25.5.08

Ezam Dan Politiknya

Dahulu ketika KeADILan mula diperkenalkan, dan Anwar masih lagi dikurung sebalik jaring penjara, pimpinan muda KeADILan bertungkus-lumus, berhempas-pulas mengajak rakyat menumbangkan kerajaan Mahathir dan membebaskan Anwar. Sasaran serangan dan hentaman mereka ialah, Mahathir, Najib, pemimpin korup, rasuah dan kronisme serta ketidak-bijakan ahli-ahli Umno yang masih lagi taat membuta tuli kepada pemimpin parti 'dacing senget' itu.


Ironinya, pemimpin yang banyak menyebut perjuangan membebaskan Anwar ialah Ezam Mohd Nor, yang kini disebut-sebut akan meninggalkan segala-galanya, untuk berpusing 180 darjah ke arah Umno, parti yang menjadi sasarannya sejak reformasi. Selain itu, prinsip-prinsip keadilan dan kesaksamaan sering juga diutarakan. Tetapi, apakah jati diri bagi KeADILan yang kini PKR?


Saya cuba melihat faktor tolakan dan tarikan yang berlaku kepada Ezam, sehingga mencetuskan keinginan memasuki pintu karat Umno itu. Jika ianya ibarat kapal, maka kapal itu adalah kapal besar yang telah bocor kecil di sana sini. Sempat atau tidak kebocoran itu ditampal, bergantung kepada kemampuan nakhoda kapal meyakinkan anak kapalnya akan pengemudiannya terhadap kapal.


Senario-senario ini perlu kita ambil kira:

1. Ezam anti kepada Mahathir, yang kini telah berada di luar kapal senget dan bocor tersebut.

2. Ezam anti kepada rasuah, yang ada persamaan dengan azam Pak Lah yang mahu memerangi rasuah, dan sudah tentu mahu pengemudi kecil untuk melawan rasuah.

3. Siapa pemimpin Umno yang benar-benar bebas dan diyakini bebas daripada palitan rasuah?

4. Apakah ada usaha untuk sengaja mengeluarkan Mahathir daripada Umno?

5. Ezam berjuang di dalam keADILan untuk membebaskan Anwar dan menentang rasuah dan kronisme.

6. Anwar telah bebas dan penentangan terhadap kronisme boleh sahaja di buat di mana-mana, termasuk di dalam Umno.

7. Ezam kecewa apabila usahanya membebaskan Anwar seperti tidak dihargai, apabila dakwaannya Anwar cuba 'memilikkan' PKR dan Anwar dikuasai oleh orang sekelilingnya.

8. PKR tiada jati diri sebenar dan kekal serta istimewa yang mengikat Ezam untuk terus setia bersama PKR. Jati diri PKR berkecamuk dan bercelaru.

9. Jika Umno boleh bermain sentimen Melayu, PAS Islam, DAP Malaysian Malaysia, tetapi PKR pula sama ada keadilan atau penobatan Anwar sebagai PM.

10. Jika untuk keadilan, boleh sahaja Ezam perjuangkannya dalam Umno, jika demi Anwar, sudah tidak relevan lagi jati diri itu terhadap Ezam.

11. Apa lagi pilihan Ezam yang mendarah daging jiwa politiknya selain menyertai Umno? Boleh mendekati PAS, tetapi tetap akan bersua dengan Anwar dan orang sekelilingnya. Untuk kekal dalam PKR, demi apa selain Anwar? Menyertai Umno, maka dia boleh bercakap tentang rasuah, kronisme dan nepotisme di dalam Umno dan kerajaan.

12. Kenapa jika boleh di dalam NGO, tidak di dalam kerajaan?

13. Tambahan pula Anwar tidak pernah mengajar kita akan kebenciannya terhadap Umno. Apa yang disebut oleh Anwar ialah, rosaknya Umno kerana kebejatan sesetengah pemimpin Umno. Malah Anwar selalu menyatakan dia tidak bermusuh dengan ahli2 Umno di peringkat bawahan.

14. Jika begitu apakah bezanya PKR dan Umno? Jika Ezam boleh berjuang di dalam parti berbilang agama ahlinya dan sekular semangatnya, iaitu PKR, apakah hina jika berjuang di dalam parti sekular Umno? Lebihnya PKR hanya belum terpalit dengan rasuah, kurangnya Umno ialah ramainya pemimpin yang rosak.

15. Bukankah ada lojiknya Ezam membantu Pak Lah untuk kepentingan Melayu, keadilan dan kesaksamaan dalam kerajaan dan demi kepentingan negara melalui parti pemerintah?

16. Jika kita bercakap tentang Pak Lah, Ezam boleh sahaja bercakap tentang Anwar dan Azmin.



Tetapi, jika Ezam mahukan akhiratnya mudah, politiknya cemerlang, jangan tunggu lagi, pergilah mendapatkan nasihat daripada Mursyidul Am PAS. Beliau tidak memiliki keajaiban, tetapi nasihatnya menjadi mutiara kepada ribuan manusia di Malaysia. Dia hanya orang biasa, tetapi amalan dan imannya dilihat luar biasa.


Ezam boleh sahaja mencipta seribu alasan, jika dia benar-benar ingin menyertai Umno, tetapi perlu diingatkan, kerja politik ini bukan hanya kerja kita orang-orang yang bijak berpolitik, ia kerja para nabi dan rasul. Ikutilah bimbingan yang disediakan oleh agama. Hancurkan ego itu, sekali-sekala.



2 comments:

Anonymous said...

tak mustahil dia masuk umno balik kan ust?susah sebenarnya nak kawal orang yg tidak ada pendirian fikrah yg kuat, sama spt masa anwar buat ijtihad untuk join umno dulu.

moga ianya merupakan salah satu siri "tothiriyyah" dari Allah.

Elbaritii said...

Memang tak mustahil. Orang selalu sebut, politik adalah seni serba boleh. Jgn pula politikus Islam terikut2 dgn budaya semua boleh.

Bagi ana, Ezam masih boleh berpatah balik, sekiranya benar dia telah memutuskan untuk menyeberang ke Umno. Rakan-rakan PAS beliau perlu membantu, atas nama persahabatan.