Hari ini bahagian bawah kiri perut saya semakin kuat, walaupun sudah mula terasa gatal-gatal akibat pekena lauk ayam semalam. Tambah pula pagi tadi saya sempat menyuap kenyang nasi goreng yang diadun bersama telur goreng dan udang kering. Aduh...punca segala gatal, kata orang tua-tua.
Isnin lepas, 14 Julai, 10.00 am, Selangor Medical Centre, adalah pengalaman pertama saya memasuki dewan bedah. Sebelum menaiki pengusung beroda, saya diminta memakai baju bedah, iaitu kain sarung dan baju bertali belakang. Memang tiada rasa gementar ketika itu. Entahlah kenapa...
Ketika ditolak, isteri dan adik ipar turut mengekori. Sempat juga saya bergurau, "Da, macam dalam drama aje. Kamera tunjuk muka pengiring dari bawah hehehe." Aida dan Emi senyum sahaja. Memasuki bilik bedah, mereka tertinggal di luar. Saya dipindahkan ke pengusung lain. Menunggu seketika sementara doktor pakar bius datang menerangkan pilihan bius umum atau setempat.
Sebenarnya, ketika di wad lagi, saya berhasrat ingin memilih bius umum kerana tidak sanggup melihat operasi. Tetapi, sebaik menerang, doktor terus menyarankan jenis setempat. Lebih rendah risiko dan lebih baik untuk saya. Saya cuma turuti sahaja.
Masuk ke bilik bedah sebenar selepas itu, saya diangkat dan diletakkan di atas katil bedah berwarna hitam. Kelihatan pembantu-pembantu doktor memakai topeng muka masing-masing. Kemudian seorang demi seorang menyarung sarung tangan dan ketika itulah gementar dada saya makin galak.
Doktor pakar bius menceritakan apa yang akan saya hadapi. Mula-mula saya akan disuntik dibahagian tangan. Dimasukkan jarum dan saluran air, kemudian air dimasukkan. Diminta duduk bersila dengan badan berbongkok ke hadapan sedikit. Betul-betul di tengah tulang belakang, atas sedikit daripada pinggang, saya disapu dengan ubat bius beberapa kali. Sejuk...
Seterusnya, saya disuntik di situ dengan jarum yang sangat halus, dalam, berbekas tusukannya hingga ke tulang dan dimasukkan cecair bius untuk dialirkan ke seluruh pinggang, perut, kelangkang, peha, lutut sehingga ke hujung kaki. Saya merasai aliran itu, apabila sedikit demi sedikit bahagian tadi menjadi kebas. Akhirnya, seluruh bahagian itu terasa sangat berat, tidak mampu lagi digerakkan. Saya sempat mencuba ubat bius tadi dengan mencubit peha saya. Sah sempurna kerana tiada rasa sakit langsung. Hanya kebas.
Ketika itulah muncul Dato' Dr Shahruddin dengan mukanya yang telah tertutup sebahagian. Saya ditenangkan. Sambil doktor pakar bius tadi menawarkan saya pilihan tidur, terima ubat 'laluk' atau sedar secara normal. Saya memilih untuk sedar dahulu, kerana jika tidur saya takut tidak sempat untuk memaklumkan jika ubat bius tadi belum sempurna dan perut saya kesakitan ditores...aduh...
Saya tak sedar rupa-rupanya ubat laluk diberikan. Ini kerana, sepanjang operasi selepas itu, bermacam-macam zikir dan nasyid saya alunkan. Antara sedar dan tidak. Sakit langsung tiada. Namun masih terasa gerakan sesuatu membelah perut, menolak ke atas, tangan menggosok dan sebagainya.
Saya tak pasti secara tepat, berapa lama tempoh diambil, sekitar setengah jam hingga satu jam pada jangkaan saya. Malah, saya tak perasan pun bila kulit saya dijahit semula. Semuanya berjalan lancar. Alhamdulillah, semuanya selesai dan saya diangkat ke pengusung tadi dan diletakkan di satu bilik selama setengah jam sebelum dihantar ke wad semula. 'Nurse' menunjukkan kepada saya bahagian selaput yang dibuang.
Itulah pengalaman pertama, biarlah terakhir, saya memasuki dewan bedah untuk dibedah. Semoga Allah menyembuhkan segera.
2 comments:
Askm,
شفاك الله .... اللهم ارحمك بالشفاء و العافية فإن الله هو الشافي لا شفاء إلا شفاءه لا يغادر سقما.... إمتى سوف تطلع من المستشفى....سلامتك إن شاء الله
Syukran, hayyakallah ya akhi, wa in lam a'rifuk.
Allahu yahfazna bi salam...Qad kharajtu minal mustasyfa, wal aan fil baiti astarihu wa aqra'u summa aktubu.
Jazakallahu khairan kathira
Post a Comment