15.11.07

KEPENTINGAN SEBUAH CATATAN PERJUANGAN

Seorang sahabat membisikkan kepada saya, “ ustaz kena nasihat ahli kita, ramai yang dah syok sendiri dengan Perhimpunan Bersih baru-baru ini. Masing-masing membuat catatan peribadi…”.

Kemudian saya menyambut, “ macam mana nak tegur, saya pun buat catatan itu.”

Kebimbangan beliau memang berasas.
Jika syok sendiri itu berlaku, ujub mungkin menguasai diri, maka segalanya sukar membuahkan natijah yang diharapkan pada diri sendiri. Akhirnya leka dan kerja tidak dibuat.

Itu jika berlaku syok sendiri. Jika tidak, bagaimana pula?

Saya percaya catatan yang dibuat akan memberi banyak kebaikan daripada kemungkinan wujudnya situasi syok sendiri. Lebih-lebih lagi catatan ini dihasilkan oleh mereka yang mengalami sendiri situasi tersebut.



KEPENTINGAN SEERAH

Ketika belajar di peringkat sarjana muda dahulu, antara subjek yang paling saya gemari ialah Seerah Nabi saw. Dengan subjek ini, saya dapat mengetahui perjalanan hidup Rasulullah secara lebih tersusun dan mudah. Dapat faham satu persatu. Kalau saya mahu belajar perjalanan hidup baginda melalui mushaf Al-Quran dan kitab-kitab hadis, rasanya lima tahun pun belum boleh habis.

Bagaimana agaknya seerah ini sampai kepada kita?
Pasti bukan melalui wahyu Jibril as, mahupun penceritaan oleh Rasulullah saw sendiri. Kedua-duanya tidak mungkin dapat kita temui untuk bertanya apa yang berlaku lebih seribu tahun yang lalu.

Semua ini menunjukkan ada pihak yang telah memainkan peranan sangat penting dalam penceritaan seerah ini. Mereka ialah para sahabat yang menceritakan semula semua yang berlaku kepada para tabi’in selepas mereka. Mereka juga menulisnya di dalam lembaran-lembaran yang kemudiannya dijadikan kitab. Beberapa ratus tahun kemudian, kisah-kisah ini masih lagi kekal dan terpelihara, dan dimanfaati oleh berjuta umat Islam sehingga hari ini.

Terdapat begitu banyak buku seerah dan sejarah melibatkan Rasulullah dan para sahabat yang boleh dibeli pada masa ini. Antaranya, Seerah Ibnu Hisyam, Al-Ishobah, Al-Tarikh, Hayah al-Sohabah dan Al-Seerah Al-Sohihah. Malah ada kitab yang membicarakan peristiwa-peristiwa seawal kehidupan sebelum munculnya Nabi Adam alaihissalam, seperti Al-Bidayah Wa al-Nihayah oleh Ibnu Kathir.

Semua ini adalah hasil daripada catatan-catatan yang dibuat oleh para ulama yang menulis.
Belum pernah lagi hasil mereka ini dipersoalkan dan dikaitkan dengan sikap syok sendiri atau menunjuk-nunjuk. Itu persoalan hati antara manusia dan Pencipta.

Bagi sesama manusia pula, perlu ada pencatat, pemberita dan pencerita supaya bahan yang ingin disebarkan itu sampai kepada sasaran dan memberi manfaat kepada yang tidak hadir, tidak alami, tidak tahu, malah paling penting ia untuk diri sendiri di saat kealpaan terhadap dunia mangatasi semangat juang kelak.

Ketika saya menulis catatan saya, apa yang saya harapkan selain berkongsi maklumat adalah menjadi bahan bacaan saya sendiri di kala saya leka suatu hari nanti.

“ Pernah aku ditembak dengan air asid, pernah aku dikejar polis, pernah aku menyaksikan gelombang rakyat yang cukup hebat, apakah kini aku perlu kecewa dengan sedikit ujian ini, sedikit cubaan hidup, atau apakah aku akan terus melupakan matlamat hidup dan perjuangan aku setelah aku hidup dengan kemewahan, sekarang?”
Mungkin inilah yang akan saya bisikkan pada diri sendiri 10 tahun lagi, sambil membaca semula catatan peribadi saya.



CERITAKAN KEBAIKAN YANG DIPEROLEHI

Teringat saya kepada firman Allah yang bermaksud, “ Dan nikmat-nikmat Tuhan engkau, maka ceritakanlah.”

Ia sudah cukup kuat untuk kita semua menulis di mana sahaja dan menceritakan apa sahaja yang dikira nikmat Allah taala.

Dalam konteks Perhimpunan Bersih yang lalu, adalah sangat baik untuk menghebahkan apa sahaja yang berlaku daripada peristiwa atau situasi yang dikira bantuan daripada Allah ta’ala.

Apa yang saya anggap bantuan daripada Allah taala yang telah saya catatkan sebelum ini ialah situasi hujan lebat sebelum perhimpunan dan paip air yang pecah di bawah rel LRT Jalan Tun Perak.

Selain itu apa yang saya dengar daripada rakan-rakan ialah seperti bantuan angin yang menolak semula asap pemedih mata ke arah polis yang membaling, anggota polis terdiam dan kaget melihat kumpulan kecil yang meninggalkan Masjid India ke Jalan Kucing, polis sendiri membuka pintu pagar dan memberi laluan kepada Presiden Pas yang turun dari Masjid Negara, keberanian dan kehebatan Unit Amal berkawad di hadapan beratus anggota polis yang mengepung bangunan Pejabat Agung Pas di jalan Raja Laut dan juga keberanian Unit Amal menjadi benteng manusia berhadapan anggota FRU di masjid Jamek. Semua ini adalah rahmat daripada Allah taala yang mesti diketahui oleh semua ahli gerakan Islam.

Bukankah kita berasa bersemangat apabila membaca bagaimana Rasulullah diberikan mukjizat oleh Allah ketika perang Badar dan Ahzab, kehebatan para sahabat bertempur di Uhud, tentera angin yang dihantar Allah dalam perang Khandaq, dan pelbagai lagi.

Maka kejayaan dan bantuan sebeginilah yang juga harus dicatat untuk manfaat generasi akan datang.

Membaca catatan sebegini, meniupkan semangat juang, memberi keinsafan akan lemahnya manusia dan hebatnya Allah taala, meningkatkan keyakinan terhadap jihad dan dakwah yang dilalui, memberi pengajaran kepada pihak lain yang tidak turut serta, mengenal erti perjuangan dan pengorbanan serta menukilkan segala kegagalan dan kejayaan perjuangan sebuah gerakan Islam itu sendiri, dan bagi saya, ianya PAS.



No comments: