Esok adalah hari ibu. Saya tidak tahu apa mulanya dan bagaimana sejarahnya. Tetapi saya mengambil kesempatan itu untuk kebaikan saya dan mak. Saya bersyukur kerana ada masa untuk bersama dengan mak saya, kerana cuti hari Ahad. Saya sempat juga menyediakan tempat baring dan tidur yang lebih baik untuknya. Kami turunkan tilam tebal milik isteri saya ( ketika bujangnya dahulu ) dan dibentangkan betul-betul sebelah televisyen. Memang itulah tempat yang dipilihnya. Bukan sebab nak tengok tv, tapi itu yang sesuai baginya.
Kadang2 mak bising-bising juga jika bunyi televisyen terlalu kuat. Tetapi itulah tempat yang terbaik untuknya di tingkat bawah rumah saya. Struktur dan reka bentuk rumah ini tidak memiliki ruang besar di bahagian tamu. Saya ada juga berkira-kira untuk membesarkan bahagian tamu tersebut. Tadi saya maklumkan kepada isteri, nantilah tunggu Ihsan nak kahwin la, gurau saya. Mana tahan lama sangat. Saya memilih rumah ini kerana ruang dapurnya besar, dan lebih besar lagi apabila kami tambahkan ruangnya sehingga ke pagar belakang rumah. Harganya, ruang tamu kecil.
Hari ini saya panas sedikit. Agaknya kerana hujan malam tadi sekejap sahaja. Maka panas berlanjutan sampai ke pagi. Teringat kepada kepanasan dan keperitan yang dialami oleh penduduk di merata dunia. Lebanon sengsara. Myanmar derita. Darfur terus perit. Somalia bencana. Palestin belum ada tanda-tanda noktahnya. Ahhh semuanya derita dalam sengsara. Tetapi kita cuma panas sedikit, sebaliknya diliputi dengan ni'mat. Jangan sekali-kali lalai dengan ni'mat ini.
Sebagai suami dan bapa, saya memahami apa itu hari ibu. Biarlah ada yang sedang menyambut lahirnya sebuah parti Melayu dan memperkatakan tentang kesinambungannya pada hari ini. Saya tidak mahu fikir semua itu. Biarlah ada yang membicarakan tentang Piala Thomas dan Uber, saya belum terghairah menyebutnya. Biarlah ada yang panas dengan dua pertembungan malam ini, penentu juara EPL, tetapi saya tidak kuasa meramalnya. Apa yang ingin saya fikir dan usahakan, merebut peluang berbakti kepada ibu.
Bukan untuk hari ini, hari ibu. Untuk selamanya selagi dia bernyawa selagi saya bernafas, walaupun ada puing-puing nafsu malas, memberontak, degil dan membantah. Mak selalu juga komen, saya ni suka melawan masa muda-muda dulu. Malas bila disuruh buat itu ini dan banyak cakap dengan mak. Isyyy rasanya, berjangkit juga sampai ke tua ini...
Saya selalu diuji dengan ujian yang menuntut kesabaran. Saya selalu juga tewas. Namun Allah tetap Pemurah memberikan banyak peluang untuk saya meneruskan mujahadah kesabaran. Saya mesti menjaga peluang-peluang ini. Menjadi anak yang soleh adalah inspirasi berbakti kepada ibu saya. Menjadi suami soleh, juga inspirasi berbakti kepada ibu saya.
Selamat murah rezeki, diberkati dan diampunkan dosa-dosa, mak...
2 comments:
Salam, saya baru baca blog kome ni. rasanya mcm sedara mara je kita ni.. ye kot... teman ni adik dr najihah bota..
Salam.
Ye le tuh. Nyah Kintan sepupu saya. Baru nih dia datang lawat mak kat Putrajaya.
Sharif tinggal di mana? Umur berapa?
Post a Comment