22.6.08

Kemampuan Dan Maslahah Dalam Inkar Munkar


Perbincangan ini berdasarkan kepada Hadis Nabi saw yang bermaksud : "Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lidahnya dan jika tidak mampu juga maka ubahlah dengan hatinya ( benci di dalam hati ) dan itu adalah selemah-lemah iman." Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim .

Ulama secara majoriti menyimpulkan bahawa hukum mencegah kemungkaran adalah fardhu kifayah. Namun jika tiada seorang pun yang melakukannya, maka seluruh yang mampu bertindak dikira berdosa. Ia bermakna, tiada dosa bagi yang tiada berkemampuan untuk mencegah atau menolak kemungkaran yang berlaku itu, tetapi benci di dalam hati adalah wajib secara 'aini bagi seluruh umat Islam.

Membenci di dalam hati adalah wajib bagi yang mencegah dengan kuasa, juga yang mencegah dengan lidah dan yang tidak bertindak apa-apa. Ini kerana kemungkaran tersebut adalah suatu perkara yang dibenci oleh Allah Ta'ala, maka hambaNya turut perlu membencinya sama.

Kewajipan menolak kemungkaran yang saya kemukakan di atas adalah terikat dengan dua elemen penting, iaitu kemampuan melaksanakannya dan maslahah yang diperolehi dengan penolakan atau pencegahan itu.


Kemampuan

Kaitan antara kewajipan menolak kemungkaran dengan kemampuan adalah sangat jelas. Ia bersandarkan kepada hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Imam Muslim tadi. Kaedah peringkatan yang dinyatakan di dalamnya jelas menggambarkan elemen kemampuan itu. Bagi yang ada kemampuan, maka gunakanlah kuasa yang ada. Jika tiada kuasa, maka gunalah lidah, atau lebih realitinya gunakan segala saluran nasihat dan dakwah yang wujud, termasuk pertemuan dan berbincangan. Jika itu juga gagal dilaksanakan, maka jangan sekali-kali tidak membencinya.

Penjelasan sedemikian telah dibentangkan oleh ulama silam seperti al-Jassas di dalam kitabnya Ahkam al-Quran, Imam al-Ghazali di dalam Ihya'nya dan al-Qurthubi di dalam tafsirnya.


Maslahah

Kedua, setiap pencegahan, penolakan dan pembanterasan kemungkaran yang dilakukan mestilah tidak menghasilkan keburukan yang lain, sama ada keburukan baru itu sama taraf dengan yang dicegah atau lebih buruk lagi. Jika keburukan sebegini yang terhasil daripada tindakan inkar munkar ( nahi munkar ) tersebut, maka hukum inkar munkar itu adalah tidak wajib.

Imam Ibnu al-Qayyim membahagikan pencegahan kemungkaran kepada 4 peringkat di dalam kitabnya, I'lam al-Muwaqqi'een.

  1. Munkar yang dicegah diyakini hilang / hapus sepenuhnya
  2. Munkar yang dicegah diyakini berkurangan
  3. Pencegahan itu diyakini menimbulkan keburukan sama taraf dengan munkar yang dicegah
  4. Pencegahan itu diyakini menimbulkan keburukan yang lebih berbanding munkar yang dicegah

Beliau menegaskan bahawa hukum inkar munkar bagi peringkat yang pertama dan kedua adalah wajib dilakukan secara kifayah. Peringkat yang ketiga pula bergantung kepada ijtihad para ulama terhadap hukumnya dan yang keempat adalah haram.

Bagi memahami peringkat keempat tersebut kita boleh melihat kepada apa yang pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad saw sendiri dan juga para ulama muktabar seperti Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah.

Saya mulakan dengan kisah Ibnu Taimiyyah. Ibnu al-Qayyim menulis di dalam kitabnya kata-kata Ibnu Taimiyyah : "Suatu masa ketika pemerintahan Tatar, aku dan para sahabatku sedang melintasi sekelompok tentera Tatar yang sedang meminum arak. Salah seorang daripada sahabatku mencegah mereka, maka aku pula melarang dia daripada mencegah mereka. Aku berkata sesungguhnya Allah mengharamkan arak kerana ianya menghalang zikrullah dan solat sedangkan arak yang mereka minum itu menghalang mereka daripada melakukan pembunuhan dan merampas harta manusia, maka biarkan mereka."

Ibnu Taimiyyah mencegah perbuatan sahabatnya kerana beliau percaya jika tentera Tatar itu dicegah daripada meminum arak, maka mereka akan melakukan kerosakan dan kemungkaran yang lebih besar iaitu membunuh dan merampas harta.


Sirah

Dua contoh daripada sirah Rasulullah saw yang ingin saya bawakan di sini, bagi memahami peringkat keempat yang diharamkan oleh Ibnu al-Qayyim serta majoriti para ulama.

Pertama, Rasulullah saw tidak mengambil tindakan membunuh ketua munafiqin Madinah, Abdullah bin Ubai bin Salul yang banyak melakukan pengkhianatan dan bermuka-muka dengan Rasulullah dan Islam. Kita tahu, banyak perbuatan khianat yang dilakukan oleh mereka sehingga sebahagian sahabat Nabi saw terpengaruh. Contohnya ialah angkara mereka mengganggu perjalanan Rasulullah dan sahabat ke bukit Uhud untuk berhadapan dengan tentera musyrikin Mekah.

Tetapi Rasulullah saw tidak mahu menghapuskan Abdullah. Hujah yang dikemukakan oleh baginda ialah "Aku tidak mahu manusia mengatakan Muhammad telah membunuh sahabatnya sendiri".

Baginda membiarkan sahaja Abdullah kerana orang ramai tidak tahu dan tiada bukti bahawa Abdullah adalah seorang kafir yang munafiq dan bermuka-muka kononnya memeluk Islam, walaupun baginda mengetahuinya. Bagi baginda saw, persepsi orang ramai bahawa Muhammad membunuh sahabatnya adalah lebih buruk dan bahaya berbanding mencegah kemungkaran kemunafikan Abdullah dengan cara menghapuskannya.

Kedua, tindakan Rasulullah saw tidak membina semula kaabah sebaik pembukaan kota Mekah, berdasarkan kepada tapak saiz sebenar sebagaimana yang dibina oleh Nabi Ibrahim alahissalam. Kaabah dengan saiz yang tidak betul adalah merupakan satu daripada jenis munkar. Tapak sebenar adalah melibatkan hijr Ismail yang wujud sehingga hari ini. Tetapi Rasulullah enggan merobohkan kaabah tersebut dan membina semula kaabah yang baru kerana ketika itu Islam baru sahaja hendak berkembang, ramai di kalangan para sahabat adalah orang baru di dalam Islam dan mereka belum mengetahui banyak perkara berkaitan agama.

Jika merobohnya dan membina semula berasaskan tapak sebenar, dibimbangi oleh baginda ia hanya akan mendatangkan keburukan lebih besar kepada umat Islam ketika itu seperti kekecewaan golongan Quraish yang akan mendakwa Muhammad telah merobohkan kaabah peninggalan nenek moyang mereka dan seumpamanya.

Maka kaabah yang tidak diusik oleh nabi itu kekal saiznya sehingga ke hari ini.


Pakatan Rakyat

Artikel ini ditulis untuk dikaitkan dengan realiti semasa yang berlaku di negeri Pakatan Rakyat. Sebagai sebuah perjuangan Islam, tindak tanduk PAS tidak lari daripada dikaitkan dengan panduan yang disediakan oleh para ulama. Secara tepatnya, PAS tidak dapat mengelak daripada menilai setiap inkar munkarnya berdasarkan kepada empat peringkat tadi.

Secara lebih terang, persoalan yang saya sendiri tiada jawapannya, apakah perhimpunan aman membantah konsert anjuran anak syarikat kerajaan negeri Pakatan Rakyat, sama ada berkaitan isu terkini atau konsert-konsert akan datang jika diadakan lagi, termasuk dalam jenis yang menghasilkan keburukan lebih besar atau sebaliknya, menghasilkan kebaikan lebih besar.

Penilaian tersebut mesti mengambil kira usaha penerangan dan penjelasan terhadap hukum, perjanjian kerjasama Pakatan Rakyat, ada penglibatan pihak Istana atau tidak dan respon daripada remaja dan pengundi PR yang baru sahaja berada di bawah pentadbiran PR selama seratus hari.

Jika Rasulullah yang secara total memerintah negara Madinah dengan Islam masih bimbang akan persepsi buruk masyarakat Madinah terhadap baginda saw, bagaimana pula dengan sikap PAS di Selangor terhadap pilihan ( option ) mengadakan perhimpunan aman membantah konsert tidak Islamik, selepas kewajipan telah dilaksanakan dengan mengemukakan memo bantahan terhadap MB Selangor.

Di sinilah hikmah yang perlu diterokai oleh para pimpinan dalam menjaga susuk perjuangan Islam di Selangor supaya usaha memperkenalkan Islam dalam jangka masa lebih lama terus diterima oleh masyarakat pelbagai kaum dan pemikiran. Seterusnya kita mengharapkan Islam dan idea "membangun bersama Islam" tidak ditohmah dengan pelbagai persepsi buruk dan akhirnya ditolak secara total.

Malah, mungkin sahaja bantahan sedemikian memberi pengajaran penting dan sangat berguna kepada pemerintah dan rakyat Selangor.

Wallahu a'lam.

No comments: