Saya seringkali mengajak diri saya menulis apa sahaja selain politik di blog ini. Tetapi hakikatnya, saya lebih teruja dengan isu-isu politik berbanding lainnya. Bukan kerana saya mahir menulis politik, atau kerana ada kepentingan dalamnya. Saya fikir, mungkin kerana ianya mudah bagi saya, daripada menelaah bahan bacaan untuk artikel agama atau rumahtangga.
Walaupun begitu, saya tidaklah mendakwa tulisan politik saya matang dan bagus. Ia hanya memenuhi hobi baru saya, menjadi penulis blog yang sedang belajar menulis.
Beberapa hari yang lalu, saya semakin memutuskan untuk menolak secara baik usaha yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat ( kelihatannya seperti Anwar seorang ) dengan memujuk dan menerima MP BN masuk ke dalam keluarga pembangkang, PR. Saya berputusan sedemikian kerana melihat amanah yang diterima oleh wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat ketika mengundi. Jika mereka mahu wakil ini mewakili BN, majarkah wakil ini meninggalkan BN selepas mereka disahkan wakil rakyat untuk BN?
Samalah juga jika hal ini mengena diri kita sendiri. Paling panas ialah perisytiharan MP Pasir Mas Kelantan, YB Ibrahim Ali. Beliau bertanding atas tiket PAS, tetapi merupakan calon bebas, bukan anggota parti PAS. Namun, apabila menang dan hampir menjejakkan kakinya ke lobi utama Parlimen, beliau umumkan bukan wakil rakyat PAS, sebaliknya bebas. Riuh rendahlah penyokong PAS, khususnya anak-anak muda yang penuh semangat dan emosi.
Saya tidak tahu apakah kandungan perjanjian atau kontrak antara Ibrahim Ali dengan PAS Kelantan, atau dengan Tuan Guru sendiri. Saya juga tidak tahu apakah pengumuman beliau itu melanggari sebarang perjanjian atau tidak. Apa yang saya pasti, beliau telah dituduh kaki lompat lagi, oleh penganalis dan pemerhati politik yang tidak profesional. Saya belum lagi mendengar ulasan daripada mana-mana pemimpin Kelantan dalam isu ini.
Jadi, jika kita sudah bising-bising dengan seorang Ibrahim Ali, bagaimana pula dengan 30 MP BN yang akan menyeberangi tembok rapuh BN kepada PR? Mereka tentunya bising dan marah-marah. Rakyat yang mengundi mereka akan pasti menyumpah mereka dan tokoh PR sendiri. Bukankah ini kelihantannya seperti khianat? Jadi dengan andaian dan jangkaan pengkhianatan akan berlaku, ramailah yang mula menulis menolak usaha tersebut. Saya juga seperti bersetuju pandangan ini.
Namun setelah membaca beberapa komentar di Tranungkite.net dan tulisan Hishamuddin Rais di Malaysiakini.com, saya semakin dekat kepada usaha pemujukan dan penerimaan itu.
Komen-komen di Tranungkite dan tulisan Hisham menjurus kepada kebobrokan yang dilakukan oleh BN sejak sekian lama sebagai hujah mewajarkan peralihan seperti ini berlaku. Sejak 50 tahun lalu, bukan sedikit jahat yang kelihatan dan terjadi. Malah Hisham menulis satu persatu sabotaj dan degil BN sejak PRU 12, walaupun ketika ia sedang tersungkur rapat ke bumi. Inikan pula jika semakin pulih nanti. Bagi beliau, PRU 13 belum tentu menjanjikan peluang yang sama seperti sekarang, untuk merapatkan terus angkuh BN ke tanah.
Hujah-hujah yang saya baca ini menggambarkan peralihan kuasa bukan cara pengundian ini, adalah wajar dilakukan. Cuma saya masih lagi belum berpuas hati terhadap hujah-hujah itu, baik untuk mententeramkan jiwa saya, mahupun meyakinkan khalayak .
Bagi saya, kenyataan Presiden PAS sebelum ini, yang secara asasnya menerima usaha peralihan ini, perlu disambut oleh tink tank atau Pusat Penyelidikan PAS ( PPP ) untuk melakukan kajian berkaitan, dengan segera. Sebagai parti lebih 50 tahun usianya, PAS perlu berhujah dengan matang dan mantap dalam apa sahaja isu dan tindakan.
Cadang saya, kajian pertama ialah pada kewajarannya peralihan gaya tersebut pada kaca mata demokrasi. Kedua kewajarannya pada hukum syara' dan ketiga kewajarannya dalam membantu penerusan perjuangan Islam PAS.
Kajian atau analisa detil dalam isu ini sangat mendesak supaya PAS dapat menyatukan suaranya, baik antara sesama pimpinan mahupun dengan ahli dan penyokong. Jangan hanya melihat dan menunggu, biarkan Anwar menentukan segala-galanya, strategi, konsep, hujah, dan tindakan.
Kajian ketiga yang saya sebut di atas, bukan bertujuan untuk meyakinkan petugas PAS, tetapi bagi memastikan seruan PAS benar-benar disedari oleh pakatan walaupun mereka belum bersedia dengannya, baik separuh ataupun sepenuhnya.
MENYOROKKAN SERUAN ATAU APA
Sedar tak sedar, PAS atau pemimpinnya seperti sengaja 'menyorokkan' seruan parti selama ini, atas tindakan yang dipilih. Itu dakwaan sesetengah orang. Mereka bertanya lagi, pernahkan DAP menarik semula Malaysian Malaysianya, atau PKR yang menjuangkan keadilan dan Anwar, sanggup bertolak ansur? Lihat sahaja sikap PKR dalam Dasar Ekonomi Barunya. PAS, kenapa sudah ada ahli yang pertikaikan diam membisunya pimpinan dalam isu seruan dan cita-cita kita?
Saya sendiri tidak persoalkan keikhlasan dan keyakinan pimpinan, tetapi strategi apa yang sedang diambil kini? Apakah ia masih dalam skop kajian atau strategi PPP, atau ianya diluar kawalan, atau terserahlah kepada penilaian individu. Kini sudah ada beberapa kenyataan bercanggah antara tokoh besar PAS.
Maka janganlah isu-isu besar seperti ini, menonjolkan PAS tidak bersedia dengan strategi menyeluruh dan sistematik. Apa yang ahli dan aktivis tidak mahu melihatnya ialah apa yang berlaku kini hanyalah kerana kita belum bersatu fikrah, tiada persediaan penuh dan perjalanan PR di luar kawalan parti. Bukan maksud saya PAS perlu kawal perjalanan PR secara total, tetapi lontaran saya bermaksud apakah suara-suara PAS berkumandang dalam sesi perbincangan PR, atau sebaliknya.
No comments:
Post a Comment