala terhadap orang mukmin ( sahabat Nabi ) daripada berbeza pandangan terhadap musuh mereka yang telah jelas memusuhi perjuangan, setelah mereka diberikan segala penjelasan dan kesedaran.


Sahabat Nabi saw belum lagi berbalah, atau tuduh menuduh serta bercakaran dalam mengambil tindakan, namun tetap juga ditegur oleh Allah Ta'ala lantaran menunjukkan dua sikap yang berbeza.


Teguran ini kerana sikap berbeza pandangan tidak seharusnya berlaku dalam menghadapi musuh ketat dan musuh dalam selimut yang boleh memusnahkan perjuangan Islam pada bila-bila masa sahaja.


Teguran ini juga diberikan lantaran mereka berada bersama-sama Rasulullah dan sudah pasti langkah yang terbaik ialah merujuk kepada baginda saw.


Teguran ini turut menggambarkan betapa perbezaan pendapat itu, walaupun di sesetengah keadaan dibenarkan oleh syara', tetapi dalam situasi sebegini boleh melemahkan kekuatan kesatuan para sahabat.


Bersempena dengan 30 puluh hari kemenangan PR dalam pilihan raya yang lalu, janganlah kita berbeza-beza perancangan dan pendekatan dalam menghadapi BN yang jelas musuh politik PR dan sentiasa mencari peluang untuk menghancurkan pakatan.


Peringatan telah dikemukakan oleh Presiden PAS dalam hal ini, ditambah pula contoh yang ditunjukkan melalui usaha mencari kesepakatan dan kaedah lebih baik dan harmoni apabila melakukan kunjungan hormat terhadap KM Pulau Pinang, hari ini.


Tentu menarik apabila melakukan lawatan pada tarikh genap sebulan kemenangan dicapai. Antara lain, Presiden PAS berkata: "Kunjungan hormat saya pada hari ini juga inginkan satu pendekatan bersama bagi menyelamatkan rakyat sekaligus membawa rakyat ke satu tahap yang membanggakan, " tegasnya yang juga Ahli Parlimen Marang, Terengganu.


Malah beliau turut memberi nasihat umum supaya semua pihak mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku selepas pilihan raya kesepuluh yang lalu.


Kata beliau dalam sebuah ceramah sebelum kunjungan, PAS khususnya akan lebih berhati-hati dalam Pakatan Rakyat kerana tidak mahu pengalaman lalu berulang yang akhirnya BN ketawa besar kerana dapat memerintah dengan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum ke-11.


Kesimpulannya, ketika kita masih lagi dalam situasi berjuang bagi memperjuangkan keadilan dan kebajikan rakyat, satu cara dan satu pendekatan yang dipersetujui bersama mesti diwujudkan. Wallahu a'lam.




No comments: