Petisyen itu turut menyatakan Umno Kampar kesal kerana bekas menteri besar Perak itu tidak mengambil inisiatif selaku pemimpin untuk merangsang semangat ahli parti selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) di Perak dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.
Begitulah antara yang sempat saya petik daripada Malaysiakini.com. Usaha dilakukan oleh Umno Kampar apabila merasakan sudah sampai masanya bekas MB Perak ini melepaskan amanah berat sebagai seorang ketua, selepas kekalahan teruk ini, kepada individu lain yang lebih agresif, agaknya.
Sebagai anggota keluarga Umno, Bahagian Kampar tentu lebih arif apa yang telah berlaku dalam Umno Perak dan apa yang lebih baik untuk hala tuju mereka, bukan hanya malu apabila MB Perak ke-10 daripada PAS adalah berasal dan aktif di Kampar.
Saya secara peribadi, bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan itu. Datuk Seri perlu berkira-kira untuk mengambil pendekatan ini. Iaitu memberikan suntikan baru kepada Umno Perak yang seperti hidup segan, mati tidak mahu lagi.
Bagi saya lagi, bukan setakat itu sahaja, saya mencadangkan juga Datuk Seri berehat seketika daripada aktif di peringkat perhubungan negeri. Lepaskan jawatan sebagai Pengerusi Umno negeri dan jangan terlibat lagi dengan negeri. Secara otomatiknya, kedudukan ketua pembangkang juga diserahkan kepada orang lain, seperti Raja Ahmad atau individu yang lebih muda. Raja Ahmad tidak digemari oleh orang-orang muda yang kaki bola.
Saya suka jika Datuk Seri hanya menumpukan kepada DUNnya sendiri selain menumpukan lebih masa untuk keluarga, maklumlah sudah bercucu dan bermenantu. Mungkin inilah masanya untuk mencari 'wakaf' untuk memperlahankan perjuangan politik Datuk Seri. Saya fikir sudah cukup banyak jasa yang dilakukan oleh beliau. Sejak mudanya aktif dengan program belia dan sehingga kemuncaknya menjadi seorang Menteri Besar, selepas agak lama juga bekerja untuk rakyat di peringkat persekutuan.
Saya tidak fikir Datuk Seri berpolitik kerana diri sendiri semata-mata. Beliau mahu memberi sumbangan kepada rakyat. Setelah majoriti rakyat menolak beliau, termasuk anak buah daripada Umno sendiri, saya fikir beliau tidak payahlah bersusah payah untuk bertegas menyumbang kepada rakyat dengan jawatan paling tinggi dalam Umno dan BN Perak. Jika orang sudah tidak sudi menerima, wajarkah kita beriya-iya mahu memberi, kecualilah kita ada matlamat peribadi atas nama ingin menjasai rakyat. Tapi saya fikir Datuk Seri tidak begitu, atau sekurang-kurangnya tidak lagi begitu, sudah cukup!
AKTIF NGO ISLAM
Lanjutnya, saya mencadangkan Datuk Seri mula berjinak-jinak dengan mana-mana NGO agama. Tiada masalah, pilih mana satu, dan saya yakin Datuk/Datuk Seri Zahid Hamidi akan memberi laluan mudah untuk beliau berjasa kepada rakyat dan Islam melalui NGO Islam ini.
Saya tahu, Datuk Seri Tajol Rosli bukan asing dengan aktiviti agama, tidak seperti sesetengah pemimpin Umno yang lain. Datuk Seri tumpukan kepada usaha ini di akhir hayat beliau, adalah husnul khatimah yang cukup menjamin kebahagiaan hidup selepas mati. Saya tidaklah mengatakan Datuk Seri akan mati cepat, tapi pasti mati, seperti saya juga. Bagi saya, Allah telah memberi isyarat yang cukup baik dan jelas supaya sisa-sisa akhir hidup beliau ditumpukan kepada aktiviti menghidupkan agama, bukan lagi Umno yang penuh dengan kezaliman dan kebejatan.
Datuk Seri tahulah apa yang ada pada Umno dan pemimpinnya. Datuk Seri bukan daripada golongan itu. Datuk Seri orang sembahyang, membaca al-Quran, belajar bahasa Arab, mendekati ulama seperti SS Dato' Mufti negeri dan ustaz-ustaz muda lain, sama ada ahli Umno atau pendakwah bebas rakyat Perak. Saya yakin, ramai yang Datuk Seri kenal.
Datuk Seri pula bukan jenis kaki bar, kaki minum, kaki rasuah dan kaki rampas harta orang. Datuk Seri adalah kaki membaca buku-buku agama, kaki fikir maslahah rakyat dan kaki memuliakan ulama bebas. Silap sikitnya Datuk Seri juga kaki Umno yang besar.
Biarkanlah kesilapan lalu itu berlalu. Mulakan diari baru dengan mendekati NGO-NGO Islam yang jauh lebih mulia dan berfaedah daripada terus kekal sebagai Pengerusi Umno Perak yang sudah semakin ketinggalan keretapi itu. Percayalah Datuk Seri.
Percayalah, hijrah daripada aktif Umno kepada aktif NGO Islam di Perak, Malaysia atau dunia sekalipun, adalah hijrah dari lembah gelap kepada wadi hidayah yang menerangi seluruh kehidupan gelap Datuk Seri. Insya Allah, saya optimis. Tinggal lagi Datuk Seri kena berani, tahan malu, dan tekad untuk agama dan kerana agama Datuk Seri. Allah Maha Agung, Datuk Seri, Dan Datuk Seri pun tahu...!
2 comments:
Baru – baru ini saya bersama keluarga menghadiri majlis perkahwinan sahabat saya di Taman Perumahan SMTD Kampar, apa yang menariknya adalah apabila melalui Pekan Kampar di sepanjang jalan tersebut terdapat banting dan banner Parti Islam semalaysia (PAS) mengucap terima kasih dan ucapan selamat kepada pemandu yang melalui jalan tersebut. Terdetik di hati saya “wah! PAS dah tawan Kampar”.
Pada keesokan harinya sewaktu melayari internet di pejabat, saya merasa agak mual dengan kenyataan UMNO Kampar yang mendesak agar YB Dato’ Seri DiRaja Tajol Rosli meletakkan jawatan kononnya petisyen telah ditandatangani oleh 111 ahli jawatankuasa cawangan UMNO Kampar, ketua kampung dan sebagainya. Mengapa begitu berdendam UMNO Kampar terhadap YB Dato’ Seri DiRaja Tajol Rosli? Adakah ia benar-benar luahan hati masyarakat Kampar atau terdapat tangan jahat di belakang tabir yang mengawal ‘remote control ini’?
Umum mengetahui kehebatan Dato’ Mohamed Radzi Manan, seorang saudagar peralatan ketenteraan (Pengerusi Eksekutif Le Proton Lima Sdn Bhd) dan dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Perak hanya di zaman YB Dato’ Seri DiRaja Tajol Rosli. Tinggal pula di kawasan perumahan mewah di Bukit Tambun yang berjiranan dengan Kerabat Diraja Negeri Perak, menunjukkan nikmat kemewahan yang beliau nikmati sebagai Ketua UMNO Bahagian Kampar. Tetapi persoalannya adakah begitu hebat individu yang diberi nama Mohamed Radzi Manan ini?
Pernah bertanding sewaktu pemilihan Majlis Tertinggi UMNO 1996-1999 dengan mendapat tempat ke 35. Memenangi pilihanraya sebelum ini dengan majoriti 1, 970 menentang calon PKR, tak begitu berkesan sewaktu menjawat jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri dan pelbagai lagi. Masih teringat bagaimana sorakkan di Kediaman MB Perak apabila nama anak beliau di calonkan untuk bertanding menggantikan tempat beliau. Bukan sorakkan menyokong, tetapi membangkang pencalonan tersebut sehinggakan ada yang sanggup berkampung di Kediaman MB Perak untuk menyatakan rasa meluat mereka terhadap pencalonan tersebut. "Budak beringus hendak diletakkan menjadi calon, kenapa tidak dipilih orang yang telah lama berkhidmat dalam Umno bahagian, yang banyak berjasa" adalah antara kata-kata yang dihemburkan oleh mereka.
Hebat Radhi Manan! UMNO untuk anak beranak, Ketua Bahagian - Radhi Manan, Ketua Wanita - Isteri Radzi Manan, Ketua Puteri - Anak Saudara Radzi Manan, sekarang ADUN Tualang Sekah - Anak Radzi Manan. Saya tidak menyalahkan suara hati golongan ini kerana jika beginilah ‘role model’ pembela UMNO yang maha hebat sudah pasti untuk PRU-13 UMNO boleh gulung tikar.
Umum mengetahui anak beliau bukan ahli UMNO di Bahagian Kampar, suatu ketika dahulu ‘anak emas’ Radzi Manan ini merupakan ahli pergerakan Puteri UMNO Bahagian Tambun, disebabkan perbalahan beliau dengan Ketua UMNO Bahagian Tambun, anak beliau dipindahkan ke salah satu Bahagian di Kuala Lumpur.
Apakah jasa besar beliau sewaktu menjawat jawatan sebagai Exco dahulu? Apakah produk pelancongan atau model pertanian yang berjaya beliau ketengahkan sewaktu menjadi exco dahulu? Yang pasti rakan-rakan agak takut untuk menghantar proposal kepada beliau, takut salin kulit kata mereka!
Saya agak risau kalau inilah model pejuang untuk membela dan menyatukan UMNO, lebih baik bermula sekarang kita pakat beli kopiah putih lebih-lebih sikit takut tak sempat. Brother, pangkat tak boleh di bawa mati! UMNO bukan milik anak beranak!. UMNO adalah milik Orang dan Ahli UMNO.
Salam,
Terima kasih kepada Pak Din yang meberi komen. Banyak maklumat yang saya dapat. 'Ghopenye' yang menuntut itu jauh lebih tidak mulia berbanding yang kena tuntut.
Begitulah ghopenye politik umno dan suku sakatnya, kroni, ghete, ngelat dan gile kuasa.
Harapan saya kepada Tajol Rosli adalah kerana saya yakin dia ada kelebihan-kelebihan untuk insaf meninggalkan umno.
Mungkin ghamai oghang umno beralasan ruh Pas di Kelantan dan Terengganu tak sesuai dijadikan asas perjuangan rakyat di Pantai Barat, Ntahle apa sebabnya, tapi saya ghasa mmg ada yang fikir begitu.
Nah, sekarang lihatlah bahtera yang dinakhodai oleh Datuk Seri Mohammad Nizar dan Pas Perak, berasama PR.
Dekatilah mereka...
Post a Comment