28.5.08

Ezam Kembali: Cermin Hubungan PAS-PKR


Sekali lagi saya tidak dapat mengelak daripada menulis tentang isu politik tanah air, apabila negara disensasikan dengan kembalinya Ezam ke lubuk Umno. Saya selalu memujuk diri untuk menulis tentang apa sahaja selain politik, supaya blog ini tidak hanya membicarakan tentang politik, namun belum berjaya sepenuhnya.


Kembali kepada cerita Ezam. Isu ini bagi pembacaan saya bukanlah isu tentang perihal proses kemasukan Ezam ke dalam Umno, atau pengkhianatan Ezam terhadap perjuangan reformasi, juga bukan tentang dirinya. Sebaliknya ia adalah isu hubungan PAS-PKR, jati diri PKR dan kepercayaan yang wujud begitu-begitu antara keduanya. Bermakna, ia adalah cabaran baru bagi Pakatan Rakyat.


  1. Bagaimana proses berlaku, usah dihiraukan sangat. Termasuk siapakah yang mula memujuk Ezam, apakah respon sebenar Najib dan bagaimana kedudukan Khairy di sisi Abdullah selepas Ezam ( akan jadi orang PM ) mendampingi Abdullah.


  1. Jangan dituduh Ezam mengkhianati reformasi, kerana reformasi tetap boleh dilakukan oleh beliau di dalam Umno, cuma berjaya atau tidak sahaja, berbaloi atau sia-sia sahaja persoalannya. Beliau juga telah menzahirkan punca kemasukannya ke dalam Umno secara langsung di TV3 tadi, iaitu bagi memenuhi ruang sedia ada dalam Umno yang kini lebih kelihatan pro-reform.

  1. Diri Ezam bukanlah isu besar bagi kita. Memang ada impak dengan kemasukannya, jika tidak TV3 tidak akan mewawancara beliau secara langsung dalam berita jam 8.00pm tadi. Biarlah kita fokus kepada isu sebenar. Apa yang lebih penting ialah melihat kedudukan diri sendiri melalui isu ini.

  1. Hubungan PAS dan PKR mesti lebih diperkukuhkan. Orang kuat PKR kini kebanyakannya adalah orang kuat Umno dahulu kala. Ezam yang pernah kuat Umno, bertukar kuat PKR, kini kembali akan menjadi orang kuat Umno. Perjuangan Ezam dahulu kala adalah perjuangan Anwar dan Azmin kini. Pendirian Ezam kini, mungkin sahaja menjadi pendirian Anwar dan Azmin masa depan. Perkiraan ini sering kali bermain di fikiran orang kuat PAS yang memang lebih PAS daripada PR. Sejak sekian lama, masih ada orang PAS yang longgar keyakinannya terhadap pendirian dan istiqamah pemimpin PKR selepas banyak peristiwa 'kembali ke asal berlaku'. Oleh itu, permainan Ezam mesti memberi impak negatif. Akibatnya mesti sentiasa dipantau. Ia adalah sebahagian daripada politik serangan Umno terhadap PR dan boleh juga dianggap serang balas Abdullah terhadap Anwar. Maka, kedua belah pihak mesti sentiasa mengukuhkan kepercayaan masing-masing.

  1. Jati diri yang saya maksudkan ialah, persoalan ideologi sebenar PKR yang membezakannya dengan Umno. Apa kah sekadar perbezaan pemimpin? Perbezaan pada pucuk pimpinan Umno yang pernah ada Mahathir, tidak PKR! Bagaimana keadilan yang diperjuangkan oleh PKR berbeza dengan suara keadilan dalam Umno? Apakah perbezaannya hanya pada tindakan? Umno bercakap soal keadilan dan kesaksamaan tetapi tidak dilakukan, manakala PKR bercakap soal yang sama dan berjanji akan laksanakan? Saya tidak bermaksud bahawa sestengah orang kuat PKR menipu atau hanya bermain kata-kata. Maksud saya, PKR keseluruhannya belum teruji sepenuhnya dengan apa yang dinikmati oleh Umno sepanjang 50 tahun. Jika jati diri PKR yang membezakannya dengan Umno hanya pada elemen keadilan dan ketelusan longgar, maka ia bukan jati diri mantap untuk mampu mengikat PKR dan PAS saling bersetia antara satu sama lain selamanya.

  1. Makin ramai orang PKR kembali, makin longgar keyakinan orang-orang PAS terhadap PKR, maka makin disukai oleh Umno. Kembalinya Ezam, memberi kesan kepada kepercayaan satu sama lain antara PAS dan PKR. Masalah ini memang tidak kelihatan di peringkat atasan, namun di lapisan bawah ini sukar dinafikan. Tanyalah ahli PAS terhadap hal ini. Saya yakin bukan sedikit ahli PAS yang meragui kesetiaan dan keteguhan hubungan PAS-PKR?

  1. Maka itulah cabaran terkuat terhadap PR buat masa ini. Jika Ezam yang sentiasa melaungkan sumpah keramatnya sanggup berpatah ke lubuk itu, apalah sangat ...

Oleh itu, menjadi tanggung jawab besar kepada pimpinan tertinggi PR untuk mewujudkan kondusi saling mempercayai, saling bertolak ansur, saling terbuka, saling meneluskan diri, saling mengikhlaskan diri dan saling menunjukkan keyakinan dan ketelusan berlangsung dalam keputusan dan tindakan bersama, bukan seorang diri atau istilah orang baratnya 'unilateral'.

2 comments:

Anonymous said...

Tahniah saudara Omar. huraian dan pandangan saudara berhubung perkara ini adalah sedikit berbeza daripada apa yang saya dapati dr sesetengah penulis samada Media kerajaan mahupun Harakah.

Bukanlah perbezaan itu yang saya inginkan, namun ia membuka sedikit minda kerdil utk berfikir. Kitaran perjuangan org2 yang berjuang berulang dan pasti berulang.. yang berupa-rupa, yang berharap habuan sudah diceritakan didalam Islam. Namun yang ikhlas kerana ALLAH itulah yang beruntung... Wallahua'lam. Selamat berjuang Saudara...

Elbaritii said...

Anon, terima kasih atas kunjungan dan komen. Berkaitan apa yang dikomen, saya cuba melihat sesuatu itu secara telus untuk kebaikan sendiri ( parti dan kerajaan 'kita' )

Tak guna kalau asyik melihat orang lain, masalah sendiri dibiarkan begitu sahaja.

Datang lagi yer...