21.5.08

Ajak Tun Dekati Platform Politik Islam

Seperti yang banyak pihak jangka, pengumuman keluar Tun daripada Umno menarik ramai orang untuk membuat andaian, ulasan dan komen. Paling menarik minat saya ialah keterbukaan pimpinan PAS terhadap Tun, sehingga sedia membuka pintu untuk bekas PM tersebut menyertai parti Islam, PAS.


Tuan Guru MB Kelantan menegaskan, Tun adalah seorang yang sangat bijak, tetapi sayang apabila kebijaksanaannya digunakan untuk sekular, bukan Islam. Namun beliau tidak mahu mempelawanya masuk, seperti pendiriannya terhadap MP Pasir Mas, YB Ibrahim Ali.


Salahuddin Ayub, Ketua Pemuda PAS pula lebih laju dengan mengajak Tun menyertai PAS. Beliau berkata, Dewan Pemuda PAS mengajak Tun Dr Mahathir Mohamad dan ahli-ahli Umno yang sedar penyelewengan perjuangan mereka untuk membina kekuatan baru bangsa Melayu berasaskan Islam dengan menyertai PAS. Menurut Salahuddin lagi, jika Tun Mahathir sudi menyertai PAS, kesilapannya yang lalu masih boleh diperbetulkan dan beliau berpeluang melihat Islam dalam konteks menyeluruh seperti yang diajar oleh Rasulullah.


Kenyataan Salehuddin tersebut pasti menimbulkan pelbagai ulasan dan komentar pula. Mungkin ada yang masih benci dengan Tun kerana peristiwa-peristiwa sepanjang era reformasi yang lalu, tidak bersetuju dengan pelawaan ini. Bagi saya, biarlah ajakan itu dikemukakan. Ia tidak merugikan dan tidak juga menguntungkan Umno atau perjuangan sekular.


Bayangkan jika di Mahsyar nanti, Tun menyalahkan pemimpin PAS tidak mahu mengajaknya memahami Islam, ketika dia telah meninggalkan platform perjuangan sekularnya? Sebagai anggota gerakan dakwah, jangan tidak bijak untuk menggunakan peluang terdedah di hadapan mata bagi seruan dakwah kepada Islam dan Allah. Seperti selalu kita nafikan, kunci syurga bukan di tangan kita, yang membawa erti syurga itu bukan milik kita. Ia milik Tuhan kita.


Oleh itu, kenapa kita tidak mahu mempelawa Tun ke jalan politik benar, yang mungkin membawa kepada mencapai kunci syurga tadi, yang merupakan milik Allah ta'ala. Kita pula tidak boleh menghalang Tun memasukinya, apatah lagi jika terbentang di hadapan Tun, jalan politik Islam yang sebenar.


Jika pun semua ini sandiwara Tun, ia tetap merupakan kewajipan pendakwah, mengajak semua manusia, termasuk anggota Umno yang lain, bersama-sama Tun, menyertai platform politik Islam sebenar, bukan Islam ala Umno yang haru.


Inilah intipati ajakan Presiden PAS kepada keluarga Umno dan BN supaya menyertai perjuangan PR, sedikit masa dulu, yang mana PAS adalah sebahagian daripada kekuatan PR tersebut.

No comments: