20.3.08

Perak: Peranan Parti Dan MB Perlu Dekati Semua Kakitangan Kerajaan Negeri Dan Persekutuan.

Belumpun saya menulis artikel di bawah, rupanya YAB MB Perak telah lebih dahulu melakukan lawatan menemui rakyat berketurunan Cina di Perak. Satu langkah yang sangat pro aktif dan dipuji. Syabas!




TERKILAN


Saya sebenarnya sangat terkilan apabila pada malam penuh bersejarah, 8 Mac lalu, saya tidak dapat menyambut kemenangan Barisan Rakyat di Perak secara bersungguh-sungguh. Orang Perak lain, mungkin bertempik dan bertakbir sekuat hati di markas-markas PAS, rumah, kedai kopi atau di kawasan lapang yang biasanya diadakan ceramah pembangkang, tetapi saya sekadar beralhamdulillah di dalam sebuah bas menuju ke Kuala Terengganu yang dikelilingi dengan penumpang lain.


Hasrat untuk terus balik ke KT pada malam itu juga adalah kerana yakin BA akan berjaya merampas semula Terengganu. Ya, jika dilihat kepada sambutan penduduk Terengganu terhadap penampilan PAS-PKR di Terengganu kali ini, harapan itu sangat cerah. Ramai penduduk yang makan hati terhadap keimpinan Idris Jusoh-Pak Lah di negeri yang indah ini. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.


'Ghopenye' saya dalam perjalanan dari sebuah negeri Barisan Rakyat ( BR ) kepada Barisan Nasional, pada malam itu. Melalui pula sebuah lagi negeri BR, Selangor sebelum masuk ke negeri BN yang berjiran dengan Terengganu. Sungguh tak disangka BN Perak jatuh terduduk. Alhamdulillah.


Sehingga kini saya belum lagi walaupun sekali bertempik dengan laungan Allahu akbar sekuat hati untuk kemenangan di Perak.
Insya Allah, jika pulang ke kampung nanti, akan saya tunaikan rasa itu. Orang Perak janganlah terkejut kalau saya melakukannya!



BIJAK MENCATUR PERANAN


Berbalik kepada melihat percaturan politik, pembangunan dan kebajikan MB Perak yang baru.
Langkah di atas yang telah dilakukan oleh YAB Ir. Nizar cukup cantik. Terus menemui sasaran utama, rakyat.

Semua percaya, kerajaan BR di Perak tiada langsung masa rehat walaupun 15 minit seperti dalam perlawanan getir Liverpool melawan MU. Walaupun perlawanan ini panas dengan kelibat Tores, Stevie G, Ronaldo dan Taves, namun para pemain sempat berehat dan 'melagut' di bilik persalinan selama 15 minit jika mahu.


Tidak di Perak sekarang ini.
Masa rehat yang ada hanyalah masa rehat seorang manusia yang memerlukan ibadah dalam kerehatan dan rehat melelapkan mata. Bagi masa politik dan pentadbiran, tiada istilah rehat. Sekurang-kurangnya, dalam tempoh beberapa bulan terawal ini.

Fokus perlu terus kepada kebajikan, politik dan pembangunan. Tidak perlu sebut pasal agama, kerana bagi PAS sudah tentu 3 aspek di atas mesti didasari ruh agama yang sempurna. Caranya saja yang mungkin pelbagai corak.


Saya banyak menekankan peranan PAS dan YAB kerana kedua-duanyalah tonggak kestabilan negeri Perak kini. Biarpun DAP lebih majoritinya, mahu tidak mahu DAP mesti menerima hakikat negeri ini diketuai oleh orang PAS dan persepsi itu lebih baik ditonjolkan untuk kestabilan masa kini dan kekuatan akan datang.
Saya berharap, DAP Perak harus bijak melayani 'emosi' majoriti rakyat Perak yang tertekan kini. Jangan gelojoh menolak dan rimas terhadap PAS dan penonjolan Islam PAS, kerana jika tersilap percaturan Perak kembali ke tangan BN.




PERANAN IKUT PARTI


Kerajaan yang memerintah adalah kerajaan gabungan parti pembangkang di Parlimen atau lebih dikenali Barisan Rakyat. Ia bukan kerajaan PAS atau DAP mahupun PKR. Namun daripada sudut pemfokusan atau pengagihan peranan, tidak salah untuk sesetengah kes ia dirujuk kepada peranan parti, selain jawatan dan kuasa rasmi di bawah pentadbiran negeri.


Oleh itu, DAP perlu memainkan peranan penting untuk terus mendekati dan mengikat penduduk bukan Melayu Perak. Mungkin kita boleh mulakan di Ibu Negeri Perak sendiri.


Sediakanlah program-program menarik di bawah kerajaan negeri dan ambillah peruntukan yang wajar untuk membangunkan terus ekonomi dan kemajuan Bandaraya Ipoh yang seperti segan untuk memajukan diri.


Jika dahulu, mungkin ada pertembungan ketara antara idealisma dan keinginan kuasa negeri dan penduduk Bandaraya Ipoh yang berketurunan Cina dan India.
Sekarang tidak lagi. Ia sudah menjadi sekata. Peranan DAP adalah melihat semasak-masaknya permasalahan penduduk Cina-India di sekitar bandar Ipoh. Di mana-mana bahagian Ipoh, sangat mudah untuk melihat kehidupan mereka yang tersepit. Ipoh bukanlah bandaraya yang banyak dipenuhi taman perumahan mewah yang diisi hanya banglo mewah dan kondo 20 tingkat. Saya percaya ramai yang masih di bawah tahap sangat miskin.


Lihat semula sosio-ekonomi di kampung-kampung baru yang terdapat di sekitar Ipoh.
Lihat bagaimana kesusahan mereka yang sekian lama terabai dapat dibantu. Juga kemudahan untuk mereka mudah berniaga dan mencari 'survival' hidup.



MASALAH MELAYU IPOH


Bagi PAS dan PKR pula, boleh memfokuskan peranan mereka terhadap warga Melayu yang sangat terhimpit kehidupan mereka dipinggir Bandaraya Ipoh. Banyak masalah yang wujud dikawasan ini.


Ipoh sekitar awal 90-an masih lagi dipenuhi dengan kawasan setinggan Melayu. Paling terkenal ialah setinggan di sekitar gugusan kampung Manjoi. Kini ramai yang sudah menerima geran tanah masing-masing. Bagi yang tidak bernasib baik, mereka telah berpindah ke taman-taman perumahan lain dipinggir bandar. Mereka yang seperti inilah yang harus didekati dahulu oleh pentadbiran negeri jika ingin melihat permasalahan penduduk Melayu Ipoh.


Kenal pasti segera masalah yang dialami oleh mereka. Apakah cukai yang mereka terpaksa bayar sebagai warga Majlis Bandaraya Ipoh ( MBI ) sama padan dengan kemudahan yang mereka terima.


Seterusnya, bagaimana pula untuk menambahkan peluang pekerjaan untuk mereka, khususnya warga muda yang mudah terdedah kepada masalah sosial seperti penagihan dadah. Dulu, kini dan mungkin esok, sebut sahaja setinggan atau kampung tersusun, masalah dadah adalah masalah nombor satu di kalangan remaja.


Inilah antara cabaran terbesar pentadbiran baru ini di Ipoh. Mampukah kita? Ibarat kata Nabil Raja Lawak, 'lu fikir lah sendiri...' maka itulah jawapannya, 'kita' fikirlah jalan penyelesaiannya.



DEKATI KAKITANGAN KERAJAAN


Seterusnya, fokus utama lain yang saya cadangkan untuk kepentingan warga sekitar Bandaraya Ipoh ini ialah sikap pemerintah negeri mesti dibentuk ke arah 'down to earth' terhadap pegawai kerajaan di kalangan mereka. Dekatilah semua kakitangan kerajaan. Jangan hanya terhadap mereka yang bekerja di bawah pentadbiran negeri, tetapi dekatilah juga kakitangan di bawah Jabatan Persekutuan.


Saya pernah berbicara hal ini dengan bekas Penyelia Sekolah Menengah, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu. Beliau menegaskan antara kesilapan atau salah pertimbangan yang dilakukan oleh barisan exco kerajaan negeri Terengganu penggal 1999-2004 ialah enggan untuk mendekati kakitangan kerajaan Persekutuan. Saya tidak pasti ia berlaku terhadap semua jabatan atau tidak, tetapi di jabatannya berlaku.


Beliau sedar ada halangan diwujudkan, sama ada menggunakan prosedur lawatan atau protokol. Tetapi bagi beliau ia bukanlah halangan sebenar bagi seorang ahli politik. Jika Exco atau MB sekalipun sukar untuk melakukan lawatan secara rasmi kerana ianya 'premis' milik Kuala Lumpur, lakukan lawatan tidak rasmi.


Beliau sendiri menceritakan rungutan pegawapegawai kerajaan persekutuan di jabatannya yang merasakan mereka seperti tidak diambil berat oleh pentadbiran negeri. Peranan mereka seperti tidak dihargai dan kewujudan mereka tidak diendah.


Katanya lagi' " jika exco pendidikan mahu juga turun melawat Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri dan pegawainya, apakah akan berlaku sekatan fizikal? Tidak ada sesiapa yang hendak menghalang. Paling tidak, Pengarah itu melarikan diri ke tempat lain jika tidak mahu meraikan MB".


Ya, saya sokong pandangan beliau. MB Perak perlu dekati semua kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan kerana mereka adalah warga Perak, penduduk Perak, para pengundi dan majoriti mereka adalah warga muslimin negeri Perak. Di sinilah YAB MB perlu memainkan percaturan politiknya demi kebajikan kakitangan kerajaan di Perak. Hubungan rasmi atau separa-rasmi yang berlaku nanti, mampu menstabilkan Perak ke arah Kebajikan, Politik dan Pembangunan lebih seimbang dan cemerlang.


"Perak nombor satu"

3 comments:

Muka Sekupang said...

Coretan Sekupang.

Salam. Memang tidak dinafikan, sentuhan fizikal terhadap rakyat jelata akan sedikit sebanyak memberi impak positif terhadap kepimpinan Negeri Perak. Tetapi kita harus ingat, lawatan-lawatan sebegini hanya efektif untuk jangkamasa yang terdekat ini. Itu sahaja. Diketika ini, rakyat jelata masih lagi diuliti mimpi yang indah akibat dari kejatuhan Dacing di Perak.

Bukti fizikal berkenaan kebaikan BR terhadap rakyat Perak perlu diadakan pada kadar segera. Takut nanti ada yang terlepas cakap 'ghopenye mike pun same! lebih koghang teman aje!'.

Untuk itu adalah disarankan kerajaan BR mengkaji pelan-pelan pembangunan (masterplan)yang telah diluluskan sebelum ini oleh Dacing untuk ditambahbaik (value added) dan dibentangkan semula (restucturing) untuk tatapan rakyat jelata, khususnya cerdik pandai PAS Perak. Contoh terdekat, gedung ilmu Sri Iskandar, perindustrian minyak di Manjung, pelancongan alam semulajadi di Grik dan perladangan moden di tempat 'mike'. Hasil dari kaji selidik ini perlu diwar-warkan kepengetahuan umum. Rakyat jelata berhak mengetahui implikasi-implikasi positif dan negatif sesuatu perancagan itu terhadap hamba sahaya. Pada pemikiran Sekupang, cara ini akan lebih berkesan untuk 'survival' BR dalam jangkamasa panjang.

Diharapkan mimpi indah ini akan melangkaui PRU13!

Wassalam.

Elbaritii said...

Menarik komentar saudara.

Teman pun ada cadang nak sentuh pasal Bandaraya Ilmu/ Bandar Teknologi Seri Iskandar yang tak menjadi-jadi lagi.

Nampaknya saudara ni orang bijak pandai Perak, tahu banyak benda.

Siapakah gerangan tuan hamba?
Terima kasih kerana mengunjungi blog teman.

Muka Sekupang said...

Biarlah teman berselindung disebalik Sekupang......