31.5.08

Pakej Islam Hadhari Mengelirukan


Islam Hadhari hangat diperkatakan apabila Exco kerajaan negeri Selangor Dato' Dr Hasan Mohd Ali mengharamkannya baru-baru ini.

"Kita haramkan Islam Hadhari di Selangor ini kerana Islam yang kita amalkan dulu dan hari ini tidak berubah dan sudah cukup."katanya.


Saya tidak melihat ucapan tersebut di atas adalah salah. Ia sebagai kenyataan secara umum bagi menyentuh hal tersebut, dan merupakan suatu penegasan terhadap pakej agama yang telah sempurna sejak sekian lama. Tambahan pula Islam Hadhari diumumkan atas pengaruh iklim politik tanahair. Ia tidak dibuat secara telus, bersungguh-sungguh dan konsisten oleh pihak kerajaan. Ramai melihat ianya hanya pakej politik.


Oleh itulah maka kerajaan Selangor juga melihat daripada perspektif politik dengan menolak pakej itu secara sepenuhnya. Tetapi ia tidak bermakna menolak kandungan pakej tersebut secara total, kerana banyak kandungannya benar dan tepat mengikut agama. Yang dipertikaikan ialah istilahnya yang tersasar dan pakejnya lompong dan cacat di sana sini.


Salahkah menolaknya secara pakej? Jawapan saya, tidak salah kerana apa yang benar di dalam pakej itu turut ada dalam pakej asal agama Islam yang diperjuangkan oleh Rasulullah saw. Menolak pakej Islam hadhari bukanlah bermakna Selangor tidak akan melakukan mana- mana kebaikan drp pakej itu. Ia tetap dilakukan atas nama Islam hakiki.


Jika di dalam pakej Islam Hadhari termuat seruan bertakwa kepada Allah, maka itu adalah seruan benar dan tepat sekali. Ia tidak sedikitpun salah. Apabila kita ingin menolak pakej Islam Hadhari, bukanlah bererti menolak asas taqwa yang diseru oleh agama. Tidak akan berlaku begitu. Taqwa tetap akan diperkata dan diperjuangkan oleh exco agama Selangor.


Kenapa ianya ditolak secara pakej? Jawapan saya, ianya bagi menegaskan kepada rakyat bahawa Islam Hadhari adalah satu konsep atau pendekatan atau pakej yang sangat mengelirukan. Ia boleh menjadi pakej politik demi kepentingan pemerintah yang memperkenalkannya dan boleh sahaja menjadi pakej merosakkan kefahaman Islam sebenar, yang natijahnya amat berbahaya.


Sohibul al-samahah Mufti Perlis ada mengulas isu ini dengan berkata, "Istilah Islam Hadhari telah mengelirukan banyak pihak, namun isi kandungannya baik. Malangnya, pelaksanaan isi kandungan itu kurang kelihatan, selebihnya hanya jenamanya sahaja yang diuar-uarkan. Saya mencadangkan kepada pihak yang menolak secara ‘pakej’ (Islam Hadhari) supaya menilai dengan objektif, menerima aktiviti yang baik atau dasar-dasar yang baik yang termuat dalam Islam Hadhari dan boleh menolak jenama yang mengelirukan itu."


Apa yang diperkatakan oleh beliau adalah benar dan sebetulnya tidak bercanggah dengan kenyataan Dr Hasan Ali di atas. Seperti yang telah saya tegaskan, Selangor akan terus melaksanakan Islam sebenar yang memang sedikit sebanyak ada di dalam pakej Islam Hadhari, baik berupa kandungan mahupun objektif.


Kedua-duanya membawa natijah yang sama, menolak retorik Islam Hadhari dan kembali kepada sunnah yang sebenar. Sebagai ahli politik, adalah suatu yang biasa bagi menggunakan kepelbagaian pendekatan dalam ucapan dan kenyataan bagi bersesuaian dengan pendengar, isu berbangkit, tempat mahupun masa.


No comments: