29.5.11

Percaturan Dalam Persaingan Timbalan Presiden - II

Semalam, saya telah mencoret serba sedikit berkenaan Ustaz Nasaruddin dari kaca mata saya, ahli kerdil yang memandang dari jauh.

Alhamdulillah, saya bukan perwakilan. Pandangan saya sekadar pandangan biasa. Pandangan yang boleh diberikan oleh sesiapapun kepada sesiapa sahaja yang membarisi kepimpinan parti. Ya, sudah tentu ia tidak tepat berbanding individu yang sangat dekat dengan beliau. Tetapi itu bukan perbezaan yang boleh dilandaskan tika membicarakan soal politik dan persepsi orang jauh terhadap pemimpin.

Bila saya menyebut palitan pada abang yang dikasihi, abang Mat Sabu, bukan bermakna itulah hukuman muktamad ke atas beliau. Sekali lagi, ia sekadar persepsi.

Orang tahu, rapatnya beliau dengan semangat perjuangan gerakan Islam Iran. Bibirnya basah dengan nama-nama ayatullah. Semangat mereka meresap ke darah daging perjuangan Mat Sabu. Sehingga ada pula yang berani mengaitkan tokoh ayam tambatan PAS ini dengan amalan syiah yang banyak bercanggah dengan ahlu sunnah wal jamaah.

Saya percaya, jika beliau menduduki kerusi kedua PAS, ada pihak yang tersuntik bersemangat waja dan wira. Anak-anak muda dalam PAS pastinya. Pemimpin pertengahan yang mahu melihat reformasi besaran ala gerakan Islam dan perjuangan jalanan, sebahagiannya. Tiada tokoh PAS yang mantap seperti beliau.

Sebahagian ahli akan berhenti seketika. Benarkah ia akan memberi kesan positif tanpa ada sedikit negatifnya? Ahh, sesiapapun yang memimpin, sukar memenuhi kehendak semua orang. Tidak semua menerima cara presiden sekarang. Itu biasa.

Namun, dalam keghairahan pihak berkuasa agama menjejaki pengamal-pengamal syiah di negara ini, saya diam berfikir sendiri.

Lantas saya menyeru agar tokoh PAS ini mengisytiharkan beliau tiada kaitan langsung dengan syiah dan amalannya. Ya, kita tidakpun mengatakan dia sebegitu. Tapi masih ada perwakilan yang percaya. Ada yang ternampak atau terlihat sesuatu yang tidak menyeronokkan mereka.

Malah itulah yang terbaik demi parti tercinta. Jika beliau menang, dengan sedikit fitnah yang dihamburkan oleh lawan politik PAS, cukup mudah pihak berkuasa mengaitkan PAS dengan fitnah itu nanti.

Sejak bila Umno perlukan bukti untuk menuduh? Suatu ketika dulu, mereka cuba untuk mengaitkan pimpinan PAS dengan wahhabi dan lanjutnya dengan terroris secara tidak langsung. Alhamdulillah gagal.

Kini, mereka sedang merangka lagi. Itu pasti. Saya bimbang, "Timbalan Presiden ditahan kerana terlibat dengan majlis ahlul bait dan syiah atau tasyayyu'"

Langkah awal? Isytiharkan tidak berkait langsung, dari jauh dan dekat.

Bila isu ini dipatahkan, kita akan saksikan pemuda, muslimat dan pencinta perjuangan marhaen berdiri gah di belakang abang Mat untuk mengharungi arus perdana Putrajaya dengan semangat jihad dan kental. Allahu akbar.

Ayuh!

Percaturan Dalam Persaingan Timbalan Presiden

Perjalanan muktamar kali ini bakal menjadi perhatian dan pemerhatian luar biasa. Ramai yang mahu melihat dan menghayati percaturan PAS untuk PRU 13. Lebih ramai pula yang lebih ghairah melihat nasib dan tuah pimpinan kesayangan mereka dalam pemilihan parti yang paling sengit.

Mudahan, ia tidak memutuskan tali yang kental, meruntuhkan bata yang sedia tersusun dan mengeruhkan takungan air yang suci.

Presiden kekal menggalas jawatan nombor satu.

Jawatan Timbalan Presiden pula menyaksikan 3 nama besar parti bersaing. Sangat menarik. Sangat sengit, jika dibaca sebagai satu persaingan mengejar kedudukan, pangkat dan kelebihan. Dilihat menarik sahaja, apabila memahami persaingan sengit ini bukanlah perebutan sebenarnya, tetapi demi menyahut sokongan ahli akar umbi yang mahu melihat pemimpin pilihan mereka mengetuai perjuangan parti.

Apakah perwakilan akan terus bermain dengan isu kepimpinan ulama ketika mana pemimpin ulama sendiri mengiktiraf ulama adalah profesional dan profesional adalah ulama. Mursyidul Am tegaskan, perbezaan yang diperkatakan oleh media hanyalah mainan parti lawan. Begitukah? Undi akan menentukannya.

Katakanlah Mohamad Sabu menang sebagai Timbalan, manakala Naib disandang oleh Husam, Nizar dan Salahuddin atau Mahfodz. Begitukah gambaran lumpuh dan runtuhnya kepimpinan ulama dalam parti? Suatu pentafsiran lebih jelas diperlukan. Jika ini mengancam kepimpinan ulama, maka ulama mesti menegaskannya dengan suluhan yang sangat cerah. Terang di malam hari, juga di siang terik.

Jika begitu tidak mengancam kepimpinan ulama, maka bersediakah perwakilan memilih sedemikian dan melihat tiada golongan berpendidikan agama secara khusus dalam pucuk pimpinan, selain Presiden?

Saya secara peribadi, boleh menerima bukan ulama menduduki tempat kedua dan ketiga. Malah yang pertamapun, masih boleh diterima jika terpenuh segala syarat. Tetapi, syarat yang saya letakkan sendiri, belum kelihatan untuk membenarkan situasi itu.

Ustaz Nasa adalah pemimpin masa depan yang sangat berpotensi. Entah kenapa, sinarnya semakin malap. Terpalit dengan badi Umno? Beliau bertuah, kerana beberapa pemilihan yang lalu memihaknya. Tapi, kemenangan itu tidak dimanfaati sepenuhnya untuk menzahirkan kemampuan sebenar beliau sebagai orang nombor dua. Gagal membersihkan diri daripada kekotoran persepsi jamaher yang pelbagai di luar dan dalam parti. Seorang politikus yang gagal dalam media game, akan gagal dalam mempertahankan bintang politiknya. Kecualilah sekiranya sudah tiada bintang lain.

Untuk bangkit lagi, mungkin sudah terlambat. Sepatutnya persaingan yang lepas cukup memberi isyarat jelas, bangkit daripada palitan dan calitan. Tunjukkan gandingan mantap dan jadi pelengkap terbaik Tuan Guru. Ia tidak berlaku di mata ahli dan masyarakat. Itu zahirnya, walaupun hakikatnya, banyak yang telah disumbangkan. Sifir politik begitulah biasanya.

Saya memang mengharapkan beliau berbesar hati melepaskan persaingan jawatan dengan tidak bertanding setelah Tuan Ibrahim melakukan pusingan U. Walaupun mungkin dituduh pengecut atau kalah sebelum berjuang, itu lebih baik jika beliau bercita-cita ingin kembali pada masa depan. Bintangnya sukar dipertahankan lagi. Ulama mempertahankannya kerana dia dipanggil ulama. Bukan lagi kerana bintang. Juga bukan kerana harapan dan impian. Tapi sampai bila, orang bertanya.

Apa salahnya jika beliau mengumumkan percutian untuk melanjutkan pelajaran? Apa mungkin beliau beralih angin untuk memfokuskan kepada kerja baru? Selangor contohnya. Jadikan negeri ini sebagai tapak baru beliau. Mulakan dengan kawasan-kawasan berdekatan. Serdang? Hulu Langat? Putrajaya? Puchong? Pesuruhjaya?

Tambah pula seorang lagi calon adalah seorang tokoh ulama pula. Ini cukup memberi isyarat bahawa isunya bukan ulama. Isunya KPI yang telah diletakkan oleh ahli.

Namun, sama-samalah kita saksikan percaturan menarik kali ini. Mata kasar menjelaskan, ulama sendiri tidak mentafsirkan dengan jelas, kepimpinan ulama dalam parti.

Mohamad Sabu pula membawa palitan lama bersama pemilihan kali ini. Menarik juga untuk direnung dalam-dalam. Saya akan cuba memberikan gambaran-gambaran penting dengan andaian menang atau kalah beliau, insya Allah.