3.1.07
Peranan Seorang Ayah
Setiap kali memasuki musim haji, saya pasti akan beremosi mengenangkan pemergian seorang lelaki yang penuh berjasa kepada diri saya dan keluarga. Berjasanya dalam membesarkan anak-anak, mendidik sehingga menjadi manusia, dan berjaya. Juga berjasa terhadap isterinya, seorang ibu yang masih lagi gigih beribadah. Itulah hebatnya seorang yang bergelar ayah. Bagi saya, saya bangga memiliki ayah seperti itu. Ayahanda Mohamed bin Lebai Yusuf rahimahullah wa a'aafahu.
Ayah, dipertanggung jawabkan untuk mendidik anak-anaknya menjadi manusia berguna. Nabi mengajar kita dengan kenyataannya, " sebaik-baik manusia adalah yang banyak memberi manfaat kepada manusia lain." Bagi diri kita, siapakah yang paling berguna dan berjasa selain seorang ayah? Bukan menafikan peranan ibu, tetapi biarlah di sini, ketika ini, saya membicarakan seseorang yang berstatus ayah dahulu.
Ayah dianggap terbaik jika berjaya menjadikan anaknya boleh digunakan oleh manusia dan agama. Mendidik anak jantan untuk menjadi pejuang di siang hari, pendeta di malamnya. Membentuk anak gadis sebagai muslimah yang memegang erat amanah diri, keluarga, suami dan agama.
Maka, mudahkah menjadi seorang ayah? Persoalan yang tidak mampu saya jawab dengan terperinci. Tapi saya yakin, ia sememangnya sukar dan payah. Lantaran itulah, Allah Taala telah mengingatkan golongan beriman dengan fitnah memiliki anak yang boleh melumpuhkan sebuah keluarga dan sebuah perjuangan sekaligus.
Keluarga lumpuh jika anak-anak terabai dengan kesibukan kerja, malah kerencaman tugas dakwah yang dipikul, tetapi salah pembawaannya. Lebih menggerunkan apabila lumpuh dan runtuhnya sebuah perjuangan hanya kerana terleka membelai anak-anak di atas sofa ruang tamu, menonton bersama-sama perjuangan dua ekor binatang bergelar Tom & Jerry misalnya. Atau leka "menghidupkan" anak-anak dengan makan, minum, pakai, main dan rengekannya, sehingga cahaya perjuangan yang malap, semakin malap tanpa disedari. Maksud saya, perjuangan menegakkan Islam di mana-mana.
Seorang sahabat pernah melontar pandangan, tidak sedikit anak remaja yang rosak akhlaknya adalah, anak-anak kepada golongan ustaz! Aduh, memang menakutkan. Tetapi ada benarnya. Bagi golongan ustaz, jangan lupa bahawa anak-anak di rumah juga adalah golongan sasaran dalam berdakwah. Jangan dibiarkan tanpa bimbingan dan tunjuk ajar. Oleh sebab itulah, Allah mengingatkan bahawa anak itu adalah fitnah, iaitu ujian. Bukan fitnah dengan makna ia menghalang urusan dakwah, maka dibiarkan begitu sahaja asal kerja dakwah berjalan lancar. Fitnahnya ialah, jangan terabai anak itu dengan urusan lain, sehingga terencat agamanya, dan jangan ditatang begitu rupa seolah-olah itulah matlamat perjuangan hidupnya. Lupa agama dan umat Islam.
Memang sukar menjadi seorang ayah. Bagi kita yang telah berjaya menjadi manusia berguna, ingatlah, selepas rahmat Allah Taala, itulah hasil tangan seorang yang bergelar ayah. Bagi yang belum bergelar ayah, mungkin hikmahnya di sebalik ujian Allah itu, keringanan daripada satu bebanan yang terlalu berat untuk dipikul.
Alhamdulillah, saya pernah memiliki seorang ayah yang cukup istimewa, sebelum beliau kembali menyaksikan janji-janji Allah terhadapnya. Dan, suatu masa dahulu, saya pernah ketakutan kalau-kalau gagal mendidik anak-anak berlandaskan agama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment