Assalamualaikum wrt wbt.
Setelah lama saya membuka blog ini, masih lagi belum berjaya menulis artikel untuk dimuatkan dalamnya. Buntu untuk menulis, lantaran begitu banyak isu dan peristiwa yang berlaku, sehingga sukar memberi fokus. Akhirnya, saya mengambil kesempatan terhadap perutusan Presiden PAS sempena Aidil Adha ini, untuk dimuatkan di sini. Kemudian saya akan memilih satu daripada banyak artikel Mursyidul Am PAS yang tersiar di Harakahdaily.net untuk mengisi ruang blog elbaritii yang masih baru dan mentah ini. Moga-moga ia menjadi permulaan terbaik bagi blog ini untuk terus menyumbang. Doakan saya dan blog ini. Terima kasih kepada semua pelawat dan pembaca. Wassalam.
PERUTUSAN AIDIL ADHA PRESIDEN PAS, 31 DISEMBER 2006.
" Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya mengucapkan Selamat Aidiladha kepada seluruh umat Islam supaya kita menghidupkan hari yang mulia ini dengan membangkitkan semula semangat, bersedia untuk berkorban segala nikmat yang diberikan oleh Allah SWT, mengambil contoh daripada Nabi Ibrahim a.s. yang menjadi contoh dan teladan kepada seluruh umat Islam.
Firman Allah Taala yang bermaksud: "Dan sesiapa yang tidak suka kepada ajaran agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim, dia adalah orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Tuhan memilihnya di dunia ini (menjadi nabi dan rasul) dan di akhirat nanti dia termasuk di kalangan orang-orang yang salih (yang mendapat martabat yang tinggi di sisi Allah). Ingatlah apabila Tuhan berfirman kepada Ibrahim: Serahlah diri kamu (yakni Islam), Ibrahim menjawab: Saya Islam, menyerah diri kepada Allah Tuhan semesta alam. Ibrahim memberi wasiat kepada anak-anaknya, begitu juga Nabi Yaakub (memberi wasiat yang sama): Wahai anak-anakku, sesungguhnya Allah memilih kamu satu agama iaitulah agama Islam, maka janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam yang sebenar." (Surah al-Baqarah: 130-132)
Apakah Islam yang sebenar yang dianut oleh Nabi Ibrahim a.s.? Iaitulah Islam yang berasaskan akidah tauhid, mengesakan Allah pada zat-Nya, sifat-Nya, hukum syariat-Nya dan segala perkara yang menjadi hak istimewa bagi Allah SWT dan menolak sebarang bentuk syirik, menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain pada perkara-perkara yang menjadi hak istimewa bagi Allah SWT dalam perkara ibadat, termasuk juga dalam perkara cara hidup yang diwajibkan mengabdikan diri kepada syariat Allah SWT sama ada cara ibadat, sunat, wajib, diri dan harta benda termasuklah juga cara hidup yang berkait dengan individu, yang berkait dengan makanan, pakaian, pergaulan.
Cara hidup yang berkait dengan keluarga, masyarakat dan negara, politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain mestilah berlandaskan syariat Allah SWT, tidak melakukan syirik dengan menerima cara hidup berlandaskan syariat dan hukum- hakam ciptaan manusia yang dinamakan ideologi, teori dan sebagainya kerana Allah SWT meluaskan perkara ini dengan firman-Nya yang bermaksud: "Adakah mereka itu mempunyai sekutu-sekutu yang lain daripada Allah Taala yang mengadakan hukum syariat dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah Taala." (Surah asy-Syura: 21)
Dalam perkara tauhid, menentang syirik ini, kita memerlukan islah dan tajdid, memerlukan pembaharuan kerana berlakunya perubahan masa dan keadaan. Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Perbaharulah iman kamu. Lalu para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimanakah kami memperbaharukan iman kami? Sabda Rasulullah s.a.w.: Perbaharulah iman kamu dengan lailahaillallah."
Dengan makna menegakkan tauhid dalam semua perkara, dalam ibadat dan seluruh cara hidup yang luas sebagaimana yang disebutkan tadi, mestilah berlandaskan kepada ajaran Allah SWT dan menolak segala bentuk syirik, yang lain daripada Allah SWT. Di mana kefahaman tauhid dan menolak syirik memerlukan pembaharuan. Pembaharuan supaya umat Islam sentiasa memahami bagaimana Islam adalah sesuai di sepanjang zaman. Islam boleh menghadapi perubahan masa dan tempat yang berlaku sepanjang kehidupan manusia.
Di sana ada perkara yang qat’iyat dan disebut dengan sawabit, yang tetap yang tidak berubah dalam perkara rukun- rukun ini, dalam perkara prinsip akidah, dalam perkara halal dan haram, dalam perkara yang diputuskan yang tidak berubah dalam kehidupan manusia. Dan di sana ada perkara yang disebut dengan mutaghayirat, yang berubah mengikut keadaan dan masa seperti cara bermesyuarat, cara mempertahankan umat dan negara, cara memberi penyampaian dan kefahaman kepada manusia di mana cara ini berlaku perubahan dalam kehidupan manusia. Agama membenarkan kita melakukan perubahan.
Apa yang menjadi masalah pada hari ini berlakunya syirik, menyengutukan Allah dalam perkara yang terang-terang dan nyata, yang dinaskan oleh Allah, mengadakan hukum sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah dan hilangnya semangat keyakinan kepada Allah SWT sehingga menjadi pergantungan kepada wang ringgit, harta benda, pangkat dan kedudukan, mengatasi keyakinan kepada Allah Taala.
Maka di sini menunjukkan adanya berhala baru yang dipuja oleh manusia di zaman kini iaitulah wang ringgit, bantuan kewangan dengan berbagai-bagai nama yang boleh merosakkan iman dan keyakinan seseorang kepada syariat Allah SWT, sanggup meninggalkan syariat kerana mengejar kewangan, kemewahan dan kesenangan dunia.
Kita perlu menyedari musuh-musuh Islam membiayai penentangan terhadap Islam melalui kewangan, melalui Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa dan berbagai-bagai agensi, gerakan-gerakan zionis antarabangsa yang menyumbang kewangan bagi menyesatkan umat Islam supaya menjadi murtad sama ada meninggalkan agama secara total ataupun meninggalkan syariat Allah secara sedikit demi sedikit, sebagaimana yang diberi amaran oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Kamu akan terikut-ikut dengan perjalanan ajaran orang-orang yang terdahulu daripada kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sedikit demi sedikit sehingga mereka masuk ke dalam lubang biawak, kamu akan ikut masuk sama. Lalu para sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Kristian, ya Rasulullah? Jawab Rasulullah s.a.w.: Maka siapakah?"
Inilah kefahaman yang perlu disampaikan kepada umat Islam terutama pada hari raya yang mulia, ketika kita menghadapi tokoh nabi-nabi dan rasul-rasul, Nabi Ibrahim a.s. yang menentang syirik dan menegakkan tauhid di mana seluruh umat Islam merayakan hari ini di samping jemaah haji yang berhimpun di Mekah.
Sebaik sahaja mereka memakai ihram, mereka bertalbiah menyahut seruan Allah yang bermaksud: "Ya wahai Tuhan, ya wahai Tuhan, tiada sekutu bagi-Mu. Ya wahai Tuhanku, sesungguhnya segala kepujian, segala nikmat menjadi milik-Mu, begitu juga pemerintahan menjadi milik-Mu, ya wahai Tuhan".
Mudah-mudahan dengan sepatah dua ucapan memberi pengajaran kepada kita.
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Terima kasih Tuan Guru.
No comments:
Post a Comment