17.10.07

NAMA DAN HARAPAN

Ammar, Bara'a, Usamah, Nidal, Bilal, Khalid, Ali, Faisal, Eyad, Ehab, Bassem, Ala'a, Emad, Ramiz, Yasser, Zeyad, Waleed, Faris, Adeel, Ashraf, Aydin, Emran,

Sebahagian daripada nama-nama di atas telah diberikan kepada saya oleh rakan sekerja dan bakinya adalah apa yang terlintas di fikiran saya sendiri. Kesemuanya dicadangkan untuk anak lelaki yang bakal dilahirkan oleh isteri saya.

Kami masih lagi belum memutuskan namanya. Mungkin agaknya hari ketujuh nanti baharu ia dapat dipastikan.

Begitulah agaknya manusia. Mudah untuk memberikan cadangan kepada orang lain, tetapi sukar jika ianya melibatkan kepentingan sendiri. Telah beberapa nama anak saudara, saya berjaya cadangkan, sama ada lengkap atau sebahagian sahaja daripada nama itu. Tetapi, apabila sampai kepada giliran anak sendiri, buntu.

Nama seperti Adib, Muhammad Ismi, Insyirah, Zatul Iffah, pernah saya cadangkan.

Isteri saya ada mencadangkan beberapa nama, tetapi saya pula tidak berkenan. Sebabnya pula agak remeh. Kerana nama kawan lama saya, nama orang yang dikenali, nama si anu dan si anu. Kalau boleh saya tidak mahu menamakan anak dengan nama orang yang dikenali dengan sesuatu yang negatif, atau ada kenangan negatif. Itu kalau boleh. Tetapi sudah tentu ianya sukar.

Dengan sebab inilah, saya buntu. Bimbang nama yang tidak sesuai kerana makna dan pemiliknya yang dikenali, saya sukar menentukan. Mungkin kerana anak ini belum melihat dunia, maka saya tidak terlalu tergesa-gesa menamakannya. Harap2 begitulah hendaknya.

Saya cuba meletakkan beberapa syarat sendiri dalam menamakan anak. Antaranya, ia tidak panjang dan mudah dipanggil dengan namanya yang lengkap. Selain itu, maknanya mesti baik dan kalau boleh nama para sahabat. Jika sukar mencari nama sahabat yang sedap dan pendek, saya akan selak nama-nama para tabiin, ulama sepanjang zaman dan masa kini. Semua syarat ini juga adalah untuk kebaikan anak itu sendiri. Biar dia besar nanti sentiasa dalam mengingati harapan abahnya terhadap dirinya.


Penantian yang lama

Bulan September lepas genaplah lima tahun kami menanti cahaya mata ini. Alhamdulillah, Allah tetapkan 5 tahun 2 bulan dan 10 hari sahaja tempoh menanti kami, jika berdasarkan kepada tarikh yang dicadangkan oleh Dr Adilah. Berbeza dengan beberapa rakan yang lain. Paling lama orang yang saya kenali menanti anak adalah bekas guru saya di Madinah. 19 tahun menanti cahaya mata. Tempoh yang boleh diisikan dengan bermacam-macam ujian hati dan perasaan. Mereka yang mengalaminya sahaja yang mampu merasainya.

Dikhabarkan kepada kami, jika genap 20 tahun tanpa menimang anak, beliau berhajat untuk mencari ibu kedua. Alhamdulillah, tak sempat.

Harapan

Harapan seorang abah untuk anaknya adalah jelas. Mahukan semua yang baik-baik. Itulah juga harapan saya. Mahukan dia meneruskan agenda saya yang masih belum selesai. Maka nama itu nanti akan bersesuaian dengan agenda tersebut, insya Allah.

Saya tidak pasti pula, apakah abah saya ada harapan khusus dengan nama Omar yang diberikan. Jika dilihat nama-nama adik beradik saya, hampir kesemuanya nama individu yang rapat dengan dirinya sebagai seorang muslim.

Mat Ali, Ismail, Sulaiman ( Shamsuddin ), Othman, Hamid, Zulkifli, Mat Radzi, Sharipah, Salamah dan Kamarazaman.

Jika abah saya mahukan saya menjadi seorang pemimpin yang beriman, hebat, tegas, berjiwa kepahlawanan kental seperti Saidina Omar, saya belum berjaya lagi. Tetapi, sepanjang hidup saya ini, saya anggapkan itulah harapan abah, dan saya terus berusaha ke arah itu.

Serentak itu, saya mahu anak saya juga sentiasa mengingati abah dan cita-cita abahnya, meneruskan agenda yang belum selesai. Mohon Allah sentiasa perkenankan…ameen!

No comments: