14.2.09

UMNO BIADAB DAN DERHAKA


Artikel ini saya ambil dari Al-banjari online

Umno Biadab Dan Derhaka ( Bhg 2 )

Terjemahan bebas oleh: anakbulan dan disesuaikan untuk paparan di blog ABO

Penulis artikel: Huzir Sulaiman.
Sumber: Kolum Wide Angle, sisipan Starmag, the Sunday Star
Tarikh sumber: bahagian satu @ 06 April 2008
bahagian dua @ 20 April 2008
bahagian tiga @ 04 Mei 2008

Objektif artikel:
Bahagian(1) : melihat cabaran-cabaran terhadap raja-raja melayu sepanjang sejarah berkerajaan.

Bahagian(2) : menganalisis cabaran-cabaran terhadap raja-raja melayu selama beberapa tahun selepas kemerdekaan.

Bahagian(3) : merungkaikan kesan dari kebiadapan Mahathir terhadap raja-raja melayu pada 1983.



Husein Onn wariskan kebiadaban kepada Mahathir !

Awal tahun 1960-an Tanah Melayu ketika itu tidak menyaksikan kekecohan campurtangan raja-raja melayu dalam politik dan urusan pentadbiran walaupun dekad itu menggelegak dengan pelbagai peristiwa lain yang getir.

Walau bagaimanapun hubungan raja-raja dengan Kerajaan Perikatan masih baik dan saling memanfaatkan. Kedua-dua pihak bersatu suara mencari titik persamaan dalam menangani urusan perundingan dengan British pada 1956.

Kesudahannya raja-raja melayu berjaya dipujuk untuk menarikbalik bantahan mereka kepada cadangan memberikan kerakyatan kepada orang bukan melayu yang dilahirkan di Tanah Melayu. Gagasan ini dicetuskan oleh British, diperjuangkan bersungguh-sungguh oleh MCA dan MIC, dan diterima oleh Umno dengan keadaan trauma.

Namun saat-saat manis berbulan madu sistem raja berpelembagaan yang baru ini tidak bertahan lama.

Pada tahun 1981, apabila Mahathir menggantikan Hussein Onn sebagai Perdana Menteri Malaysia, suara istana kembali berkembang ke seluruh negara.

Sepanjang tempoh 1977-1983, peranan yang dimainkan oleh beberapa raja dirasai kesannya dalam arena politik, lebih hebat dari sebelumnya.

Menteri Besar Umno yang biadap !

Detik akhir pemerintahan Hussein Onn menyaksikan konflik beberapa orang Sultan dengan Menteri Besar yang berlaku secara terbuka. Pada 1977, Sultan Kelantan campurtangan dalam satu krisis yang berlaku disebabkan kekeruhan hubungan antara Umno dan Pas (ketika itu satu komponen BN).

Selepas kelulusan 'undi tidak percaya' terhadap Menteri Besar Kelantan dari Pas di DUN Kelantan, Sultan Kelantan cuba menangguhkan pembubaran DUN supaya seorang pengganti dapat dipilih di kalangan Adun Pas tanpa perlu mengadakan pilihanraya yang baru.

Kekecohan dicetuskan, dan dijadikan sebagai alasan oleh kerajaan persekutuan untuk mengisytiharkan darurat di Kelantan. Dalam pilihanraya berikutnya, Umno mengambilalih kuasa, satu keadaan yang cuba dielakkan oleh Sultan Kelantan.

Di negeri-negeri lain pun panas juga. Pada tahun 1977, Sultan Perak murka kepada Menteri Besarnya sehingga MB Umno itu terpaksa meletak jawatan. Pada 1978, Sultan Pahang menolak calon MB dari Umno, dan pada 1981, Sultan Johor menitahkan MB Umno meletak jawatan selepas 14 tahun memegang jawatan.

Mahathir yang 'anti-Raja' !

Tidak dapat dipastikan dengan jelas apakah sikap sebenar Mahathir terhadap raja-raja melayu apabila dia mula-mula memegang jawatan pada tahun 1981. Ketika itu, kuasa dan suara istana dirasakan di mana-mana.

Bagaimanapun, dalam tulisan 'Paradoxes of Mahathirism : An Intellectual Biography of Mahathir Mohd', Khoo Boo Teik menulis, "Mahathir bukanlah anti-raja sepenuhnya. Dia mengkagumi kekuasaan moden dalam kedaulatan Peter the Great dan Maharaja Meiji tetapi sikapnya amat buruk terhadap raja-raja melayu."

Khoo mencatatkan, "penghinaan Mahathir terhadap raja-raja melayu telah diluahkan secara terbuka dalam kritikan-kritikan dan sindirannya sebelum ini."

C.H.E Det (nama pena Mahathir di penghujung 1940-an) telah menafsirkan konflik antara raja-raja melayu dengan kepimpinan Umno pada 1949 sebagai konflik antara 'raja dengan rakyat'.

Pendiriannya kekal sehaluan dengan orang-orang yang berfikiran bahawa raja-raja melayu hanya mempunyai 2 pilihan. Akur kepada kehendak Umno dan penyokongnya atau berhadapan penentangan dari orang-orang melayu.

Umno paling biadap membolot kuasa !

Apa yang hampir pasti ialah Mahathir menyedari bahawa Sultan Perak dan Johor yang tidak tunduk kepada Umno adalah 2 calon paling kanan sebagai YDP Agong pada 1984.

Secara terbuka, baginda berdua menzahirkan autonomi istana dengan tindakan-tindakan yang memberi kesan kepada masyarakat awam.

Pada 1982, Sultan Perak menggunakan kapasitinya sebagai Ketua Agama Negeri, untuk meneliti 2 kaedah yang digunapakai dalam penentuan Hari Raya Puasa. Baginda memilih kaedah yang berbeza dari yang digunakan di seluruh Malaysia.

Bulan puasa berakhir sehari lebih awal di Perak pada tahun tersebut, menyebabkan kekalutan dalam perancangan perjalanan balik kampung dan menjadi satu percutian yang memberi tekanan kepada masyarakat melayu.

Tahun berikutnya, kedua-dua Sultan Perak dan Johor menggunakan kaedah yang berbeza dari Kerajaan Pusat. 2 negeri tersebut merayakan Hari Raya Aidilfitri sehari lebih awal dari negeri-negeri lain di Malaysia.

Sesetengah pemerhati menyatakan, keserabutan dalam menguruskan 'Hari Raya yang berbeza' telah menimbulkan nafsu Mahathir untuk memusatkan kuasa ke tangan Kerajaan Persekutuan.

Sultan Johor benci Umno biadap !

Memetik temubual dengan beberapa Menteri Umno, RS Milne dan Diane K Mauzy dalam bukunya 'Malaysian Politics Under Mahathir' menyatakan, "Krisis Perlembagaan 1983 berpunca dari laporan-laporan yang diterima Mahathir bahawa Sultan Johor telah bertitah dalam satu majlis, apabila baginda dipilih sebagai YDP Agong, baginda akan mengisytiharkan darurat tanpa persetujuan PM (unilateral). Dengan bantuan tentera, baginda akan membuang semua ahli politik Umno dari kekuasaan."

"Khabar ini menjadi mimpi ngeri kepada Mahathir kerana dalam masa yang sama tersebar kisah hubungan rapat antara Sultan Johor dengan beberapa pegawai kanan tentera. Panglima ATM Jeneral Tan Sri Mohd Zain Hashim telah mengkritik tindakan-tindakan Mahathir dan mempersoalkan di mana pasukan bersenjata meletakkan kesetiaanya."

Mahathir dan Umno derhaka, pinda perlembagaan !

Pada 1 Ogos 1983, Kerajaan Persekutuan membentangkan Rang Undang-undang (Pindaan) Perlembagaan 1983 di kedua-dua Dewan di Parlimen. Ianya telah diluluskan secara tergesa-gesa.

Ia membawa 22 pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan, termasuk 3 perubahan besar yang menggugat kedudukan raja-raja melayu.

Pertama, ia menghapuskan keperluan mendapatkan perkenan YDP Agong bagi sesuatu rang undang-undang sebelum boleh digazetkan sebagai undang-undang. Sebaliknya, ia memperuntukkan bahawa, jika YDP Agong tidak memberi perkenan baginda dalam tempoh 15 hari, baginda hendaklah dianggap telah memperkenankannya, dan undang-undang tersebut boleh dikuatkuasakan.

Kedua, ia memperkenalkan peruntukan selari yang menghapuskan keperluan mendapatkan perkenan Sultan untuk undang-undang negeri.

Ketiga, ia memindahkan kuasa mengisytiharkan darurat daripada YDP Agong kepada PM, yang tidak terikat untuk mendengar nasihat dari sesiapapun. Untuk rekod, sebelum pindaan ini dibuatpun, YDP Agong hanya bertindak mengisytiharkan darurat berdasarkan nasihat jemaah menteri.

Sekatan berita, Lim Kit Siang dan Aliran tentang Umno derhaka !

Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengarahkan sekatan penyiaran berita (press blackout) tentang rang undang-undang (pindaan) perlembagaan 1983. Walaupun berita mengenai kelulusan rang undang-undang itu disiarkan tetapi kandungannya tidak diketahui rakyat. Tentangan hebat pembangkang di Parlimen terutama perbahasan wakil DAP, Lim Kit Siang tidak disiarkan oleh media kawalan Umno.

Sepanjang 2 bulan berikutnya tidak ada apa yang dilaporkan. Akan tetapi di peringkat bawahan, suara-suara mempertahankan kedaulatan raja-raja melayu kedengaran di sana-sini. Ini menyebabkan puak liberal secara tiba-tiba muncul menentang peruntukan yang membenarkan PM mengisytiharkan darurat secara unilateral.

Pada 2 Ogos 1983, Aliran mengeluarkan satu kenyataan mengutuk rang undang-undang (pindaan) perlembagaan tersebut. Ia mendakwa pindaan yang dicadangkan membuka pintu kepada salahguna kuasa.

"PM diketahui sebagai seorang personaliti politik yang banyak terlibat dalam konflik dan kompromi politik kepartian. Tiada mekanisme perlembagaan yang dapat memastikan PM tidak akan menggunakan kuasa mengisytiharkan darurat untuk menindas mana-mana musuh politiknya."

"Sememangnya mustahil untuk menghalang seorang PM yang bernafsu besar dari bertukar menjadi 'supremo' selepas sesuatu darurat diistiharkan pada masa depan."

Malangnya kenyataan ini tidak dilaporkan oleh media kerana sekatan berita oleh JPM.

Derhaka Umno memeranjatkan Senu Abdul Rahman dan Tunku.

Dalam masa yang sama di luar pengetahuan umum, YDP Agong enggan memperkenankan rang undang-undang tersebut setelah menerima tekanan dari raja-raja yang lain.

Raja-raja melayu bertegas bahawa rang undang-undang itu bercanggah dengan Artikel 38 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa tiada undang-undang yang secara langsung memberi kesan kepada kemuliaan, maruah dan keistimewaan raja-raja melayu boleh diluluskan tanpa perkenan Majlis Raja-raja.

Raja-raja melayu juga faham sepenuhnya implikasi perundangan apabila perkenan diraja untuk sesuatu undang-undang dihapuskan. Ini bermakna, apabila ahli-ahli Parlimen telah mengundi untuk menghapuskan sistem beraja, Duli-duli YMM Sultan tidak ada kuasa untuk menghalang mereka.

Di belakang tabir ketegangan berterusan. Rakyat Malaysia secara umumnya hanya menyedari krisis yang berlaku selepas Oktober 1983 apabila Senu Abdul Rahman mengedarkan satu surat kutukan ke atas pindaan-pindaan tersebut. Ini diikuti oleh Tunku Abdul Rahman yang ingkar kepada sekatan berita JPM dengan menulis bantahannya di akhbar The Star.

Gordon P Means dalam 'Malaysian Politics : the Second Generation' menulis, " terdapat segelintir ahli Umno yang menentang pindaan ini. Banyak pihak dalam kerajaan yang tertekan disebabkan isi kandungan pindaan itu dan perangai konfrontasi yang digunakan oleh Mahathir kepada raja-raja melayu."

Krisis Perlembagaan lambang kebiadaban Umno !!

Beberapa tokoh dalam kerajaan mempercayai bahawa Mahathir mempunyai niat untuk bertindak lebih jauh dari apa yang telah dilakukannya.
Dalam transkripsi temubual 'K Das & The Tunku Tapes' Tunku dan wartawan veteran itu membincangkan topik ini. Banyak surat layang tersebar pada masa itu berkaitan cerita-cerita buruk tentang anak-anak Mahathir.

Kata Tunku: "Anda tahu orang melayu berpegang kepada adat, budaya dan tradisi. Saya menghormatinya tetapi Mahatir sebaliknya. Anda dapat lihat, niatnya adalah untuk merosakkan perlembagaan dan menukar negara ini kepada sebuah republik. Anak lelakinya bercakap secara terbuka di kalangan pelajar Malaysia di London bahawa ayahnya (Mahathir) akan menjadi Presiden Tanah Melayu yang pertama."

Kata Das: "Saya dengar anak perempuannya bercakap tentang itu dalam negara ini. Dia didengar bercakap sedemikian dalam satu majlis, tanpa menyedari di belakangnya ada seorang Tengku dari Negeri Sembilan yang terdengar perbualan itu. Kata anak perempuan Mahathir, sebaik sahaja pindaan perlembagaan ditandatangani, semuanya akan berakhir, kita akan menjadi sebuah republik."

Berlatarbelakangkan kecurigaan dan pengkhianatan ini, Krisis Perlembagaan merebak ke dalam masyarakat umum. Konflik bertambah panas dan tegang.

Dalam siri seterusnya, Wide Angel akan membincangkan perang propaganda dan penyelesaian kepada krisis ini. Juga menyusul, krisis-krisis lain yang melibatkan pengkhianatan Mahathir kepada raja-raja melayu.

**tunggu sambungan artikel ini !!


No comments: