22.3.08

Cerita Rindu

12 Rabi’ al-Awwal adalah tarikh bersejarah bagi seluruh umat Islam. Tarikh kelahiran Baginda Rasulullah SAW dan juga tarikh perginya Baginda menemui Tuhannya Rabbul ‘izzati.

Pada tarikh itu, seluruh umat menangisi tiadanya Rasulullah SAW. Menangisi tiada orang nombor satu bagi ummah di muka bumi ini untuk kita dampingi secara fizikal.

Bagi saya pula, bukan setakat itu sahaja. Malah ada yang lebih saya tangisi.
Ada yang lebih saya sesalkan. Ada yang lebih saya rindukan. Ianya adalah saat-saat manis “bersama” Rasulullah SAW di bumi Tobah Taiyyibah al-Nabawiyyah.


PERJALANAN MENDEBARKAN

Perjalanan itu sangat menerujakan saya. Penuh dengan debaran di hati. 8 jam perjalanan tidak saya deritai. Jika ada kesusahan sepanjang berpergian itu, saya tidak ambil kisah sangat.

Setelah semua anggota keluarga disalami, disapai, dipeluki, dimesrai, saya akhiri dengan mak dan abah saya. Tangisan mak sudah dijangka. Abah tetap tabah. Memberi nasihat supaya belajar betul2 dan jaga diri baik2. Mak juga mendoakan yang sama, tapi dalam esakan.

Saya melambai mereka semua, senyum dan berpusing longlai, kemudian gagah melangkah ke dalam.
Masuk ke pesawat Saudi Airline dan terus mengambil tempat duduk. Kebetulan bersama-sama saya ialah satu rombongan jemaah umrah ke Tanah Suci, maka saya tidak keseorangan dengan ketidak-tentuan tanpa pengalaman menaiki pesawat. Allahu akbar, menakutkan ketika pesawat mula menjarakkan rodanya dari landasan.

Sepanjang perjalanan itulah saya teruja. Saya debar dan bermacam lagi perasaan. Perjalanan seorang yang tidak pernah menaiki pesawat, berseorangan menuju ke Universiti Islam Madinah dan tidak tahu apa-apa tentang pesawat, penerbangan, lapangan terbang dan tentunyna Arab Saudi.

Kini, semua itu saya rindui. Rindu kepada keazaman besar saya ketika itu. Rindu keterujaan saya mendekati bumi Rasulullah. Rindu sebuah perjalanan mendekati perjuangan Rasulullah. Malah mendekati jasad baginda SAW.

Ya, wahai Rasulullah, aku merindui saat itu, saat aku mula mendekatimu dengan makna yang sebenarnya…( bersambung )



No comments: