5.1.07

Azam Baru : Wasiat 7

Apabila memasuki tahun baru, kebiasaannya seseorang itu berasa segar badannya dan jiwa pula bersemangat. Minda juga berlegar-legar merancang sesuatu. Mencari halatuju.

Ramai yang berazam untuk memperbaiki kelemahan sepanjang tahun sebelumnya. Cuba atasi kelemahan diri dan keluarga. Wang yang kurang, cuba ditambah. Rumah yang kecil, jika boleh diluaskan, akan diluaskan. Muka yang semakin berkedut, sambil menghitung usia, cuba-cuba ditutupi dengan pelbagai kaedah. Moden mahupun tradisional.

Tetapi semua tahu bahawa di awal tahun hanya ketika dan saatnya untuk berazam. Lakukannya, mungkin sebulan selepas itu, di pertengahan tahun, atau tertangguh pada tahun berikutnya. Biasalah, kita manusia.

Tahun ini lain pula ceritanya. Di samping berazam, ramai yang menghitung-hitung kemampuan kewangan keluarga untuk berhadapan kenaikan tol ( LDP- warga Puchong ) yang akan dilalui setiap kali pergi dan pulang kerja. Apakah minyak juga akan turut naik untuk kali ke berapa, entah lah. Gaji, harap naik, berharap tidak.

Saya fikir, ramai juga yang tidak terkesan dengan kenaikan tol ini. Kebiasaannya pergi balik RM2. ditambah RM1.20 pergi balik, baru setakat RM3.20. Jika didarab dengan 30 hari, baru RM96.

Tetapi, tidak bagi warga biasa yang keluar pagi balik tengah malam, keluar bersemangat, pulang keletihan dan kehampaan. Masih ramai di kalangan kita duit pendapatan akan habis pada tanggal 10hb setiap bulan, mungkin lebih awal. Apakah azam mereka yang begini pada awal tahun ini?

Di sini, saya cuba mengajak semua pembaca merenung tujuh wasiat Nabi Muhammad saw kepada Abu Zar yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, dan dinaqal oleh Imam Ibnu Kathir ke dalam kitabnya, Tafsir Ibnu Kathir, ketika mentafsirkan ayat ke-56 daripada surah Al-Maidah.

Mungkin ia boleh menjadi landasan keazaman untuk kita semua bagi berhadapan semua cabaran yang bakal ditempoh pada tahun 2007 ini. Terutama membantu sahabat-sahabat dan jiran yang masih dikira susah dan miskin. Lakukan apa sahaja, termasuk bersama-sama membantah dan menentang segala bentuk kezaliman terhadap golongan yang miskin dan tertindas ini. Mulakan segera, seawal 7 Januari ini, insyaAllah kita diberkati Allah.

" Daripada Abdullah bin As Shomit, daripada Abi Zar, beliau berkata : Kekasihku ( Muhammad ) saw mengarahkan aku dengan 7 perkara:

1.Menyuruh aku menyayangi golongan miskin dan mendekati mereka

2.Menyuruh aku melihat orang yang lebih rendah daripada aku, dan tidak melihat orang yang berada di atas aku

3.Menyuruh aku menyambung silaturrahim, walau aku ditinggalkan

4.Menyuruh aku tidak meminta-minta sesuatu daripada sesiapapun

5.Menyuruh aku menyebut kebenaran walaupun pahit

6.Menyuruh aku tidak takut kepada celaan pencela ( manusia yang menentang Islam ) untuk melaksanakan agama Allah

7.Dan menyuruh aku memperbanyakkan sebutan "LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH", sesunggahnya kalimah itu berasal daripada khazanah di bawah Arash."

Semoga tahun ini lebih baik untuk kita semua. Mudahan diperkenankan...

No comments: