30.7.08

PAS : Antara Membetulkan Diri Dan Mengkritik Lawan

Semasa belajar dahulu, seringkali saya mendengar perbincangan berkaitan PAS dan jamaah Islam selainnya. Apa lebihnya PAS dan apa pula kurangnya PAS. Jika pemberi tazkirah di surau tempat saya belajar itu adalah naqib yang pro PAS, maka banyaklah jawapan yang digunakan untuk mempertahankan PAS yang hanya disebut sebagai "jamaah terbaik masa kini", kerana mustahil kalimah PAS digunakan secara terbuka ketika itu.



Hujahnya banyak, kepimpinan ulama, jamaah asal, syumul tanpa meninggalkan politik, tidak hanya ekonomi, libatkan sekali amar ma'ruf nahi mungkar dan lain-lain. PAS digambarkan ibarat satu bangunan kukuh dan terbaik buat masa itu. Alhamdulillah, itulah juga kepercayaan saya.

Apabila ditanya tentang kelemahan ahli dan tarbiah, banyak juga jawapannya. Antaranya, bersedia menerima sesiapa sahaja demi kebaikan ummah dan mereka akan melalui proses tarbiah PAS. Full stop. Itu dahulu. Sekarang, saya rasa banyak lagi kerja tarbiah yang perlu PAS ( secara keseluruhan ) lakukan. Itu tugas saya dan anda semua.

Apabila ditanya cara dan corak pemilihan kepimpinan PAS yang kurang teliti, terdedah kepada risiko memilih pimpinan yang kurang tepat, populariti menjadi asas pemilihan, campur tangan pengaruh luar, agenda peribadi, maka sehingga kini saya belum berpuas hati mendengar jawapan yang diberikan. Mungkin saya tidak berpeluang mendengar penjelasan terbaik, atau mungkin tiada lagi cara lain yang terbaik boleh dipraktikkan sebagai sebuah gerakan politik. Saya sendiri tiada idea selain apa yang sedia ada.

Ya, hal ini pernah dibincangkan antara saya dengan rakan rapat ketika baharu sahaja pulang dari Timur Tengah. Ketika itu, sibuk kempen pemilihan pimpinan PAS. Rumusan kami, nak naik kena pandai ceramah, ada gelaran profesional, atau aktif dalam parti selepas memegang jawatan besar di sektor awam atau korporat. Tak kurang juga jika rajin turun berdemo, alamat cepatlah naik ke atas.

Kami rumus secara mudah, tiada unsur tarbiah dijadikan kayu ukur. Mungkin kerana ianya sangat subjektif. Siapa tahu calon mana yang selalu ponteng usrah, jarang tahajjud dan tiada istilah tarbiah apabila pulang ke rumah bersama anak isteri. Memang sukar. Akhlak, nampak semuanya ok. Rekod jenayah, semuanya tiada. Itu tidak dinafikan. Tetapi harapan untuk membawa agenda tarbiah dan dakwah, sukar untuk dinilai. Kecuali jika calon itu seorang ulama atau ustaz yang dikenali. Tapi, tidaklah perwakilan mahukan semua AJK Pusat adalah seseorang yang berlatar belakangkan pengajian agama.

Apa yang kebanyakan ahli jamaah PAS mahukan, semua pimpinan membawa agenda dakwah dan tarbiah bersama jawatan dan tugasan khusus masing-masing. Sehingga kini, sejauh manakah agenda ini berjaya dikembangkan di dalam PAS? Kita semua boleh mula menilainya.



Dalam seminggu dua ini, PAS dilanda isu besar yang pandai diriuh-rendahkan oleh Umno. Pimpinan ikut terangkat dilanda ribut-ribut ini. Ahli ada yang sudah terpelanting, tapi tidak jauh. Pemerhati pula ada yang bimbang kepada kekuatan ribut-ribut tersebut. Ribut ini banyak puncanya. Dari dalam dan luar parti. Semuanya mesti dihadapi oleh orang PAS dan orang Pakatan Rakyat. Semuanya perlu tenang dan bijak bertindak, selepas masing-masing kelam-kabut.

Mungkinkah apa yang berlaku ini ada kaitan dengan tiga masalah yang saya bangkitkan tadi?

  1. Ahli kurang tarbiah
  2. Cara dan corak pemilihan pimpinan
  3. Agenda dakwah dan tarbiah


Saya tidak mahu mengulasnya secara langsung di sini. Saya serahkan kepada pembaca untuk membuat penilaian.

Selain ketiga-ketiga kelemahan yang dibangkitkan itu, terdapat satu lagi perkara yang ingin saya kemukakan di sini. Ia berkaitan dengan sikap ahli dan pimpinan yang suka mengulas kesalahan pihak lain, tidak pada diri sendiri. Maksud saya, pada parti sendiri. Saya cuba ingin bermuhasabah secara umum berkaitan sikap ini, yang pasti merugikan, jika berterusan.

Mungkin agaknya, salah satu strategi melemahkan musuh politik adalah dengan sentiasa memberi persepsi buruk tentang parti lawan kepada rakyat dan pengundi. Memang benar politik berkaitan persepsi, tetapi bukan keseluruhan politik itu. Ya benar, pimpinan PAS perlu selalu merangkakan persepsi positif bagi parti sendiri di tengah-tengah masyarakat. Tetapi tidak bagi membina persepsi negatif kepada parti lawan. Maksud saya, tidaklah kerja pimpinan hanya mewujudkan persepsi negatif itu. Bukannya kerja kita hanya membina persepsi. Hanya memburukkan lawan pula.

Apabila sikap itu berkembang, maka tiadalah idea bernas yang keluar daripada ahli politik melainkan menyalahkan Khairy, mengutuk Pak Lah kuat tidur, menghebohkan pemimpin Umno tidak boleh menjadi imam, membisingkan isteri-isteri mereka tidak bertudung, menyalahkan pengagihan kepada syarikat kroni, membuktikan penglibatan dalam rasuah dan penyelewengan, menuduh mereka membenci agama, dan lain-lain lagi.

Oleh kerana ini sahaja kerja kita sebelum ini, bilakah kita sempat mengkaji, meneliti, membahas dan mencerna idea terbaik untuk sebuah kerajaan yang diidamkan. Kita hanya suka menjawab 'berikan kami peluang mentadbir, tahulah kami melakukannya'. Wah, hebatnya kita mentadbir sebuah kerajaan yang mana kita langsung tiada pengalaman. Itu dahulu. Sekarang bagaimana? Oleh kerana masa kita banyak melihat kelemahan orang, maka kuranglah masanya untuk kita dahulu, bersedia bagi mentadbir pada hari ini. Kini, tahulah kita, sukarnya.

Bagi saya, itu bukan kesan paling saya bimbangkan. Tidak. Kerajaan yang ditadbir tidak hanya berdiri di atas bahu-bahu orang politik. Ramai yang tersedia membantu di kalangan penjawat awam.

Apa yang saya bimbangkan ialah parti. Jika selamanya kita melihat kelemahan lawan, di mesyuarat mengutuk Umno, di muktamar memperli Umno, di kedai kopi mengumpat orang Umno, di dalam ceramah mengulas kelemahan Umno, agaknya ada masakah untuk kita benar-benar fokus kepada menguatkan dan membetulkan parti?

Alhamdulillah, ramai yang sayang kepada parti, saya yakin. Malangnya ramai juga yang hanya sayang kepada Umno lantas rajin menyebut-nyebut kelemahan Umno, untuk dibaiki mungkin?

Kini, kita kelam-kabut apabila ribut-ribut melanda parti dan PR sekaligus. Masih lagi merasakan ianya perkara kecil? Secara peribadi, saya lihat ianya besar. Apa yang tersirat adalah besar. Ia berkaitan kelemahan dalaman yang memberi kesan kepada masa depan sebuah gerakan Islam.

Mahu menyalahkan Umno punca segala keributan? Oh..untuk membina persepsi Umno selamanya jahat?

Saya sekadar bertanya dan mengajak kita berfikir, benarkah kita jarang menumpukan kepada usaha menguatkan parti, memperbaiki kelemahan parti dan berjihad membuang segala kecacatan dalam parti, termasuk berani membetulkan kepincangan pemimpin? Saya memang tiada jawapannya. Jauh sekali untuk saya menyalahkan sesiapa. Saya sekadar mengajak bermuhasabah, sebelum, ketika dan selepas bermuqabalah.

No comments: