7.4.08

Perak vs Selangor

IPOH, (Tvpas)-Menteri Besar Perak, Mohamad Nizar Jamaludin mengumumkan enam perkara baru yang akan dilaksanakan Kerajaan negeri Perak dengan segera.

Perkara tersebut itu adalah:-

1) 1/3 dari anggota majlis kerajaan tempatannya akan dilantik di kalangan bukan anggota mana-mana parti politik.

2) Mengisytiharkan semua harta milik anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.

3) Memberikan kontrak secara tender terbuka dan keutamaan akan diberikan kepada rakyat negeri Perak.

4) Menubuhkan penal Lembaga Aduan Rakyat untuk mendengar aduan tentang pegawai kerajaan, wakil rakyat dan anggota Exco kerajaan negeri.

5) Menubuhkan badan audit luar untuk menilai semua badan-badan kerajaan negeri secara berkala.

6) Memberikan geran kekal untuk penduduk kampong tersusun dan kampong baru setelah tarafnya disah atau digezetkan oleh kerajaan dan penduduk berkenaan memenuhi syarat-syarat yang akan ditetapkan.

*********

Memang cukup seronok melihat kelancaran perjalanan kerajaan PR Perak sehingga ke hari ini. MB Perak telah menunjukkan kewibawaannya dan kematangannya sebagai seorang ahli politik yang tulin. Mentadbir dengan baik dan mendekati rakyat melalui kenyataan media dan tawaran segera.


Keadaan ini seperti tiada di Selangor. Saya percaya Selangor juga telah melakukan beberapa perancangan untuk rakyat, tetapi masih banyak lagi yang belum terjelas atau terjawab. Bagi yang telah diambil tindakan pula, sejauh manakah ianya disedari rakyat? Jika saya sebagai penggiat politik kecilan di cawangan saya ini pun tidak merasai cukup dalam menerima penjelasan hal-hal berbangkit, apatah lagi bagi rakyat marhaen yang terperosok di ceruk Hulu Selangor atau Hulu Langat contohnya?


Bagi saya isu yang 'hangat' dibincangkan di Selangor kini, khususnya di peringkat rakyat marhaen ialah bila lagi Selangor ingin melaksanakan janji manifestonya. Ketika berjanji, lupa segala halangan dan cabaran, apabila sudah menang, kita hanya tertumpu pada halangan dan cabaran, tiada pelan penjelasan yang tersusun. Sekurang-kurangnya, jelaskan status terkini!


Ramai yang agak kecewa. Bukan kerana tidak dapat habuan lagi, tetapi belum dengar apa-apa penjelasan daripada pihak atasan. Kenapakah tiada penjelasan seperti dilakukan Perak? Media alternatif jauh dari Selangor? Atau kepimpinan Selangor masih sedang mempelajari apa itu kerja exco? Saya percaya tidaklah sampai begitu. Tetapi, walau apapun alasan yang kita berikan, rakyat tidak mengerti, dan tetap tidak puas hati kerana semuanya seperti mendiamkan diri.


Sekurang-kurangnya bersuaralah tentang janji-janji itu. Sebutkan, sumbangan ini dalam proses, sumbangan itu dijangka bulan depan, yang ini tunggu respon daripada pihak ketiga....apa yang rakyat mahu adalah suara, rasa didekati dan keperihatinan pemimpin.


Jangan sehingga mulut mereka terpacul ayat; sama sahaja!

No comments: