1.1.07

Bukan Kelantan Baru

Seperti yang saya janjikan sebelum ini, berikut adalah tulisan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, seorang ulama politikus yang mahir memainkan mata pena beradunkan sumber al Quran dan as Sunnah dengan ketajaman akal fikirnya membaca realiti masyarakat Malaysia dan dunia. Baca dan renunglah tulisan di bawah ini:-

"Alhamdulillah. Dari jauh, saya mengikuti perkembangan di sekitar Konvensyen Kebebasan Beragama Dan Isu Murtad di UIA pada 29 November 2006 dengan penuh tekun dan minat. Apa yang disebut oleh Mufti Perak, Mufti Negeri Sembilan dan Ketua Hakim Syarie serta dua orang Pensyarah Undang-Undang dalam Konvensyen itu cukup saya kagumi.

Jika Dato’ Seri Harussani menekankan tentang pentingnya penggunaan kaedah psikologi untuk menangani orang yang murtad ini dimana mereka diberi tempoh 3 hari untuk bertaubat sebelum Hukum Had dilaksanakan, Dr Zulkifli Muda pula melihat fenomena murtad ini berpunca dari kegagalan umat Islam untuk menghayati Islam, selain daripada ibu bapa dan “pihak berkuasa” yang tidak mentadbir dan mengurus sistem Islam sepenuhnya. (Lihat Berita Harian 30 November 2006).

Jauh daripada bersifat sombong, sebenarnya sebarang jawapan kepada isu murtad pada asasnya terletak di bahu pemerintah. Selama ini, siapa yang diberi mandat untuk memerintah umat Islam dan non-Islam kalau tidak mereka dari jemaah Umno. Umno sudah berkuasa sejak hari pertama kita merdeka.

Yakinkan Hukum Had yang dianugerahkan oleh Allah SWT itu sebagai salah satu instrumen yang diwajibkan pelaksanaannya oleh Allahlah dan melihatkan Umno tidak berminat untuk melaksanakannya, maka Kerajaan Negeri Kelantan yang diberi amanah telah memikul tanggungjawab ini.

Kami bertungkus lumus berikhtiar untuk menderaf, membentang, membahas dan meluluskan sebuah Enakmen Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) sejak tahun 1993 lagi.
Malangnya, jauh dari dihargai, kami pula telah diherdik dan dihalang oleh sepucuk surat bertarikh 15 Julai 1994. Ia surat keras dari bekas Presiden Umno yang juga bekas Perdana Menteri Malaysia di ketika itu. Bunyi surat ini cukup tegas.

Ugutannya adalah : “Jika PAS cuba juga untuk menguatkuasakan undang-undang yang diciptanya yang sudah jelas bercanggah dengan prinsip keadilan dalam Islam, maka Kerajaan Pusat akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Kerajaan PAS.”

Setelah diancam dan kini sesudah 14 tahun, dan setelah kira-kira 250,000 umat Islam sedang tekun beratur untuk murtad; barulah timbul semula kesedaran kepada Hudud sebagai penyelesaian. Ini bermakna Kerajaan Negeri Kelantan yang mengguna asas Islam sebagai dasar telah 14 tahun berada di hadapan.

Sekaligus, ini membuktikan bahawa Islam itu sentiasa relevan. Perjuangan dan pemerintahan yang diasaskan kepada faham kebangsaan bawaan Umno ini sebenarnya telah membawa rakyat ke jalan mati yang penuh kekeliruan dan porak peranda.
Firman Allah (mafhumnya) :
“Dan mengapa kamu tidak beriman kepada Allah padahal Rasul menyeru kamu supaya kamu beriman kepada Tuhanmu. Dan sesungguhnya Dia telah mengambil perjanjianmu jika kamu adalah orang-orang yang beriman. Dialah yang menurunkan kepada hambaNya ayat-ayat yang terang (Al-Quran) supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya. Dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Penyantun lagi Maha Penyayang terhadapmu.” (Surah al-Hadiid, ayat 8 dan 9).

Sesungguhnya pengaruh kerajaan cukup besar terhadap rakyat. Jika murid meniru guru dan anak-anak diasuh oleh ibu bapa, maka rakyat pula akan terikut-ikut dengan bawaan dasar-dasar dan program-program yang diacuankan oleh pemerintah.
Umno/BN yang terus memerintah Malaysia tentu bertanggungjawab secara langsung ke atas bala fenonema murtad yang sedang menimpa umat terkini.

Entahlah. Saya lihat, rakyat seolah-olah sudah tiada tempat rujukan dan panduan. Kerajaan sudah gagal memberikan isyarat dan pedoman yang jelas. Lampu merah dan hijaunya sudah tidak lagi berfungsi dan tidak memberi apa-apa makna kepada sistem hidup rakyat jelata.
Dalam kehidupan seharian, rakyat sudah tidak dipimpin lagi untuk mengenali kaedah-kaedah halal, haram, sunat, makruh dan harus. Celik-celik mata, setiap pagi rakyat didorong untuk mengejar dunia tanpa disebut halal haram.

World class lah. Wawasan 2020 lah glokallah dan entah apa-apa lagi.
Semuanya bertolak dari dunia, demi dunia, untuk dunia dan keranamu wahai Malaysia. Lihat sahajalah Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini. Ia bagaikan sebuah pesta memuji pemimpin.

Seolah-olah semua orang diwajibkan mengusulkan ketaat setiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Presidennya. Jika berkata sesuatu yang berlainan seperti ucapan Presiden dan sekadar tidak berkualiti, maka siaplah.

Dalam konteks murtad ini, mustahil sistem pemerintahan sekular yang memisahkan agama dan pemerintahan tidak ada kena mengena dengan kelahiran generasi yang semakin tipis keimanannya di Malaysia. Mustahil!

Bolehkah subur iman rakyat dalam keadaan haramnya semua pemimpin untuk menyentuh soal pahala dan dosa, khususnya di musim pilihan raya?
Bagaimana iman boleh subur apabila pemimpin sendiri dilihat sanggup menipu, mengkhianati duit golongan fakir miskin dalam PPRT, berjudi sehingga kalah hampir 10 juta atau membina kediaman mirip istana berharga berjuta-juta dan berbagai-bagai lagi di tengah-tengah bangsal-bangsal buruk rakyat yang papa kedana.

Berita menyentuh rasuah yang melibatkan bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar yang dihukum penjara 11 tahun, misalnya tidak ada beza sangat dengan beberapa amalan rasuah yang menimpa bekas Presiden Umno sendiri di Kubang Pasu yang melibatkan pengagihan RM200.00 setiap sampul.

Apa yang nak dihairankan apabila bekas Naib Presiden Umno sendiri pernah dituduh mengandar wang tunai sampai berjuta ringgit ke Australia (dan sedang naik pula sekarang ini). Ada seorang lagi bekas Naib Presiden/merangkap Bekas Menteri Wilayah Persekutuan yang dituduh rasuah dan digugurkan jawatannya sejurus selepas pemilihan Umno dalam Perhimpunan Agung kira-kira 3 tahun lalu.

Hakikat tergelincir lagi kita dalam Indek Rasuah Antarabangsa ke tempat 44 membuktikan betapa penyelesaian secara Umno yang menggunakan kaedah kebangsaan sedang sesat dan tidak menemui jalan. Itu belum lagi disebut rompakan di Bayan Lepas, baling anak yang belum dipotong tali pusat dari tingkat atas rumah flat, bunuh dan bom isteri (?) seorang warga Mongolia dan memaksa 3 anak meneguk clorox sehingga mati di Kuala Lumpur.

Pendek kata, pihak yang sedang memandu negara kita ini telah lama membuang brek taqwa. Umnolah tukangnya. Apabila kerajaan sudah tidak ada brek, yang ada hanyalah pedal minyak.
Maka, kereta yang dipandu nafsu oleh kerajaan dan ditiru oleh rakyat ini sedang merempuh segala-galanya. Marilah kita sama-sama tenangkan diri dan cuba kita perhatikan dengan lebih serius apa yang telah, sedang dan akan dilakukan oleh pemimpin Umno ke atas agama dan masa depan bangsa kita.

Jika benar-benar kita kasihkan agama dan masa depan bangsa dan negara, maka mari kita sama-sama memikirkan alternatif kepada kerajaan. Sistem pemerintahan yang ada di Malaysia benar-benar memerlukan sebuah pemulihan yang menyeluruh.

Dalam keadaan kepimpinan Umno yang semakin lemah dan tidak berhaluan ini, Malaysia sudah sangat memerlukan seorang nakhoda baru yang berasaskan iman dengan Allah dan Hari Akhirat, berilmu, bertaqwa, cerdas dan cergas.

Takwa ini pula bukan hanya perkataan tetapi ia adalah ikrar yang terpaku di hati dan disaksikan dengan amal amalan. Demikian juga dengan dakwah. Tidak cukup dengan bercadang untuk mencari Al-Ghazali tetapi melupainya dalam setiap amalan pemerintahannya.
Firman Allah (mafhumnya) :
“Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedang kamu melupakan diri (kewajipan)mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berfikir?.” (Surah al-Baqarah: Ayat 44)

Saya sekarang sudah tidak lagi memikirkan soal Kelantan yang Baru seperti setengah-setengah orang yang gemar berkhayal. Yang kita sedang fikirkan ialah sebuah Malaysia yang serba baru, dipimpin oleh sebuah Jemaah bernama PAS dan BA yang serba segar.
Firman Allah (mafhumnya) :
“Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul diantara mereka, yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (As-sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata. Dan juga kepada kaum yang lain dari mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Jumu’ah, ayat 2 dan 3). - mr

(Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan, rencana ini disiarkan dalam Harakah edisi 1325 - Editor)"

Jazakallahu khairan katsiran...Tuan Guru.

No comments: