Saya tertarik membaca beberapa blog yang lantang dan keras mengkritik PAS dan pendekatannya selepas pilihan raya lalu. Disifatkan parti ini semakin hanyut ketepian dilampias semangat Pakatan Rakyat dan desakan non-syariah di dalamnya.
Ada yang sehingga sanggup mendesak presiden meletakkan jawatan, bagi saya satu desakan keterlaluan dan kurang rasional. Tidak semua rasa tidak puas hati yang kita tanggung akan reda dengan desakan sedemikian. Jika sudah biasa mendesak musuh politik meletakkan jawatan, mungkin sudah terbawa-bawa ke dalam parti sendiri. Itu bukan penyelesai. Malah, lebih buruk lagi, sangkaan penulis blog kononnya PAS hanyut mengejar kerusi adalah sangat tersasar.
Saya berterima kasih kepada siasah yang telah menyiarkan temubual orang kuatnya, MSO dengan Timbalan Presiden PAS dalam keluaran 1-7 Jun lalu.
Ketika ditanya apakah PAS sudah tidak menonjolkan elemen Islam dan Melayu dalam arena politik semasanya, Ustaz Nasharudin Mat Isa berkata:
" Tidak. PAS kekal dengan pendirian kita Islam itu adalah teras perjuangan kita. Itu adalah dasar perjuangan kita. Uslub dan kaedah mungkin boleh berubah, tetapi teras dan asas Islam tidak akan berganjak dan kita tidak berkompromi dalam hal ini."
Itu masih belum menjelaskan kekeliruan yang timbul. Penulis-penulis blog yang saya maksudkan di atas menyentuh tentang hubungan langsung PAS dengan PR. Juga seruan Presiden PAS supaya Umno bersama Pakatan Rakyat atas nama Islam.
Menjelaskan kekeliruan yang wujud, walaupun soalan yang dikemukakan oleh MSO agak umum dan memfokuskan kepada sifat jinak Umno terhadap PAS seawal kekalahan mereka baru-baru ini, ustaz berkata:
"Yang terancam bukannya Melayu. Yang terancam adalah Umno. Pada tahun 2000 soal ini pernah digagaskan oleh Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor. Soal ini menjadi hangat semula selepas 8 Mac lalu. Dalam hal ini PAS mengambil sikap terbuka untuk membincangkan dengan sesiapa saja asalkan Islam menjadi teras utama untuk masa depan negara."
"Mengenai hal ini saya ingin memetik keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura yang saya sebut di beberapa tempat saya merasmikan mesyuarat agung PAS. Keputusan Majlis Syura yang bersidang pada 23 April mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung parti bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh bagi menyatu padukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam."
Ustaz Nasharudin menjelaskan, ia bermakna sesiapa sahaja boleh berbincang dengan PAS, dan sebaliknya untuk kepentingan Islam dan umat Islam di Malaysia. Bagi saya sendiri, jika semuanya telah direstui oleh Majlis Syura, maka tiada lagi isu berbangkit. Itulah prinsip kita sebagai ahli bawahan. Untuk ikuti seterusnya, sila rujuk siasah keluaran tersebut.
Jika ada yang sudah mahu ketepikan keputusan ijma' Majlis Syura, apa lagi harapan yang dia ada pada PAS untuk jaminan keutuhan dasar parti?
No comments:
Post a Comment