2.8.08

Orang Politik Jangan Bergantung Dengan Pakaian Jamaah.


"Ingat, jikalau bergerak biar di dalam gelap" pesan seorang pejuang gerakan Islam dan Melayu kepada teman-temannya sebelum memulakan permusafirannya ke luar negeri.


Apabila saya mendengar kata-kata itu, terus saya teringat kepada apa yang berlaku kepada gerakan Islam PAS baru-baru ini. Dianggap oleh sesetengah orang sebagai 'kerja gelap'. Ada juga yang memanggilnya 'bermain belakang'.


Saya pula teringat kepada apa yang berlaku kepada Rasulullah saw bersama salah seorang isteri baginda, ummul mukminin yang diredhai Allah, apabila mereka berduaan di dalam gelap, tiba-tiba ada sahabat baginda saw melalui kawasan tersebut. Maka cepat-cepat baginda menolak sebarang tanggapan negatif dengan memberitahu wanita yang bersamanya adalah isteri baginda. Sefaham saya cerita ini adalah sahih, namun tidak berjumpa pula rujukannya untuk mengesahkannya.



Persepsi

Dalam pesannya di atas, Hang Tuah barangkali memahami bahawa bukan setiap pergerakan itu mesti di dalam terang. Ada yang perlu digelapkan. Itulah perancangan.Tuah bijak, apabila menyatakan perkara itu kepada semua teman-temannya secara jelas lagi nyata. Semuanya faham. Semuanya akan sekata jika ingin bertindak di dalam gelap bagi menghapuskan musuh mereka.


Bagaimana jika kerja gelap mereka diterangkan oleh musuh? Terbukti itu suatu yang amat bahaya. Tuah yang berjumpa secara 'gelap' dengan Melor telah diterangi oleh musuhnya kepada baginda Sultan, lantaran Tuah dihukum pancung. Hukuman untuk orang yang melakukan kerja gelap amat buruk lagi hina. Itu tak apa lah, sebab memang Tuah bersalah.


Apa pula halnya jika kerja gelap yang betul atau berniat baik tetapi diterangkan oleh musuh untuk niat buruknya?


Rasulullah bersungguh-sungguh untuk mengelak daripada persepsi buruk para sahabat terhadap baginda, lantas dengan segera memaklumkan wanita yang bersama baginda itu adalah isteri baginda sendiri.


Rasulullah adalah rasul. Utusan kepada Tuhan sekalian alam. Siapalah di kalangan para sahabat yang sanggup menuduhnya bukan-bukan. Tetapi Rasulullah tidak hanya sekadar menggunakan kedudukannya untuk orang percaya, taat, thiqah dan husnu zhan begitu sahaja, cukup dengan pakaian jamaah itu. Tidak begitu. Baginda mengambil berat tentang persepsi orang, lantas tidak sekadar mengharapkan sahabatnya sahaja bersangka baik, baginda tampil segera menjelaskannya.


Membiarkan perkara itu tidak diperjelaskan, bermakna membiarkan persepsi buruk berterusan. Barangkali persepsi buruk itu akan muncul lama selepas itu, selepas mereka yang faham dan tahu telah tiada untuk menjelaskan.


Samalah seperti sikap baginda terhadap orang-orang munafiq di Madinah. Tidakkah Rasulullah boleh sahaja membunuh mereka yang layak dibunuh, kemudian naik sahaja ke mimbar dan menjelaskan kepada rakyat Madinah, mereka adalah orang-orang munafiq yang mesti dibunuh. Jika Rasulullah dipercayai ketika mi'raj, apakah yang ini juga sukar dipercayai? Tetapi Nabi saw amat menjaga persepsi awam lantas mengatakan " Aku tidak mahu manusia akan berkata Muhammad membunuh sahabatnya". Rasulullah amat bijak. Rakyat ketika itu mungkin akan berpandangan negatif kerana mereka tidak tahu kekufuran golongan munafiq tersebut, yang kufurnya di dalam gelap.


Saya cuba ingin mengaitkan antara kerja gelap, menggunakan kedudukan untuk 'memaksa' pengikut percaya dan persepsi. Orang politik jangan terlalu bergantung kepada pakaian jamaah, lantas membisikkan pada diri "ah...ahli-ahli akan taat dan percaya kepada pimpinan" lantas membiarkan terbukanya satu episod persepsi buruk ahli dan masyarakat terhadap mereka.


Ya, berapa peratus sahaja dikalangan rakyat Malaysia yang akan menggunakan pakaian itu terhadap pimpinan PAS, majoritinya akan menggunakan tanggapan masing-masing.


2 comments:

Amri Mat Saaid said...

Salam, Ustaz ni baye siape, rase macam kenai aje

http://www.telokbakong.com

Elbaritii said...

Salam.

Baye kat mana tuh. Kat sekolah ke kat mana? Kalau umur ada kat biodata tu. Boleh tengok hehe.

Mike ni duk Telok Bakong lagi? Buat kerja apa yek?