23.5.08

Menanti Ide Bernas Untuk Kepentingan Agama, Di Parlimen

Saya terdengar Pak Khir Toyo mengomel dalam berita jam 8 tadi, kerajaan Selangor banyak cari salah kerajaan lepas, tetapi tidak membentangkan pelan atau ide memajukankan negeri.
Sekali imbas, memang nasihat ini boleh dianggap munasabah. Apa kurangnya jika ketua pembangkang menyeru ke arah kebaikan negeri dan rakyat.


Namun ia seperti hampas, apabila kita menyelak rekod perjalanan kerajaan yang lalu. Bayangkan dalam masa 2 bulan sahaja ADUN kerajaan lalu menghabiskan beratus ribu ringgit untuk, antara yang didakwa sesetengah pihak ialah kempen pilihanraya umum yang lepas. Kini mahu bercakap tentang kebaikan negeri dan rakyat? Bertanya tentang pelan atau perancangan? Eh, apa gunanya pelan jika peruntukan sudah tiada atau tinggal hanya sedikit sahaja.


Keduanya, mungkin kerajaan kini terikat dengan pelan yang telah berjalan sebahagiannya, seperti apa yang dibentang oleh kerajaan lalu. Maka, pemahaman, pengenal pastian pelan dan projek serta pengkajian semula terhadap apa yang telah diluluskan perlu diutamakan, disegerakan, berbanding melontarkan perancangan baru yang besar dan asas.


Ketiga, kerajaan selalunya betul...hehehe


Tapi, saya juga suka mengambil mesej beliau secara positif untuk dihalakan kepada kumpulan pembangkang di parlimen. Jangan terlalu banyak menyalahkan pihak lain, mencari salah dan silap, sehingga kering ide dan hujah ketika bertampil.


Saya jarang mengikuti sepenuhnya perbahasan mereka secara langsung di kaca tv, melainkan hanya membaca ulasan-ulasan di akhbar dan portal berita online, seperti Harakahdaily dan Malaysiakini. Berdasarkan kepada pembacaan yang agak terhad itu, saya tidak dapat menemui banyak hujah yang mantap dengan lontaran ide baru yang sangat bernas untuk kebaikan rakyat di negara ini, khusus melibatkan kepentingan umat Islam, dalam kerangka pelaksanaan Islam melalui ruang yang mungkin.


Saya tidak pasti, namun fikir saya, ini tidak/belum dilontarkan:-

1. Saranan membentuk akta-akta baru berkaitan perbankan Islam bagi pelaksanaan shariah secara lebih menyeluruh dan mantap, bagi industri ini. Antara akta yang perlu disegerakan ialah akta 'hire purchase-i'. Ketika ini, akta seumpama itu belum wujud, maka pihak bank Islam terpaksa menggunakan akta sewa-beli konvensyenal untuk industri jual beli kereta, melalui kontrak AITAB.

2. Hujahan secara mantap dan berkesan, beserta fakta dan ide bagi memajukan sekolah-sekolah agama rakyat di negara ini, yang suatu ketika dahulu, pernah menjadi mangsa zalim Pak Det.

3. Cara pembangunan tanah wakaf di negara ini yang gagal dibangunkan oleh kerajaan, atau dimanfaatkan oleh rakyat yang melibatkan jumlah sangat besar.

4. Ide dan cadangan-cadangan bernas lagi jitu bagi mewujudkan sistem yang baik, efektif, dan komprehensif dalam pengagihan bantuan zakat kepada asnaf yang layak, selain meneroka ruang baru bagi pengagihan zakat ini di bawah kategori fisabilillah dan gharimin. Apakah ide bagi membantu warga muslim yang telah diisytiharkan bangkrap, sedangkan mereka bukan daripada kategori fasiq, lalai dan menyalahgunakan wang secara salah, buruk dan tidak bermoral.

5. Memperbaiki sistem pendidikan agama Islam negara secara menyeluruh bagi peringkat sekolah menengah kebangsaan, yang rata-ratanya gagal membentuk pelajar yakin kepada agama, sikap beragama dan bertuhan dan memahami asas-asas agama dengan baik dan menyeluruh.


Ia boleh dikemukakan kini, atau dalam sidang akan datang, baik seperti apa yang saya utarakan, atau secara asasnya sahaja. Terima kasih.

No comments: