18.11.08

ISLAM BOLEH ATASI JENAYAH. MALAYSIA MAHU?

Harakahdaily semalam melaporkan, kerajaan enggan mengambil kaedah Islam bagi menyelesaikan masalah jenayah yang kian meningkat mutakhir ini.


Kenyataan tersebut dinyatakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Wira Chong Chee Heung kepada soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang) pada sesi soal jawab lisan sidang parlimen pagi ini.


"Kita tidak boleh buat sekali gus ala Kelantan kerana negara kita Malaysia ini majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama," katanya kepada sidang dewan.


Saya menafikan sama sekali dakwaan Timbalan Menteri tersebut yang kononnya Kelantan membuatnya sekaligus. Ia hanya alasan politik dan membuktikan kerajaan BN memiliki pemimpin yang sepakat ( wahdah al-fikr ) menolak penggunaan kaedah Islam sepenuhnya dalam menangani permasalahan jenayah di negara ini.


Kelantan masih berusaha. Ia berasaskan kepada kehendak yang betul. Ia telah memulakannya sejak 1990 yang lalu. Ia masih lagi melakukannya walaupun cabaran sepanjang jalan itu sukar. Ia berjaya dan gagal. Ada yang berjaya dibuat dan ada yang gagal kerana kekurangan kuasa. Jika Umno ada kehendak yang sama seperti PAS, apakah kita akan lihat Islam sempurna penguatkuasaannya di Malaysia? Insya Allah.

Tetapi, itu tidak mungkin berlaku, setakat bulan ini.


Apa yang penting ialah kehendak politik. Kehendak ini bukan boleh dibuat begitu sahaja oleh pemimpin negara, tanpa merujuk kepada kehendak parti masing-masing. Kehendak parti manakah di dalam BN yang hendakkan kaedah Islam dikuatkuasakan? Tiada, setakat bulan ini.


Saya tidak percaya kesemua pemimpin Umno menolak kaedah Islam. Tentu ada seorang dua yang ada kehendak seperti pemimpin-pemimpin PAS. Tetapi semuanya saya percaya tidak akan memperjuangkannya, kerana mereka berada di landasan sekularisme.


Seringkali kita mendengar isu masyarakat majmuk, kaedah pendidikan, tidak sekaligus dan kurang sesuai digunakan oleh pemimpin Umno, ketika mempertahankan sistem kehakiman dan perundangan yang wujud ketika ini. Kita bertanya kembali, apakah kerajaan sudah tiada pakar dan ahli akademik yang mampu mengkaji dan menangani segala isu yang dibangkitkan bagi membantu pelaksanaan kaedah Islam sepenuhnya? Jawapan saya, kerajaan atau negara memiliki begitu ramai pakar yang mampu menyediakan mekanisme terbaik kearah kehendak yang baik itu, jika hendak.


Pakar ini hendak buat atau tidak? Saya berkeyakinan mereka sentiasa hendak melakukannya, cuma ada yang tidak berapa hendak jika kerajaan tidak hendak. Atas kapasiti sebagai ahli akademik, mereka hanya membincangkan isu-isu daripada sudut akademik tanpa desakan yang konkrit ke arah itu. Mereka belum menyediakan proposal untuk diserahkan kepada PM sebagai satu memorandum tuntutan pelaksanaan kaedah Islam sepenuhnya bagi menangani jenayah di Malaysia.


Mereka adalah golongan yang hebat, berpengetahuan tinggi, terkenal di dalam dan luar, tetapi perdebatan dan muzakarah kaedah Islam sebegini hanya berlegar setakat universiti, dewan seminar, kertas naik pangkat dan seumpamanya.


Ketua mereka yang merupakan pakar-pakar akdemik ini pula bagaimana? Malang, kalau ketuanya juga berfikiran ala-ala Ketua Bahagian Umno. Saya yakin mereka yang merupakan ahli akdemik ini tiada kehendak politik, kerana mereka bukan orang politik tulen. Tetapi bagaimana "kehendak Iman"?


Ya, mereka sebagai orang akademik, sudah tentu menyerahkan segala kerja-kerja politik ini kepada orang politik. Itu betul. Mereka pula telah menjalankan kerja mereka sebaik mungkin. Mereka yang merupakan kakitangan kerajaan atau swasta, telah menyediakan segala-galanya, daripada sudut konsep dan pemahamannya ke arah itu.


Lihat sahaja di sini. Berpuluh pakar akademik dalam dan luar negara, bermula hari ini, berhimpun di Putrajaya bagi membincangkan isu-isu perundangan Islam dan konvensional serta perbandingannya. Apakah mereka ini tidak mampu menyelesaikan masalah-masalah yang selalu dirungutkan oleh pemimpin politik Umno? Saya yakin mereka boleh.


Tetapi, Ketua Hakim Negara dan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia yang hadir, berkehendakkah untuk kaedah Islam yang dibincang, dibentang dan diseminarkan ini dibawa ke parlimen untuk dijadikan Enakmen Perundangan Jenayah Islam Malaysia?

No comments: