12.11.07

CATATAN PERANG KUNING MASJID JAMEK 101107

Bismillah

( 10 Nov 2007 )

1200
Saya sampai di Bukit Jalil serentak bersama Yob dan Cikgu secara kebetulan, tetapi sudah pasti ketentuan Allah Taala jua. Kami sempat minum pagi di sana sambil diperhatikan oleh empat orang berperwatakan SB. Sedang makan, Yob mencadangkan strategi ditukar dan kami, iaitu saya serta dua lagi rakan lain bersetuju.
Arahan sms dikeluarkan, " tak perlu berkumpul di Bukit Jalil, pergi sendiri2". S/U Kawasan membalas dengan perancangannya ke Seri Setia bersama 30 yang lain.

1215
Ketika sedang bersarapan, kelihatan 4 pegawai polis tiba dengan kereta peronda. Kami mengambil keputusan untuk terus ke kaunter tiket dengan segera. Sedang menaiki LRT, awan sudah mula berarak mendung. Saya berdoa " Ya Allah, jika hujan ini baik bagi kami dan merugikan mereka, maka Kau turunkan hujan yang lebat pada hari ini".
Alahmdulillah, turunnya hujan ini merupakan bantuan Allah yang sangat jelas. Ia turun bersama rahmat pemiliknya.

Sampai di LRT Masjid Jamek selepas beberapa minit kemudian. Perjalanan lancar. Tiada sebarang pemeriksaan. Kami bimbang sebenarnya jika ada sebarang gangguan, kerana polis telah mencipta pelbagai masalah kepada peserta yang datang dari seluruh pelusuk negara. Bas dari Perlis ditahan.

Satu rombongan dari Pahang diarah balik semula oleh pasukan polis, sehingga mereka mengekori dengan kenderaan polis ke stesen tol. Tetapi sahabat-sahabat dari Raub ini tidak patah semangat, terus berpusing semula ke arah Kuala Lumpur. Biasanya mereka memakan masa 2 jam ke KL, tetapi kali ini tidak, berjam diambil pada malam Sabtu itu, dan pada jam 4am baru sampai di KL, ketika ahli Pas Puchong sedang nyenyak tidur.

Bas-bas yang datang dari Terengganu pula telah digeledah dan baju kuning semuanya dirampas.

Sementara Lebuhraya Utara Selatan menuju ke KL dari selatan sesak gila.
Beberapa 'road blocked' dilakukan. Paling menyebabkan kesesakan teruk apabila Jalan Istana ditutup. Dilaporkan, kesesakan PLUS sampai ke Nilai. Saya kurang pasti.

1245
Kami mundar-mandir di LRT Masjid Jamek. Menanti arahan serta azan. Bersama kami juga adalah kumpulan yang dipimpin oleh KUU, yang bertembung ketika menaiki LRT dari Bukit Jalil. Beberapa minit sebelum azan, baharulah masjid dibuka, kami solat dan bermunajat.



1330
Ruang hadapan masjid mula sesak. Kelihatan beberapa orang pemimpin berlegar-legar. Tiada seorangpun yang memakai baju BERSIH sebelum solat tadi, kecuali Dr Hatta Ramli seorang sahaja. FRU mula bergerak ke arah masjid. Selepas solat Zohor selesai, peserta mula menukar baju. Gelombang kuning mula membuak-buak di hadapan masjid.

Kami ditenangkan oleh pemimpin. Hati semakin meronta-ronta untuk bertakbir. FRU semakin hampir. Telah kelihatan 'water canon' dan cota keras. Dalam keadaan semakin tegang itu, corong suara mula dihidupkan. Dr Hatta memulakan taklimat.

Kami dimaklumkan, hanya boleh menggunakan seruan "Allahu Akbar" dan "Daulat Tuanku". Kamaruzaman, Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan menerangkan langkah-langkah keselamatan. AlFadhil Ustaz Tuan Ibrahim berdoa mohon perlindungan, kekuatan dan kejayaan daripada Allah, Tuhan yang Maha Adil.
Kami aminkan dalam kesangatan bersemangat dan keghairahan menempuh apa sahaja.

Dr Hatta menjelaskan beberapa kali, " Jangan keluar lagi, kita hanya akan bermula pada jam 1410 sahaja!"

Namun di luar ada satu kumpulan kecil yang mula berteriak reformasi. Saya tidak pasti apakah peserta atau pelaku provokasi. Mungkin mereka menjadi punca tembakan awal dilakukan oleh FRU.

Selain daripada kumpulan di Masjid Jamek ini, beberapa posisi lain juga turut menjadi tumpuan peserta perhimpunan.
Sogo, Masjid India, Masjid Negara, Pasar Seni dan kawasan-kawasan sekitarnya.

Peserta dari Selangor sebenarnya diarahkan berkumpul di Masjid Jamek. Bersama kami ramai pasukan Unit Amal Negeri Selangor.



1415
Jam telah melebihi tempoh yang ditetapkan. Tiada sebarang arahan dikeluarkan. Saya fikir mungkin pemimpin menunggu isyarat Unit Amal yang telah menunggu lama di luar masjid. Mereka tidak bersolat di dalam masjid, sebaliknya di tepi sungai berdekatan HSBC. Satu strategi supaya boleh bertindak jika kami dikepung anggota polis di dalam masjid itu.

Rakan-rakan peserta mula bergerak. Kemudian masuk semula. Keluar semula secara berkelompok. Ada yang sudah tidak tahan untuk menjerit. Bunyinya seperti sahabat dari Kelantan. Apa tidaknya, beratus kilometer datang untuk menunjuk rasa, mana boleh tahan dengan kelibat FRU yang tidak diundang itu.

Ketika kami bertakbir dan berdaulat tuanku, tiba-tiba loceng dibunyikan.....

Tanpa berlengah lagi...kami menerima habuan pertama. Tiada rundingan, tiada belas kasihan, tiada langsung pertimbangan untuk melihat kami bergerak secara aman.

PM Pak Lah menegaskan di kaca televisyen, polis terpaksa mengawal keadaan daripada merugikan rakyat. Cuba kita semua berfikir, apakah Kuala Lumpur akan lumpuh jika kami memenuhi Dataran Merdeka secara aman dan berarak pula ke Istana Negara.

Selama ini, berpuluh kali Dataran Merdeka dipenuhi ribuan manusia untuk menyaksikan pelbagai persembahan, tidak pula membimbangkan polis. Menyambut Hari Kebangsaan, kereta berhias, larian Kuala Lumpur dan bermacam acara lagi, apakah ia merugikan negara dan mengancam keselamatan warga Kuala Lumpur?
Itulah juga yang kami ingin lakukan.



Tembakan pertama dilepaskan oleh water canon di luar masjid. Ramai bertempiaran lari. Ia amat mengejutkan. Tiada pilihan melainkan menderita pedih.


Kedua pula dihalakan ke pagar masjid. Gila punya FRU. Kami tiada cara untuk melarikan diri. Saya berada dekat dengan pagar depan masjid. Tiada tindakan selain berserah, tunduk dan muka terus merah, mata pedih, badan gatal, menjerit mencari air dan garam.

Paling teruk sahabat yang berada di tepi kanan pagar. Sahabat saya dari Subang antara yang menjadi mangsa tepat tembakan itu. Ada yang sudah hampir muntah-muntah. Terdapat warga Inggeris yang turut menjadi mangsa.

Alhamdulillah, beberapa minit sebelum itu hujan turun dengan lebatnya. Saya yang tiada bekalan air, berlari ke belakang dan menyapu air pada cermin kereta di laman hadapan masjid untuk menyapu pula ke muka. Jika tidak, bahan asid tadi mungkin memasuki mata.

Saya lihat Ustaz Soffiean turut mengalami kepedihan dan gatal-gatal. Begitu juga semua ahli rombongannya. Saya sempat meminta garam dari Ust Azzuri ketika keadaan agak tenang seketika.

Memang anggota Unit Simpanan@FRU sangat bodoh apabila menembak ke arah masjid untuk menyuraikan perhimpunan kami, kononnya.
Apa mereka mahu kami terjun ke sungai! Mana ada jalan keluar lain. Kalau mahu kami bersurai, bukan dengan menembak kami dari arah pintu pagar.

Perundingan berlaku antara Unit Amal dengan polis. Unit Amal mendakwa kononnya kami akan bersurai.
Namun itu satu taktik sahaja.

Kami keluar beramai-ramai ke arah Jalan Tun Perak. Semua berkumpul dengan menghadap ke arah Dataran Merdeka. Kami bersiap untuk bertempur secara aman dengan FRU bagi mencapai maksud memasuki kawasan Dataran Merdeka.
Takbir dan daulat dilaungkan.

Namun muka dan mata masih terasa pedih. Di jalan raya, air hujan bercampur air asid yang menghasilkan wap turut memedihkan mata. Kami bergerak seketika ke hadapan, dan tiba-tiba loceng berbunyi lagi, water canon mara, kami berundur.

Hushhh......... tembakan air asid ketiga dilepaskan. Lagi, kami bertempiaran lari mengelak cedera parah. Namun masih ada yang terus kental walau dipancut. Berlari mencari air lagi. Bayangkan, jika air biasa ditembak dengan pili bomba pun boleh menyebabkan kecederaan, ini pula air berasid.

Ada pembaca yang tidak percaya air ini berasid. Itu terpulang. Tetapi saya percaya, jika air yang dilepaskan hanya air biasa daripada paip SYABAS yang menaja siaran langsung Perhimpunan Umno itu, maka kami pasti tidak akan berganjak. Tetapi malangnya, air asid ini menyebabkan mata pedih, nafas tersekat, kulit gatal-gatal, dan muka bertukar merah.

Alhamdulillah, ada paip air yang bocor. Bantuan Allah datang dari muka bumi. Saya bergegas ke paip tersebut bagi membasahkan baju panas putih saya ( memang telah disiapkan untuk tujuan menyapu air ke muka ) dengan air tersebut dan menyapu ke muka.

Tidak lama kemudian, kami bersatu semula. Bergerak ke hadapan lagi. Cuba untuk merempuh FRU dengan aman lagi. Dr Hatta terus memberi semangat kepada kami dengan laungan Allahu akbar, disambut dengan jeritan ribuan peserta. Belum pernah agaknya Jalan Tun Perak ini digemakan dengan laungan keramat tersebut.

Ketika ini, memang lautan kuning membanjiri jalan ini. Inilah kali pertama keadaan seperti ini berlaku di jalan ini, sejak reformasi berlaku 9 tahun lalu.

Kekentalan semangat juang kami ibarat gah dan hebatnya Tun Perak menghadapi sebarang musuh.

Sedang kami mengawal suasana, mereka yang berkepala merah ini menembak lagi dan kali ini mula berlari mengejar kami. Apa lagi, kami terus berlari lintang-pukang ke arah Jalan TAR melalui lorong belakang. Semua bergerak pantas. Saya tidak pasti apakah ketika ini ada yang ditahan. Kami mula berpecah. Daripada kumpulan yang sangat besar, telah menjadi sedikit kecil. Mungkin ada yang menuju ke arah Pasar Seni setelah dikejar FRU. Ramai juga yang menyembunyikan diri di kawasan masjid tadi.

Tidak lama kemudian, kami berkumpul dan bersatu menjadi besar semula.
Tetapi kini di tengah-tengah jalan Raja Laut. Bertakbir semula. Berdaulat tuanku lagi. Sambil terkeluar jeritan-jeritan sepontan seperti celaka, babi, laknat, yahudi dan anjing daripada segelintir anak muda waja. Orang melatah pun boleh mencarut, inikan rakyat yang didera polis negara sendiri. Itu perkara yang biasa berlaku.

Saya juga teringat papan tanda besar di Terengganu " Babi mu dok tembak, orang mu suruh tembak"

Kami dikumpulkan semula oleh KP Wilayah dan Dr Hatta. Ketika itu, saya jangkakan mungkin kami akan bersurai. Namun tidak berlaku. Saya cukup respek dengan semangat kental pemimpin kita ketika itu. Terus kental berhadapan water canon yang telah menunggu kami di permulaan jalan itu.

Kami masih menjerit takbir dan daulat tuanku. Mereka mula bergerak ke arah kami. Pemimpin pula mara ke hadapan. Ada yang menjerit, ”jangan lari!”. Kami ikut sahaja.

Tiba-tiba, ditembak sekali lagi, dengan air asid dan bom asap. kalau tak silap, lebih daripada 5 bom asap telah dilepaskan. Ada yang sempat mengambil bom tersebut dan membaling semula ke arah mereka. Tetapi saya tidaklah seberani itu, tetap lari ke belakang dan mencari air lagi. Dan kali ini mereka mengejar, apa lagi lari lintang pukanglah saya. Pada masa ini, dah tak nampak sahabat-sahabat dari Puchong. Saya masuk ke celahan bangunan menuju ke tepi sungai.

Setelah reda, kami masuk semula ke Jalan Raja Laut. Berkumpul lagi. Bersatu semula. Besar balik kelompok kami. Nampaknya sudah menjadi suatu yang menyeronokkan. Ditembak lari lintang pukang, sapu muka dengan air, pedih hilang, bercantum semula dan begitulah seterusnya.

Ketika berada di sini, hujan sudah berhenti, air hujan sudah tiada, Ketika mata sangat pedih apa sahaja air yang dijumpai akan menjadi mangsa kami. Saya sempat menyauk air yang bertakung ditepi jalan itu. Tak payah fikir dah, yang penting mata hilang pedih.

Kami dikejar lagi, kali ini saya berlari lebih laju lagi. Seluar terasa sangat berat. Kasut seperti nak tercabut. Makcik-makcik juga berlari.
Wanita turut sama.

Selepas itu kami seperti berpecah-pecah. Jonah antara yang kelihatan selain Ketua AMK. Saya berada di tepi sungai. Terjumpa Ust Wan Ji. Kami dipanggil berkumpul semula.

Kami merancang strategi baru. Pusing ke belakang menuju ke Jalan Kucing melalui Jalan Sultan Ismail. Bergerak pantas sambil bertakbir dan berdaulat. Rupa-rupanya FRU lambat sedar yang kami ingin menggunakan Jalan Kucing ke arah Masjid Negara. Ketika itu kami semakin membesar. Peserta dari SOGO bercantum dengan kami.

FRU tidak membuang masa selepas mengetahuinya, memecut kenderaan mereka di belakang kami. Apa lagi, kami pun bertempiaran lagi. Saya terus melompat ke semak di tepi jalan. Ada juga semak damun di tengah KL ini, bisik hati saya. Tetapi kali ini mereka tidak menembak. Sasaran mereka adalah untuk menunggu kami di hadapan, iaitu di bulatan Masjid Negara.

Kami bercantum lagi. Dr Hatta memulakan perarakan. Beribu orang membanjiri tepian Jalan Kucing menuju ke arah Masjid Negara. Langkah semakin bersemangat. Takbir tidak lekang dibibir, sambil menghayati kebesaran Allah Ta’ala.

Kami melepasi Bank Negara. Berdekatan Dataran Merdeka kelihatan ada kelompok lain yang terkepung di simpang Jalan Raja Laut dan Jalan Tun Perak. Mereka dikejar polis berbaju biru gelap. Kami dari jambatan menjerit memarahi polis.

Ketika ini saya tidak tahu langsung bahawa kumpulan peserta di Masjid Negara telah lama bergerak ke Istana Negara.
Beruntung mereka dapat sampai ke sana. Beruntung kami dapat merasai kepedihan berada di barisan hadapan perhimpunan ini.

Kemudian kumpulan kami terus bergerak mara ke hadapan. Perarakan kami sangat panjang melebihi satu kilometer. Saya ketika ini bersama dengan Ust Hayazi, Malik, KP dan beberapa lagi sahabat Puchong yang lain. Saya menemani Ashrul dari awal lagi ketika di Jalan Raja Laut, kerana kakinya mula rasa sakit kesan terseliuh yang telah lama berlaku. Berdekatan jambatan di sebelah Dayabumi, saya berhenti seketika kerana Ashrul sudah tidak mampu menahan kesakitan. Saya berehat dan Ashrul sempat membalut kakinya dengan kain balutan putih.

Bergerak semula, walaupun sudah jauh ketinggalan di belakang Dr Hatta.

Malang...hampir sampai ke Pejabat Pos, jalan baharu sahaja ditutup.
Kami tersangkut di Pejabat Pos Besar. Menunggu lama di sini. Hilang punca. Tiada yang memimpin kami di sini. Dr Hatta sudah jauh ke hadapan.

Ketika itulah sibuknya anggota polis mengambil gambar peserta dengan kamera videonya. Saya menutup muka dengan baju putih tadi. Apabila kami mohon untuk ke Masjid Negara bagi menunaikan solat Asar, polis tidak membenarkan. Mereka arahkan kami bersurai.

Lama di sini. Waktu Asar sudah masuk, tetapi tidak kedengaran suara azan berkumandang. Agaknya, Imam dan Muazzin juga tidak dibenarkan masuk. Tidak berapa lama kemudian, kami mendapat berita memorandum berjaya diserahkan oleh pimpinan.

Rasa lega yang amat sangat. Tidak dinafikan juga ada rasa kesal tidak sempat mengikuti rombongan puluhan ribu rakyat ke Istana Negara.

Kelihatan ada peserta yang telah berpatah balik dari arah Masjid Negara menuju ke Masjid Jamek dan Pasar Seni. A

lhamdulillah, walaupun kami tidak dapat bercantum menjadi satu kumpulan manusia yang sangat besar, dimaklumkan peserta yang telah menunggu di Masjid Negara juga sangat ramai. Berpuluh ribu berada di sana dan menuju ke Istana Negara bersama kumpulan-kumpulan lain yang sempat bercantum.

Apa yang polis bimbang sebenarnya ialah jika kami berjaya bercantum di Dataran Merdeka.
Saya yakin, jika ini berlaku, suasana itu akan menggerunkan kerajaan Malaysia. Media antarabangsa akan sentiasa menayangkan wajah perhimpunan besar-besaran ini yang akan menguningkan dataran, tidak jauh beza dengan gelombang oren di Ukraine. Mungkin dengan kejayaan itu, kita boleh menamakan Dataran Merdeka dengan "Dataran Bersih".

Jika kita ditembak di dataran itu, pasti akan lebih memalukan kerajaan BN yang dilaknati Allah akan mereka yang berniat dan bertindak jahat dan zalim terhadap rakyat mustadhafin.

1700
Saya mula bergerak ke Masjid Jamek bersama Ashrul dan peserta lain. Perhimpunan ketika itu dianggap telah berakhir. Sampai di masjid, bertemu YDP, S/U dan KM.

Saya pergi bersolat dan mereka pula menuju ke LRT. Selesai solat saya menuju ke LRT. YDP masih beratur membeli tiket. Saya meminta tolong beliau membelikan sekali untuk saya. Setelah dapat tiket, saya berpatah ke masjid untuk mencari tandas.

Saya pulang seorang diri tanpa ditemani mana-mana rakan dari Puchong. Kalau ditangkap, tak ada siapa yang tahu agaknya. Ramai pemuda dah mula bergerak pulang ketika itu.

Dalam LRT, hati saya sangat puas. Merasai pertempuran dengan FRU yang bertindak seperti binatang. Jika ditanya sekali lagi kepada hati saya....belum puas lagi sebenarnya.

Bukan kerana seronok untuk bertempur dan mengkucar-kacirkan bandar, tetapi dapat merasai manisnya perjuangan dengan keletihan, kepedihan, kesakitan, ketakutan dalam perjuangan. Ketika ini, anda hanya memiliki keikhlasan dan kasih sayang Allah Taala.

Saya sampai di motor seorang diri memakai baju bersih. Oleh kerana baju kemeja dan jaket semuanya basah, saya pakai saja baju kuning menunggang motorsikal Lagenda 110 ke Taman Tasik Prima dari Bukit Jalil. Biar orang tahu, orang BERSIH baharu sahaja meninggalkan perhimpunan dengan aman.

1845
Sampai hadapan rumah.
Buka TV, kelihatan berita perhimpunan di stesen Al Jazeera berbahasa Inggeris, Astro 513, yang menyusahkan untuk ditekan punatnya.

2000
Saya respek RTM, menayangkan berita perhimpunan sebagai berita utama dan pertama, tidak seperti TV3. Lebih saya respek dan tidak percaya, RTM ulang semula temuramah 'live' melalui telefon pembaca berita Aljazeera dengan Zam. Zam diasak dengan pelbagai soalan yang sukar dijawab. Antaranya soalan apakah Malaysia tidak membenarkan protes dibuat di negara ini. Zam jawab boleh. Ditanya lagi kenapa protes ini tidak boleh, dijawab kerana tiada permit. Malaysia bukan seperti Myanmar, Pakistan dll. Jawapan merapu seorang menteri.

Ditanya lagi kenapa protes ini dianggap "illegal". Zam terkantoi tak dapat menjawab, sebaliknya kona kut lain. Ditanya soalan maut, kenapa polis suraikan perhimpunan secara kekerasan, Zam tak boleh menjawab. Diulang lagi soalan yang sama oleh pembaca berita itu, ”anda tidak menjawab soalan saya, kenapa polis tidak menyuuraikan perhimpunan dengan cara aman? ”.

Kesian Zam, cuba menipu dunia dengan menyatakan polis tidak bertindak kasar, sebaliknya ketika dia berkata-kata itu, Al Jazeera menayangkan keganasan polis di hadapan Masjid Jamek, tempat saya dan rakan-rakan menjadi mangsa air asid, termasuk pemberita medan Al Jazeera.. Zam ingat dia masih lagi berada di Utusan agaknya.

RTM menayang temuramah ini dengan bertujuan cuba menjelaskan jawapan-jawapan Zam, serta dakwaan Zam bahawa pelapor medan Al Jazeera tidak adil dan tidak siarkan keadaan aman di beberapa kawasan lain, sebaliknya hanya di hadapan masjid sahaja.
Bagi Zam, laporan Al Jazeera berat sebelah. Zam menjadi tetamu Al Jazeera dan dia mengecam stesen itu. Zam pun satu, tentulah yang kasar-kasar itu yang menjadi berita bernilai bagi pemberita, bukan keadaan aman di tengah-tengah dataran merdeka yang kosong itu.

( 11/11/07 )

0000
CNN siarkan berita perhimpunan ini. Al Jazeera pula siarkan temuramahnya dengan Anwar Ibrahim.

1000
Saya menulis catatan ini.


**
Malang bagi saya, kamera digital saya kehabisan bateri ketika bertempur di Jalan Tun Perak. Hanya sedikit gambar yang sempat diambil.

Allahu Akbar….

No comments: