18.3.08

Cabaran Baru Kerajaan Negeri Perak. Sokongan Padu Pihak Istana Perlu Diraih.

Bismillah. 17 Mac, bermulalah satu cabaran baru bagi PAS Perak apabila YAB Tuan Haji Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, S/U Badan Perhubungan PAS Perak telah mengangkat sumpah sebagai MB Perak yang ke-10.


Ianya satu sejarah paling manis dan juga mencabar bagi PAS Perak sepanjang perjuangannya di negeri ini. Sudah tentu pelbagai strategi dan pelan dirangka oleh Badan Perhubungan bagi membantu YAB untuk melicinkan pentadbiran kerajaan negeri.


Paling mencabar bagi MB baru ini adalah untuk memimpin sebuah kerajaan negeri yang mana majoriti pada jentera utamanya adalah terdiri daripada enjin-enjin parti yang berbeza. Kerajaan negeri Perak dimaklumkan akan terdiri daripada seorang sahaja exco atau ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang merupakan ahli PAS. 3 orang exco daripada PKR dan selebihnya, iaitu 6 orang adalah ahli DAP. Bayangkan perjalanan mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh YAB Ir. Mohammad Nizar!



Namun saya cukup optimis beliau mampu memimpin dengan baik dan penuh yakin, berdasarkan kepada pengalaman kerjanya selama ini. Tinggal lagi, sudah pasti ia tetap satu cabaran besar, tambahan pula tiga parti ini masih lagi berada dalam pakatan yang sangat longgar. Sebelum pilihan raya, PAS hanya berurusan secara rasmi dengan PKR, manakala PKR pula ibarat jambatan tidak rasmi antara PAS dan DAP. Apabila pembangkang menang sahaja di Selangor dan Perak, secara tiba-tiba pimpinan ketiga-tiga parti boleh duduk semeja atas satu maksud, mentadbir negeri secara bersama, dan menjadikan BN sebagai pembangkang di DUN.


Pakatan ini tidak memiliki falsafah yang jelas. Mungkin juga tiada falsafah tertentu selain berpakat menjatuhkan BN dan bersama mentadbir negeri, itu sahaja. Jika ditanya kenapa perlu menjatuhkan BN, disitu sekali lagi ada titik pertemuan, iaitu atas keyakinan BN telah dipaliti dan dibaluti penyelewengan, korupsi, zalim serta berat sebelah terhadap rakyat.


Ya, disinilah mereka perlu bermula dan mengukuhkan diri sebagai sebuah kerajaan yang dihormati dan diyakini. Pentadbiran kerajaan Negeri Perak yang baru ini perlu dilihat telus, adil, berkebajikan, tiada penyelewengan dan tiada kepentingan peribadi anggota kerajaan ataupun exconya. Jika semua ini berjalan dengan baik, saya sangat yakin tiada sebab kerajaan ini boleh lumpuh atau caca marba. Oleh itu, parti masing-masing perlu memainkan peranan bagi mengukuhkan jati diri ahli masing-masing, khususnya yang terlibat dalam DUN juga Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.


Setelah pihak kerajaan selesai menguruskan dirinya, ia berhadapan pula dengan cabaran mendapatkan sokongan padu dan keyakinan rakyat Perak keseluruhannya yang berjumlah 2.2 juta orang pada tahun 2005. Berbanding Kelantan dan Kedah, di Perak terdapat lebih ramai warga bukan Melayu. Malah wakil rakyat daripada pihak kerajaan juga bermajoriti bukan Melayu.


Melihat komposisi peduduk negeri Perak dan komposisi anggota kerajaan negeri, tidak pelik jika warga Melayu Perak resah dan gelisah. Tambahan pula, majoriti Melayu Perak masih lagi setia bersama pembangkang UMNO. Majoriti kerusi ADUN Melayu juga adalah milik pembangkang Perak. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan rakyat apakah negeri baru ini sebenarnya dikuasai oleh orang Melayu atau pun orang bukan Melayu?


Bagi ahli dan penyokong PKR, saya yakin isu penguasaan ini tidak timbul. Bagi ahli dan penyokong PAS pula, majoriti mereka boleh menerimanya dengan baik. Mungkin sebahagian kecil sahaja yang gelisah kerana mereka masih melihat pertembungan Melayu vs Cina pada posisi PAS vs DAP.


Bagi saya untuk DAP meyakinkan pengundi bukan Melayu mereka dan warga Cina dan India keseluruhannya supaya setia bersama parti itu dan menerima MB Melayu Muslim adalah tidak sesukar PAS untuk meyakinkan warga Melayu keseluruhannya supaya terus memberi kepercayaan kepada kerajaan negeri yang baru ini.


Maka langkah awal yang perlu difikirkan oleh YAB MB adalah bagaimana dapat menyatukan keyakinan warga Melayu Perak terlebih dahulu. Jika sehari dua selepas pilihan raya lalu, sudah tersebar sms berbunyi tahniah kerana telah menjual/menyerah negeri kepada Cina, dan sebagainya.



Pada perkiraan saya, pertama yang mesti dilakukan ialah, jalinkan hubungan serapat mungkin dengan pihak Istana. Saya sangat percaya DYMM Sultan Perak dan DYTM Raja Muda Perak adalah dua tokoh penyatu warga Perak pelbagai kaum dan etnik dan sangat memahami keperluan integrasi kaum dan keadilan semua pihak. Lihat sahaja ucapan yang disampaikan oleh Raja Dr. Nazrin Shah sejak setahun dua yang lalu, terutamanya ketika memberi titah ucapan di Universiti Malaya pada tahun lepas. Oleh itu Istana Kinta sangat memahami kedudukan demokrasi dan betapa pentingnya menghormati keputusan pilihan raya yang lalu. Patik taat dan percaya kepada Tuanku berdua!!






Dalam masa yang sama, Baginda berdua juga arif akan kepentingan Melayu di negeri Baginda. Maka Istana Kinta sangat memahami situasi sukar dan cabaran yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri Perak ini. Keterbukaan dan keperihatinan Baginda berdua cukup untuk menjadi ramuan jalinan kerjasama yang erat antara Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Istana. Lebih cantik jika hubungan peribadi antara YAB MB Perak dengan Istana dieratkan, seperti yang berlaku pada bekas YAB Menteri Besar Perak yang lalu, Dato' Seri Tajol Rosli Ghazali, ghafarallahu lahu wa hadahu.


Keduanya, YAB Menteri Besar Perak perlu segera mengadakan siri Lawatan Rasmi ke seluruh daerah di Perak. Program rasmi sebegini akan cepat mendekatkan rakyat dengan pemimpin. Ketika suasana agak gelisah seperti ini, saya fikir hubungan dengan rakyat lebih perlu diutamakan berbanding mencari kesalahan pentadbiran yang lalu atau melakukan transformasi terhadap pentadbiran politik dan pengurusan ekonomi negeri secara besaran.


Ketiganya, YAB MB Perak perlu mengadakan program khusus untuk kumpulan tertentu dengan segera. Bagi mendekati kaum Tiong Hua dan India, perlu diadakan majlis dialog bersama Dewan Perniagaan Cina dan India misalnya. Bagi merapati kaum Melayu, perlu diadakan program keagamaan sebanyak mungkin. Terdekat ialah Sambutan Maulidur Rasul pada hari Khamis ini. Dalam kesibukan sebagai pemerintah, apa salahnya jika YAB MB dapat turun ke setiap daerah untuk majlis maulid ini!


Saya yakin dan percaya Perak akan terus gemilang dengan wujudnya kesepakatan parti-parti pemerintah dan kesungguhan pemimpin mendekati rakyat, ditambah sokongan padu oleh pihak Istana. Biarkan dahulu idea-idea untuk mengubah itu dan ini, pada peringkat awal ini, kecuali apa yang terdesak demi kelicinan pentadbiran negeri sahaja. Wallahu a'lam.


Lagu Negeri Perak
( Nyanyikan dengan alunan lagu Negaraku. Lagu ini sebenarnya ditiru oleh lagu Mamula Moon. )

Dilanjutkan
Allah usianya Sultan
Adil dan murah
Memerintah watan

Ditaati rakyat
Kiri dan kanan
Iman yang soleh
Allah kurniakan

Allah berkati
Perak Ridzuan
Allah selamatkan
Negeri dan Sultan.


DAULAT TUANKU! DAULAT TUANKU! HIDUP BARISAN RAKYAT!

2 comments:

Muka Sekupang said...

Coretan Sekupang!

Tahniah diatas komen saudara Abu yang bernas itu. Ulasan-ulasan membina yang sebegini seharusnya diketengahkan kepengetahuan MB Perak melalui saluran-saluran parti yang telah ditetapkan selain untuk tatapan umum disamping mencerna minda bloggers yang cerdas.

Untuk itu, adalah disarankan calon-calon PAS yang kecundang di Perak perlu berfungsi sebagai wakil peribadi MB demi kesejahteraan rakyat setempat, terutamanya orang-orang saudara, 'Orang Lambor'. Dua isu yang harus dititikberatkan ialah kemudahan pembelajaran dan kesihatan setempat. Program-program yang bersifat tempatan lagi bermanafaat perlu diteruskan dan dirasmikan oleh 'Wakil Menteri Besar'. Siapa itu 'Wakil Menteri Besar'? Pastinya PAS Perak lebih arif tentang hal ini. 'Politiking' secara 'saikologi halus' perlu diteruskan untuk memikat rakyat setempat. Adalah lumrah alam, setiap program yang dikaitkan dengan pembesar negeri akan mendapat sambutan yang lebih.

Selain itu, barisan Exco bayangan PAS negeri Perak yang diangotai pemikir-pemikir cerdik pandai PAS Perak perlu ditubuhkan segera. Mereka-mereka ini seharusnya berfungsi sebagai penasihat peribadi MB Perak dalam urusan pentadbiran Negeri. PAS perlu faham, MB Perak hanya mempunyai 24 jam sehari untuk mentadbir Negeri Perak dengan berteraskan Islam disamping menangani sepak teranjang parti-parti gabungan.

Wallahu a'lam.

Elbaritii said...

Terima kasih atas komentar dan sokongan saudara.

Memang cadangan saudara di atas cukup baik. Betul, PAS Perak perlu menubuhkan pasukan untuk menjadi penasihat dan pemikir kepada MB Perak.

Terima kasih atas kunjungan.