( 20 Oktober 2007 )
Hari ini merupakan hari yang lebih bererti bagi saya. Hari raya saya bermula pada hari ini dengan mengadakan ziarah ke beberapa rumah sahabat karib di Puchong.
Pada awal paginya, saya terpaksa menghantar isteri bekerja ke Bukit Damansara, Menara HP. Alhamdulillah, saya tidak bekerja pagi itu, malah belum pula mengisi perut dengan apa-apa makanan, maka bermulalah mencari "mangsa" untuk di ziarahi. Bermula dengan menghubungi Ustaz Sufian, rakan baik sejak di Madinah lagi, untuk sama-sama berpakat mencari rumah "mangsa".
Jenuh juga menelefon sahabat-sahabat yang sedia diziarahi pada pagi itu untuk mendapatkan persetujuan lawatan. Akhirnya mengena di rumah Haji Yusuf di Jalan Jurutera dan kemudiannya rumah Kapten (B) Meor di Puchong Utama. Ketika kami menziarahi Hj Yusuf, Meor yang telah bersetuju sebelum itu terpaksa bergegas meninggalkan Rejab untuk bersiap-sedia di rumah dengan mi gorengnya. Terima kasih kepada Kak Nor yang sudi menghidangkannya kepada kami.
Di rumah Haji ketika itu, kami cuma makan kuih-kuih raya sahaja. Memang itu hajat kami. Tidak mahu makan besar lagi. Apa yang lebih penting, kami dapat menziarahi sahabat yang boleh dianggap antara orang lama di Puchong. Mengetahui banyak sejarah lama Puchong, terutama suasana pengajian ilmu agama sejak dahulu hingga sekarang. Hj adalah antara individu yang rajin mengejar ilmu, walaupun sibuk membaiki kereta pelanggan di bengkelnya.
Dewasa ini, memang jarang sangat melakukan ziarah walaupun ke rumah sahabat baik sendiri. Puncanya ialah, bagi kami yang aktif dengan usrah, akan berkumpul setiap malam Sabtu, seminggu sekali, di Tadika Islam, Pasti. Pada malam-malam lain, kami sering juga ber"usrah" di restoran Rejab. Maka seperti tidak perlu ke rumah untuk bersembang dan bertemu muka. Begitulah hidup di bandar-bandar dan kota-kota ketika ini. Masa untuk bersinggah sebentar pada waktu petang selepas bekerja juga seperti tiada langsung. Berbeza sangat jika hidup di kampung2.
Sebenarnya, sebelum ke rumah Hj Yusuf, kami telah mengalas perut di sebuah restoran di Puchong Prima dan selepas itu ke rumah Meor pula, seterusnya menuju ke rumah Ustaz Nasir, maka tidak banyak mi goreng yang disediakan oleh Kak Nor yang kami makan.
Alhamdulillah, di rumah Ustaz Nasir kami berjaya mengumpulkan Meor dan Abang Ismail untuk makan dan ziarah bersama-sama.
Sambil makan kuih dan kuey teow goreng, banyak yang kami sembangkan pada jam 10.10am itu. Rasanya sudah setahun tidak mengunjungi rumah ustaz, maka pagi itu bolehlah dianggap kunjungan yang penting, mengunjungi seorang guru agama yang terkenal di Puchong, dan pejuang politik Islam di kawasan sebelah Puchong dan Serdang. Beliau juga agak dikenali di sebelah Klang, Meru dan Shah Alam.
Kami bercakap tentang kelebihan memiliki buku agama berbanding vcd agama atau komputer itu sendiri. Kelainan itu pada mudahnya membuat perbandingan antara buku-buku atau pandangan-pandangan. Kelebihan buku agama juga pada rasa 'nikmat' ketika membaca dan menghadapnya.
Selain itu, isu-isu politik dan semasa turut kami sentuh. Bermula dengan persoalkan bagaimana persiapan pilihanraya di parlimen Puchong, kemungkinan penyelewengan demi penyelewengan kami bentangkan, perhimpunan Bersih 100k pada 10 November kami bersama-sama berazam untuk jayakannya sehinggalah kepada penipuan dan rasuah besar di negara tercinta ini.
Saya cukup pelik jika isu2 besar negara ini dipandang ringan oleh golongan cerdik pandai dan profesional sedangkan orang-orang biasa seperti kami, sahabat seusrah saya, Haji yang bekerja di bengkel tadi mengambil peduli.
Perbincangan kami semakin meluas ketika kami semua mengunjungi Abang Amin selepas itu. Abang menceritakan keghairahan orang-orang Puchong menuntut ilmu agama daripada beberapa tuan guru yang berada di Puchong dan kawasan sekitar. Beliau dengan penuh bersemangat menyebut beberapa nama tuan guru yang aktif, ada yang telah ke rahmatullah dan ada yang masih lagi mengajar.
Kami juga bersembang sehingga menyentuh cerita berkaitan Almarhum Sultan Perak, Sultan Idris Shah yang pernah mengisytiharkan hari raya lebih awal untuk rakyat jelata Perak. Baginda merupakan seorang raja yang berjiwa rakyat dan memahami kesusahan warga Perak. Seterusnya tindak-tanduk Sultan Johor sehingga pernah memiliki pasukan keselamatan sendiri turut diimbau bersama. Abang Mail yang pernah menjadi anggota tentera udara Malaysia begitu ghairah menceritakan pengalaman beliau ketika bertugas di Johor. Banyak peristiwa telah berlaku antara beliau dan teman-teman satu kem dengan Sultan Johor ketika itu.
Bagi saya, hari ini merupakan hari raya pertama saya di Puchong. Syukur ke hadrat Ilahi, dengan perayaan ini, dan diikuti dengan kunjungan yang dilakukan saya dapat mengeratkan lagi hubungan dengan sahabat-sahabat, mendengar pelbagai cerita untuk mematangkan diri, dan akhirnya berkongsi idea demi kehidupan yang berterusan.
InsyaAllah saya akan menceritakan lagi pengalaman-pengalaman yang diperolehi sepanjang syawal ini, selepas ini. Sekarang agak sukar menulis, kerana ruang-ruang kosong yang boleh digunakan sangat terbatas. Kita jumpa lagi selepas ini...
No comments:
Post a Comment