18.10.07

BAGAIMANA CAHAYA AGAMA DILIMPAHKAN

Beberapa hari lepas, secara tidak dirancang saya telah menonton sebuah program televisyen di siaran ASTRO berjudul Expose ( kalau tidak salah ). Itupun di awal program sahaja. Ia memaparkan kisah seorang pelacur bernama Ina ( sekali lagi, kalau tidak silap, saya terlupa ).

Wajahnya tidak dikelabukan atau dikaburkan dalam program tersebut. Oleh itu wajahnya memang jelas dapat dilihat. Barangkali sudah tiada rasa malu padanya. Bukan kerana dia bangga menjadi pelacur, tetapi ingin mengambil peluang tersebut untuk muncul bagi menceritakan perihal dirinya yang menjadi mangsa bapanya sendiri.

Sejak pada usia sekolah rendah, beliau telah menjadi mangsa rogol bapanya sendiri. Setelah ditambah dengan kesempitan hidup, akhirnya tempat beliau adalah di belakang Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur.

Dengan bersungguh-sungguh beliau menceritakan segala-galanya.

Hati siapa tidak akan sedih mendengar kisah sebegini. Saya terdiam dan simpati, hampir menitiskan air mata. Beliau menjadi mangsa bapa sendiri, tiada wang untuk ke sekolah, memiliki ibu bapa yang miskin, dipaksa melacur dan akhirnya terus menjadikan pelacuran sebagai sumber untuk makan minum.

Tanpa menolak punca semua ini turut disumbangkan oleh kesilapan dirinya, kurang sensitif terhadap dosa yang ditanggungnya serta keputusan yang tidak tepat, saya merasakan beliau tetap dianggap sebagai mangsa kepada kejahilan+kefasikan bapanya dan juga mangsa kepada sistem kebajikan yang lemah.

Menyentuh punca pertama, saya kira sukar untuk diatasi secara drastik. Banyak pihak sebenarnya perlu berperanan. Jelas, masyarakat Malaysia sejak sekian lama telah diduga dengan masalah sosial sebegini, jika agama bukan tunjang kehidupan.

Dengan ceramah yang diadakan di surau dan masjid, saya pasti tidak sampai sepuluh peratus masyarakat Islam Malaysia mengikutinya. Bakinya bagaimana? Siapa seharusnya bertanggung jawab untuk membawa cahaya agama kepada mereka?

Mengharapkan pendidikan agama melalui program di TV semata-mata, ia ibarat mengharapkan seorang kanak-kanak lapar menahan rasa lapar ketika disuakan seketul ayam KFC yang sangat lazat. Pasti menahan lapar bukan pilihannya.

Berapa ramai sangatlah masyarakat kita akan memilih program Ehwal Islam di TV pada malam Jumaat setiap minggu, ketika berpuluh-puluh cenel lain menayangkan keseronokan?

Maka, sekali lagi kita perlu berfikir, siapakah yang seharusnya membawa cahaya ke tengah masyarakat ini. Jika dibiarkan berterusan, saya percaya, selepas 5 tahun sahaja daripada sekarang, beratus Ina akan dilahirkan oleh Kuala Lumpur. Bagaimana pula kisah pelacuran yang lain, selain daripada bentuk jalur hidup yang dilalui oleh Ina tadi? Bagaimana pula kisah pelacuran terhormat yang mendiami hotel-hotel mewah di Kuala Lumpur. Bagaimana pula pelacuran dan peleseran anak-anak remaja kita di bandar-bandar besar yang lain.

Semua ini sewajibnya membawa kita kepada satu persoalan, rahmatikah Allah terhadap masyarakat kita?

Saya menulis ini untuk sama-sama kita berfikir tentang bagaimanakah peranan kita dalam membawa agama di tengah masyarakat yang sebegini? Bagaimanakah cahaya agama ini dilimpahkan?

No comments: