Sekarang ini amat mudah untuk saya menemui bahan bacaan yang memuatkan kebimbangan orang-orang yang sensitif, khususnya ahli PAS, terhadap masa depan parti Islam, PAS. Kebimbangan mereka tertumpu terhadap tindakan parti membuat keputusan untuk memilih haluan terbaik bagi parti ini, ketika ini. Takut mereka kalau-kalau pemilihan yang salah mengakibatkan parti rosak atau lari daripada asas dan dasar yang sepatutnya tidak berubah. Menilai situasi ini, saya ingin melihat isu ini daripada sudut apa itu politik.
Politik merupakan salah satu daripada seni-seni ilmu dan kemahiran yang mempunyai kuasa pengaruh yang besar. Ia mempunyai kekuatan mempengaruhi yang sangat hebat. Jika tidak lebih pun, sama seperti kuasa muzik yang mampu melekakan peminatnya. Itulah kuasa politik. Mampu melekakan penggiat dan peminatnya.
Leka dalam politik atau berpolitik saya takrifkan kepada kesanggupan seseorang itu memberi segala yang dimiliki kepada politik demi kejayaan politik dan diri. Seorang ahli politik yang sedang leka dengan politik, bermakna sanggup menghabiskan duit, masa, emosi, dan apa sahaja demi politik. Akhirnya demi kejayaan diri sendiri.
Seni politik juga adalah seni serba boleh. Ahli politik boleh melakukan apa sahaja, dalam ruang lingkup berpolitik demi mencapai cita-cita politik. Oleh kerana itulah, biasa kita dengar lawan politik tidak semestinya musuh selamanya dan teman politik tidak bermakna selamanya adalah teman. Sama ada kekal atau sebaliknya sesuatu status itu banyak bergantung kepada bagaimana aturan dan proses untuk mencapai matlamat politik dipilih oleh politikus tersebut.
Namun, apabila dikaitkan dengan politik Islam, ada batasan dan aturan yang mengikat penggiatnya, malah ia sedikit ketat berbanding politik tanpa batasan agama. Apabila melihat politik dengan teori serba boleh atau serba berkemungkinan, tanpa menggunakan nilaian agama yang betul, politik boleh menjadi musuh kepada seseorang. Jika begitu, ia memang merugikan.
Maka, perlu difahami bahawa politik Islam ( baca: politik PAS ) mempunyai disiplin tertentu. Ia terlalu banyak, saya nyatakan dua sahaja. Pertama, tidak membenarkan penggiatnya berusaha dan berkorban semata-mata kerana diri sendiri. Jika ini berlaku, kebimbangan pada awal artikel yang saya nyatakan adalah sangat berasas. Mungkin ada yang melihat kecacatan ini telah wujud di dalam PAS, iaitu berpolitik kerana kepentingan diri sendiri. Ia memang sangat berbahaya. Jika telah berputik, jangan dibiarkan merebak.
Keduanya, politik Islam juga tidak membenarkan semuanya seakan serba boleh demi untuk parti menggapai matlamat. Matlamat baik, namun jika caranya buruk, politik itu sangat tercela. Jika sudah buruk jalannya, mampukah lagi politikus-politikus ( pemimpin ) ini menjadi pejuang kebenaran pula selepas itu.
Contoh, jika kita asyik menyembunyikan suara benar kerana tidak mahu perpecahan dalaman berputik, apakah jika kita memperolehi sesuatu daripada lakonan itu, kemudiannya kita mampu bangkit melaungkan kebenaran yang tersembunyi pada awalnya? Amat malang lagi jika terasa diri termakan budi sebelum berjaya. Apabila berjaya, budi terpaksa di balas dengan cara paling menyeronokkan pihak yang memberi. Ketika itu, di manakah dasar dan prinsip?
Merujuk kepada isu awal, jika kita bimbang hanya kerana melihat cara dan kaedah berbeza yang diambil oleh parti pada pasca PRU yang lepas, maka kebimbangan itu tidak berasas. Jangan mudah mengandaikan pimpinan leka dengan pengaruh dan mudah larut dengan iklim serba boleh politik, semudah menuduh PAS telah meninggalkan perjuangan negara Islam.
Politik adalah seni. Cara yang berbeza dan berubah adalah lambang keseniaan politik benar-benar wujud dalam PAS. PAS tidak 'kuasa' untuk rigid dengan satu cara sahaja. Cara biar berubah, asal sahaja tidak menjadi serba boleh. Biar jadi bolehubah bersama tuntutan perubahan masa dan isu, tetapi terikat dengan dasar dan prinsip.
Mana mungkin cara PAS terus rigid. Politik adalah seni mengurus manusia dan alam. Bukan setakat manusia sahaja berubah, alam juga turut bertukar situasi dan suasana. Maka seni yang digunaknan untuk urus tadbir manusia dan alam ini seharusnya bersifat bolehubah dan bolehsuai dengan persekitaran. Asal sahaja dasar dan prinsip terus kekal mendasar.
Seterusnya, bolehubah ini biarlah ubah demi matlamat parti dan perjuangan, bukan kerana kepentingan individu. Lojiknya, perubahan adalah ke arah kebaikan. Tetapi apalah erti perubahan jika yang berubah hanya angka anggota parlimen atau nama kerajaan memerintah, sebaliknya dasar dan prinsip parti terus tersembunyi di muzium teori. Itu adalah perubahan yang merosakkan parti. Parti dan idealisme di takuk lama, tanpa usaha, tanpa pelaksanaan, tanpa pertimbangan dan tanpa daya juang.
Perubahan sebegini perlu ditolak. Apa yang kita mahu ialah perubahan ke arah parti dan idealisme lebih terarah, lebih berjaya.
No comments:
Post a Comment