Tanggal 20 September, adalah hari pertama saya memulakan kerja secara rasmi dalam pusat komersial dan membeli-belah Pavilion, Jalan Bukit Bintang. Kerja di sebuah bank memang penuh mencabar. Tanpa pengalaman dan ilmu perbankan, perdagangan dan kewangan, memang menjadikan kerja saya kali ini sangat menekan.
Saya perlu mengenal semua istilah perbankan yang berkaitan dengan kerja saya. Perlu praktikkan bahasa Inggeris yang semakin layu, terpaksa memahami sistem IT dan aplikasi yang digunakan untuk urusan operasi sebuah bank dan bermacam lagi yang sedang dipelajari.
Saya sudah mahir dengan proses membuka akaun, mengeluarkan buku cek, memantau akaun pelanggan, mengeluarkan kad ATM, serta sistem pemfailan. Selain itu, masih banyak lagi yang sedang dipelajari, termasuk tugas-tugas rakan lain yang berada di kaunter “teller”. Sebagai “CSE”, saya juga sedang belajar bagaimana melayani pelanggan yang sentiasa mesti dihormati, diberi kepuasan yang maksimum dan pergi dengan senyuman.
PELANGGAN JALAN BUKIT BINTANG
Oleh kerana cawangan saya terletak di jalan yang terkenal dengan kawasan hiburan dan tempat membeli-belah, maka pelanggan saya juga terdiri daripada pelbagai latar belakang. Melayu, Cina, India, Arab, Australia, Papua New Guinea, Eropah dan lain-lain. Karenah mereka juga berbeza2.
Pada hari ini, kami dikunjungi pelanggan dari India yang tinggi hidungnya, secara fizikal dan kiasannya. “Saya mahu tahu rate Dollar-RM hari ini.” “Saya mahu segera”. “Anak saya menunggu di dalam teksi”. “Tolong cepat, saya tergesa-gesa…” Huhhhh, pening sahabat saya Afiq, melayannya.
Muka ada gaya pelakon, bila disiasat oleh rakan, memang benar dia seorang pelakon. Aktres Bollywood bernama Namrata. Patutla hidungnya tinggi dan akhlaknya juga ditunjukkan dengan bentuk hidungnya. Kami fikir bukanlah kali pertama dia menggunakan Travellers Cheque, tetapi karenahnya bertanya berapa lama masa yang perlu diambil, seperti tidak tahu-menahu tentang itu.
Mungkin kerana kami tidak menyambutnya bagai seorang pelakon hebat, beliau mula tunjukkan rasa tidak senangnya terhadap perkhidmatan kami.
ARAB KAGUM DENGAN BAHASA ARAB SAYA
Saya juga pernah didatangi oleh seorang pelanggan wanita Arab Kuwait yang kehilangan kad ATMnya. Memakai baju a’bayah hitam berpurdah, beliau menceritakan masalahnya. Selepas dijelaskan apa yang sepatutnya beliau lakukan, dan apa yang kami mampu bantu, beliau tetap tidak berpuas hati sebelum bertemu dengan pekerja bank yang berbangsa Arab. Agaknya, dia kurang yakin dengan saya yang berwajah Melayu ini. Itulah kebiasaannya kalau pelanggan Kuwait datang dengan masalah.
Di celah2 kesibukan membantunya, sempat beliau bertanya kewarganegaraan saya, kerana kagum saya boleh berbahasa Arab. Tidaklah baik sangat, sekadar boleh berbicara dengannya dalam bahasa ibundanya di Kuala Lumpur , itu sudah dianggap hebat oleh beliau.
Apabila saya ceritakan kepadanya saya pernah belajar di Madinah, dalam jurusan Syariah baharulah beliau memahami situasi sebenar.
WARGA ARAB DI SEKITAR JALAN BUKIT BINTANG
Dulu saya merasakan Jalan Bukit Bintang ini mustahil akan menjadi tempat kunjungan saya yang kerap. Jika mendengar cerita negatif tentang jalan ini, cukup menjadi sebab orang-orang baik yang tiada kepentingan untuk mengelak daripada mengunjunginya.
Di sini ada segala macam bentuk hiburan, keseronokan, kemabukan, wanita, urutan, pameran pakaian menjolok mata dan lain-lain.
Tetapi untuk melabelkan jalan ini paling ‘buruk’ berbanding tempat lain di KL dengan mengaitkan semua perkara tersebut di atas, rasanya sudah tidak boleh lagi pada masa kini. Sebut di ceruk mana di KL ini tiada semua itu? Malah bandar-bandar di pinggir KL ini juga penuh dengan semua itu, seperti Puchong, Petaling, Cheras dan Gombak.
Tanggapan saya terhadap jalan ini juga telah semakin berubah. Bukan kerana saya bekerja di sini maka saya mensucikannya. Bukan juga kerana tempat lain kotor, maka jalan ini tidak dianggap kotor.
Kebobrokan di jalan ini tidak pernah hilang. Sebaliknya ia diserikan sedikit dengan kewujudan pelancung, pekerja dan pelajar Arab yang mundar-mandir di sini. Bagi saya, jalan ini berubah dengan kewujudan mereka.
Di sini sudah ada ‘Ain ‘Arabia, kedai makan Arab, kedai Malaysia bertanda tulisan Arab dan pelanggan Arab yang tidak sunyi membanjiri kedai dan pusat membeli-belah. Sekali pandang, seperti saya berada di lorong2 kecil sebuah kota Arab apabila melihat restoran milik mereka dan kedai2 bertulis Arab.
Seri yang saya maksudkan ialah, kewujudan wanita Arab yang berpakaian tradisi mereka dengan ‘abaya dan purdahnya. Ketika mana dunia memandang serong terhadap pakaian sebegini dan Islam itu sendiri, yang diterjemahkan oleh bangsa Arab yang paling ramai terlibat dengan keganasan tafsiran Barat, maka wanita2 Arab yang berpurdah ini boleh meredakan kebimbangan warga Malaysia yang non-muslim terhadap mereka, sekaligus Islam.
Mereka bermundar-mandir di Pavilion, KL Plaza, Lot 10, hotel-hotel dan kedai-kedai kecil dengan wajah tradisi, tetapi dilayan baik oleh peniaga-peniaga yang rata-ratanya non-muslim. Bagi mereka, rupanya pakaian ini bukan melambangkan keganasan.
Samalah juga suasana ini dapat diperhatikan di sekitar KLCC, Sunway Piramid dan beberapa tempat lain yang sentiasa menjadi tumpuan warga Arab.
Oleh itu, saya seringkali membayangkan, inilah sedikit rahmat yang dibawa oleh mereka ke jalan ini, sehingga saya sendiri sudah boleh menerima jalan ini sebagai tempat kunjungan harian, untuk bekerja, di siang hari.
No comments:
Post a Comment