SENARIO SELEPAS PRU-12
Tulisan ini sebagai respon kepada pandangan sahabat baik saya yang menyuarakan rasa kurang selesa terhadap senario politik yang berlaku kini di Selangor dan Perak, apabila secara pandangan kasarnya, PAS seperti terasing dan Melayu tergugat dalam arus politik kepemimpinan dua negeri ini.
Saya percaya, ramai yang berada pada kedudukan ini, khususnya bagi orang awam yang tidak melihat senario ini dengan pandangan kaca mata pemimpin tertinggi parti Barisan Rakyat, terutama PAS dan PKR.
Biasanya pemimpin mampu melihat dengan lebih dekat dan tepat terhadap senario politik yang berlaku, kerana merekalah yang merancang, membuat unjuran dan menerima pelbagai lapisan maklumat. Bagi rakyat, pandangan yang dilontarkan biasanya berdasarkan kepada apa yang dilihat dan didengar, selain apa yang 'dirasa'.
Saya tidak melekehkan atau menolak terus rasa yang dikemukakan oleh sahabat saya ini. Ada juga wajarnya kebimbangan sebegini. Kita sebagai orang biasa, sudah tentu tidak sama seperti pemimpin yang mengetahui segala bentuk maklumat dan strategi. Malah saya memberi kredit kepada mereka yang bimbang ini, kerana terbukti itu lahir daripada rasa cintakan perjuangan dan sayangkan prinsip parti dan 'survival' umat.
Oleh itu, perlukah lagi kita terus bimbang dengan komposisi barisan ahli mesyuarat negeri, sedangkan kita sudah ada kuasa untuk menentukan perjalanan aktiviti agama contohnya, di Selangor dan Perak? Dahulu, Melayu ramai menjadi exco, tetapi berapa ramai yang beramanah untuk menghidupkan agama? Kini, komposisinya jauh berbeza, tetapi sudah ada peluang yang cukup besar untuk menghidupkan Selangor dan Perak dengan pelbagai pengisian jiwa dan rohani.
Saya fikir, ruang ini sahaja sudah cukup besar untuk dipenuhi oleh aktivis PAS seluruh negeri. Tidak semestinya kita perlu dilantik ke jawatan tertentu baharu program agama digerakkan. Tanpa apa-apa jawatan yang kita pegang sekalipun, tidak akan ada pihak yang mampu menghalang kita menggunakan masjid, dewan, padang, pasaraya, sekolah milik negeri dan segala kemudahan kerajaan untuk menyampaikan mesej Islam.
Tidak cukupkah peluang ini direbut untuk Islam berkembang? Sama-samalah kita merenung dalam-dalam. Apalah indahnya Melayu Umno mentadbir, jika Islam seakan-akan terhumban selama ini. Dengan pakatan yang wujud inilah, maka rakyat pelbagai kaum dan agama berhak mendapatkan milik masing-masing dalam sebuah negara majmuk dan berbilang agama ini, termasuk Islam.
Salah siapakah jika kita hanya memiliki satu kerusi exco dan satu kerusi MB, jika ingin mencari pesalah? Tiada siapa yang bersalah, Cuma kita gagal meyakinkan Melayu Muslim Perak supaya mengundi PAS. Itu sahaja, pada perkiraan saya. Jadi tidak manis jika keadaan ini menyebabkan kita mencemburui komposisi yang ditetapkan, lantas cuba menilai-nilai semula pakatan yang telah diputuskan.
Gambar Hiasan. Malaysia bermasyarakat majmuk.
PAKATAN MEMBAWA KEMENANGAN
Ketiga, jika kita melihat jauh ke utara pula, mungkin kita terlupa bahawa kemenangan besar PAS dan PKR di Kedah juga adalah kesan daripada pakatan yang diwujudkan dalam BA, serta kerjasama longgar dengan DAP untuk tidak mahu berlaku pertembungan dalam pertandingan. Fakta menunjukkan majoriti bukan Melayu menyokong BR, maka sudah tentu ada sokongan mereka kepada kemenangan besar PAS di Kedah.
Cuba pula lihat kekuatan PAS jika bersendirian. Mampukah PAS melawan keegoan Melayu Umno bersendirian jika PAS tiada dalam pakatan? Sudah tentu tidak. Bertambah buruk lagi, jikalau PAS bertembung dengan mana-mana parti pembangkang ketika ingin menentang BN.
Oleh itu, apabila kita sama tinggi dan sama rendah dalam pakatan BA dan kemudiannya kerjasama longgar dengan PKR-DAP, maka sudah tentu semua anggota pakatan terpaksa memberi dan menerima untuk mewujudkan situasi menang-menang.
Sahabat saya tadi mahu kita menilai semula dan memperbaiki pakatan demi menjamin kebaikan lebih besar yang diperolehi oleh PAS, dan tidak bermaksud mahu keluar terus daripada pakatan. Apa yang berlaku sekarang seolah-olah kita hanya menang sorak tetapi hakikatnya ada pihak yang lebih gembira dan berjaya.
Saya tidak menolak bahawa ada masa dan ketikanya penilaian semula terhadap pakatan adalah perlu, dan mana-mana 'klausa' yang merugikan agama dan ummah perlu dipinda. Tetapi benarkah situasi sekarang ini kerana kelemahan pada pakatan BA yang seperti merugikan PAS atau kelemahan pada strategi PAS untuk menang.
Ambil contoh Selangor. Jika PAS menang di semua tempat yang ditandingi, saya fikir tiada sebarang isu ditimbulkan. Pakatan ini dilihat sangat cantik.
Setelah lama kita mentadbir Kelantan, kini menguasai penuh Kedah, rasanya tidak menjadi kekilanan untuk kita di posisi paling bawah di Selangor. Pakatan yang samalah meletakkan kita dengan posisi itu dan meletakkan kita terbesar di Kedah serta tertinggi di Perak.
Saya suka untuk kita bersama-sama mengukuhkan pakatan yang semakin terjalin ini daripada menilainya semula. Jangan pula kita terperangkap dengan kebimbangan perkauman yang diwujudkan oleh Umno atau ketakutan tidak wajar terhadap masa depan agama Islam dan umatnya, kerana banyak lagi benteng-benteng yang wujud di negara ini untuk kedua-duanya dipertahankan.
BN TERBUKTI GAGAL
Insya Allah dengan rasa hormat rakan kita terhadap parti kita, dan mengamalkan sifat adil yang sama-sama kita janjikan, ditambah pula kebijaksanaan pemimpin PAS bekerjasama, saya percaya Islam dan rakyat Malaysia keseluruhannya akan lebih selesa dengan situasi ini berbanding 50 tahun kelamnya negara ini di bawah dacing BN serta retorik-retorik indah mereka.
5 comments:
Coretan Sekupang.
Suatu analisis yang menarik dari Saudara Abu.
Teman tertarik dengan kerisauan sahabat saudara. Sebenarnya rungutan-rungutan ini juga telah dikongsi bersama oleh rakyat jelata diperingkat bawahan yang mana majoritinya tidak mengenali apa itu 'bloggers', khususnya Melayu Islam, baik PAS, UMNO ataupun atas pagar!
Dari pengamatan teman, analisis yang saudara buat di sini akan memerlukan masa yang panjang untuk sampai ke telinga rakyat jelata yang pastinya melalui sembang-sembang 'kedai kopi'. Berapa lama ya? Ianya akan bergantung kepada status populariti 'blog' saudara itu sendiri.
Untuk makluman, kebanyakan isu-isu yang diperkatakan oleh 'bloggers-bloggers' ini sesetengahnya telah melangkaui jangkamasa 5 tahun sebelum dikongsi bersama oleh rakyat jelata. Cuma olahan penulisannya sahaja diubahsuai. Namun, sesetengahnya telah pun melangkaui jangka hayat 10 tahun untuk rakyat jelata menerima kebenarannya.
Harus diingat, kerisauan yang di bangkitkan oleh sahabat saudara itu perlu ditangani segera oleh BR, khususnya PAS. Jentera-jentera parti di Perak dan Selangor perlu bekerja lebih keras lagi untuk menangani isu ini. Ianya perlu dimulakan sekarang!
Tunggu! Teman ada satu persoalan yang memerlukan penjelasan lanjut dari Saudara Abu. Apakah jentera-jentera parti saudara sendiri sudah memahami akan kebaikan 'perhubungan' ini terhadap PAS? Komunikasi dari atas ke bawah adalah diperlukan dalam konteks ini.
Penulisan-penulisan berbentuk kritis/analisis perlu disalurkan terus ke media cetak selain untuk tatapan di Elabritii Saudara Abu.
Demi kemakmuran BR, khususnya PAS, teman sarankan agar tulisan Saudara Abu ini dicetak semula di Harakah, Siasah, BH, Utusan dan sebagainya untuk renungan umat Melayu Islam di Malaysia ini.
Ini hanyalah pendapat peribadi teman yang tak lebih dari sekupang nilainya...........
sekupang,
nama tuan punya blog "Abu Ihsan" atapun bapa kepada Ihsan, jadi tak tepat kalau panggil beliau dengan sdr Abu
Ustaz,
Analisa yang baik, setuju dengan sekupang, mungkin boleh dilakukan dengan menghantar juga ke Blog PAS Puchong, dan media-media alternatif i.e. Harakahdaily,Malaysiakini dan juga akhbar Harakah.
tak sure kalau dah buat,tapi kalau belum boleh buat.
Terima kasih teman ucapkan kepada Saudara Fadzli diatas sifat pemurahnya untuk ingat-mengigati sesama insan.
Saudara Abu Ihsan,
Teman menyusun jari sepuluh diatas kesilapan teman terhadap saudara yang mungkin mengguris perasaan saudara. Ketahuilah, kesilapan ini adalah disebabkan 'kebodohan' teman sendiri.
Maaf zahir dan batin.
Salam.
Terima kasih kepada Fadzli kerana singgah di sini. Nak hantar pun mcm biasa aje tulisan ni. Tapi, tgklah, sekadar berkongsi tulisan, apa salahnya kan.
Tak apa sekupang, saya tak terasa apa-apa. Nama saya memang Abu Ihsan.
Terima kasih sekali lagi kepada antum berdua.
Sokongan yang diberikan, sangat2 dihargai.
Oh ya, tentang jentera parti saya, sebahagian besar faham. Cuma berbeza-beza tahap pemahaman tu.
Post a Comment