5.4.08

Pakatan Rakyat vs Negara Islam


Tajuk di atas bukan bertujuan untuk membincangkan pertembungan dan pertentangan dua konsep yang sedikit sebanyak wujud antara satu sama lain, sebaliknya untuk mengajak pembaca membuat pilihan yang mana perlu didahulukan, dalam situasi kini?

Saya percaya, ini bukanlah masanya untuk kita membilang apakah perbezaan antara yang pertama dengan yang kedua. Bukan juga untuk membuat pilihan, yang mana lebih betul dan lebih dekat dengan matlamat. Malah tidak juga untuk menyenaraikan kelemahan dalam setiap konsep di atas, pada pemahaman pejuangnya. Masanya mungkin belum sampai lagi.


Ketika kita masih lemah, baharu ingin bermesra antara satu sama lain, eloknya jangan dibangkitkan dahulu garis paksi bagi idealogi masing-masing dalam Pakatan Rakyat, kerana ia tidak banyak membantu untuk meraih sokongan rakyat terhadap kerajaan PR di lima buah negeri. Jika itulah fokus masing-masing, pastinya itu lebih membawa kepada situasi mudah menjadi mangsa serangan BN dan Umno.


Jika dilihat kepada kenyataan seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri semalam, beliau akui PR telah mengambil langkah terbaik dengan cuba menyatukan diri masing-masing dengan lebih kukuh, berbeza dengan Umno yang terdedah kepada perpecahan apabila kritikan berterusan dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap PM, Pak Lah.


Tiba-tiba, Karpal Singh melancarkan peringatan keras kepada PAS supaya jangan bercita-cita menubuhkan kerajaan Islam di Malaysia( melalui PR ). Sudah tentu ini menimbulkan keresahan dan tidak senang duduk ahli dan pemimpin PAS. Lim Kit Siang pula menegaskan, seperti yang dilapor Malaysiakini, PAS perlu ingat kepada perpecahan BA pada tahun 2001, ketika mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan.


Situasi agak hangat ini tidak berhenti di situ sahaja apabila dilaporkan media bahawa dua Ketua Dewan Pemuda Negeri PAS menyatakan sokongan terhadap TMB Kelantan. Belum pasti apakah ada lagi sokongan daripada pemimpin lain. Kecaman atau kritikan terhadap PAS sudah kedengaran daripada pemimpin PKR dan DAP.


Dalam hal ini, saya belum lagi mendengar kenyataan Presiden PAS bagi mengulas situasi yang berlaku. Sudah tentu kenyataan beliau dinanti, tambahan pula Lim Kit Siang telah turut menegur PAS dan mengharapkan Tuan Guru Haji Abdul Hadi membetulkan keadaan.


Saya percaya, isu ini tidak berbangkit jika media perdana tidak berperanan. Tetapi itu bukan harapan bijak. Juga jika pemimpin PR tidak mengambil berat kenyataan pemimpin negeri yang tidak menentukan dasar dan hala tuju PAS di peringkat nasional. Malah juga tidak akan menjadi lebih hangat jika pemimpin pemuda sempat menahan diri daripada mengeluarkan kenyataan, jika benar bagai dilaporkan.


Apabila ia telah menjadi isu, maka terpaksalah Presiden menyediakan kenyataan terbaik. Semua sedang menanti dengan minat, khususnya ahli PAS dan DAP.


Di sinilah saya ingin mengajak kita semua supaya menguruskan PR secara lebih bijak dengan mempastikan keutuhannya terlebih dahulu. Dalam keadaan kita masih lagi lemah, belum bebas sepenuhnya dan masih mudah dipecah-belahkan oleh BN, mungkinkah dengan membangkitkan isu negara Islam membantu PR menjadi utuh? Apakah ia juga mampu menyediakan jalan mudah kepada negara Islam?


Saya tidak mempersoalkan kewajipan menegakkan negara Islam di sini, sebaliknya mengajak kita menegakkan negara Islam melalui contoh dan teladan. Contoh dan teladan di Perak dan Kedah melalui perlaksanaan dasar PR, bukan kenyataan, istilah dan slogan. Apabila kita berjaya melakukannya, insya Allah jalan ke arah negara Islam tidak lagi bersemak-samun.


Oleh itu, marilah kita bincangkan PR terlebih dahulu, walaupun ia tidak memasukkan prinsip dan usaha penubuhan negara Islam mengikut idealogi PAS, kerana pengukuhan PR bermakna mengurangkan ranjau ke arah negara Islam apabila BN semakin lemah dan tidak diyakini rakyat.


Apabila PR mampu melemahkan BN dan warga Melayu semakin mempercayai PR, ia membawa natijah Melayu akan lebih ramai mengundi PAS dan PKR. Jika trend ini berterusan, tidak mustahil pada pilihan raya akan datang PAS dan PKR akan lebih kukuh dan menjadi tunjang kepada PR, yang pasti berbeza denga situasi kini. Ketika itu, harapan kita PAS adalah dominan dan mampu memimpin arus perubahan ke arah lebih sempurna dunia dan akhirat.


Terakhirnya, harapan saya ialah semua pemimpin, baik kecil, pertengahan mahupun utama PAS tidak mendahului Presiden dalam isu besar seperti ini.

No comments: