17.4.08

Streamyx Bermasalah dan Peralihan Kuasa


Selamat bertemu kembali.

Saya tidak dapat mengemaskini blog ini sejak beberapa hari lalu kerana masalah streamyx yang dialami. Baharu semalam sahaja ianya berjaya diatasi oleh pihak TM. Terima kasih walaupun agak lewat sedikit.


Sekarang sudah kedengaran dua riuh rendah gelombang kebangkitan rakyat. Pertama rakyat berbincang-bincang menyambut desiran ucapan Penasihat Umum PKR pada 14 April lalu yang yakin perubahan di peringkat kerajaan Persekutuan semakin dekat dan keduanya peralihan segera tampuk kuasa BN didesak oleh golongan akar umbi beberapa buah negeri, terbaru Selangor.


Rakyat yang memilih untuk bersama Pakatan Rakyat mahukan kuasa di persekutuan beralih daripada BN kepada PR. Mereka sudah jemu dengan penyelewengan yang berlaku. Sudah bosan dengan muka-muka lembik mewakili kerajaan Malaysia di arena dunia, gagal memahami kelembapan pemimpin BN mempertahankan rakyat selain kerana habuan poket dan nafsu sendiri dan rindukan keadilan yang benar-benar adil, yang berhak daripada semua pihak mesti mendapatkan haknya.


Bagi rakyat yang ingin melihat peralihan kuasa antara Pak Lah kepada Mohamad Najib dengan kadar segera pula, mengharapkan ia mampu menarik semula sokongan rakyat kepada BN. Mahukan kekuatan dan kestabilan BN dan kerajaan terus semakin pulih dan utuh. Mahukan perkongsian kuasa harmoni antara berbilang kaum di Malaysia. Mahukan juga Melayu terus terbela dan membela.


Persoalan kita ialah, yang manakah lebih memberi kebaikan dan faedah kepada kita sebagai rakyat yang memerhati dan mengharapkan kebaikan untuk diri, keluarga, penduduk setempat dan negara? Kemudian, yang mana pula bakal mengotakan janjinya dan yang mana sekadar meluahkan retorik kata-kata?


BN sudah ada rekod baik sebagai pemerintah negara dan juga rekod-rekod yang dibenci rakyat. PR belum membuktikan apa-apa selain bunga-bunga wangi di 4 buah negeri, jika tidak termasuk gemilangnya PAS di Kelantan. Kelantan sudah menjadi 'benchmark' yang baik buat PAS. Tetapi belum membuktikannya, masih di peringkat awal perjalanan di era baru PR ini.


Sahabat-sahabat dan para pembaca, marilah kita letakkan azam dan tekad untuk menjadi penggerak kepada kebaikan rakyat melalui pelbagai cara yang terbentang di hadapan kita. Semua kebaikan itu nanti adalah diharapkan berbetulan dengan apa yang dimahukan oleh Allah swt dan Rasulullah saw.


Siapa sebenarnya yang ditolak oleh Gabungan Ahli Umno Selangor? Pak Lah atau Khairy? Apakah dengan Najib, BN berjaya menambat hati rakyat?

No comments: