9.7.08

Harmonikan Perbezaan Ukuran PR Dengan Keunggulan Dakwah


Pernahkah anda melihat pertelagahan antara sesama ulama? Apakah ianya cantik atau buruk?

Jawapan saya adalah buruk, jika masing-masing tidak menghargai pandangan lawan. Lebih buruk apabila berkeras dengan pandangan sendiri dan menegah pandangan lawan dengan respon fizikal yang keras.

Saya pernah ke Arab Saudi dan juga pernah menetap di sana. Melihat perilaku golongan 'alim merampas kamera pelancong atau mu'tamir atas alasan bergambar adalah haram, memang menaikkan darah saya.

" Tak bijak langsung, bodoh, tak hormat harta orang lain." Hati saya membantah. Mana tak geram kalau dengan sewenang-wenangnya bertindak atas semangat dan ruh amar ma'ruf nahyu munkar, sehingga melangkaui kemanusiaan dan harta orang lain, kamera tadi ada yang terhempas ke lantai siar Masjid Nabi.

Episod di atas bukanlah selalu berlaku, ia amat jarang. Cuma saya ceritakan untuk menggambarkan buruknya seorang 'alim itu, atas nama amar ma'ruf nahyu munkar, sayang agama, jaga prinsip, sanggup meletakkan kemanusiaan dan pertimbangan akal ke bawah capalnya.


Kelana Jaya

Atas alasan apakah pemuda-pemuda sayang agama boleh mencederakan pelaku maksiat atau pelanggar etika beragama?

Saya tidak nampak manusia boleh dihukum oleh manusia di tepi jalan atau di atas pentas kerana melakukan maksiat hiburan sedemikian. Malah agama juga tidak pernah membenarkannya. Semuanya perlu dirujuk kepada pihak perundangan dan kehakiman. Itulah maksudnya merujuk kepada al-Quran dan Sunnah. Bukan rujuk kepada nafsu ammarah sendiri, lantas manusia sudah tidak diraikan kemanusiaannya, sehingga boleh mengancam keselamatan.


Ukuran

Saya bersetuju perilaku penyanyi tersebut dibantah sekeras-kerasnya, tetapi hendaklah dengan cara yang sewajar-wajarnya. Kerana ia sudah bercanggah dengan agama dan moral ketimuran. Ia bukan budaya orang PAS, bukan budaya orang DAP dan bukan budaya orang PKR. Ukuran bantahan kita adalah moral yang disepakati bersama oleh seluruh pejuang Pakatan Rakyat. Tidak payahlah sibuk sangat dengan sokongan seorang dua terhadap kumpulan itu.

Bagaimana pula bentuk perjalanan program bantahan Protes? Ada yang bersetuju diadakan konsert, ada yang tidak bersetuju. Ada yang hanya mahukan nasyid sahaja, walaupun yang hadir itu bukan Islam dan datang 'bercouple', dan ada yang mahu meniru gaya barat dengan pelbagai bentuk hiburan diselitkan.

Apakah ukuran yang digunakan oleh Pakatan Rakyat untuk menilai-ukur program tersebut? Al-Quran dan Sunnah? Bible? Kitab Hindu? Demokrasi tulen? Buku Karl Marx atau Rukunegara?

Menyedari Pakatan Rakyat terdiri daripada pelbagai agama dan latar belakang, untuk menjadikan satu-satu rujukan itu sebagai satu-satunya rujukan Pakatan Rakyat adalah mustahil. PAS tak akan sama sekali membenarkan pemikiran sosialis mendasari Pakatan Rakyat, begitulah sebaliknya, golongan bukan Islam tidak akan membenarkan al-Quran mendasari setiap perancangan dan program Pakatan Rakyat. ( Kecualilah jika jelas peraturan dan undang-undangnya seperti yang terdapat di peringkat persekutuan dan negeri )

Tetapi, satu titik persefahaman mesti dicapai dalam melaksanakan program bersama atas nama Pakatan Rakyat.

Tidak boleh tidak, demi mengukuhkan Pakatan Rakyat, setiap pihak harus bertolak ansur. Maka di sinilah ujian sebenar kepada setiap anggota Pakatan Rakyat. Ia merupakan pakatan yang dibina selepas pilihan raya dengan asas longgar yang mendasarinya, iaitu antaranya kebajikan rakyat, keadilan sosial dan menentang kezaliman dan rasuah, terutama apa yang dilakukan oleh Barisan Nasional.

Di situlah ruang yang boleh digunakan oleh PAS untuk menyuntik dan mengembangkan prinsip agamanya.


Hiburan

Berkaitan hiburan pula, ianya tidak pernah dipersetujui bersama, baik sebelum mahupun selepas pilihan raya, peraturan yang ingin digunakan untuknya. Oleh itu, hiburan menjadi medan terbuka untuk masing-masing berhibur dengan cara dan ukuran masing-masing. Pakatan Rakyat belum pernah bersetuju untuk menghadkan hiburan hanya berdasarkan prinsip shariah Islam atau agama kristian atau hindu mahupun underground.

Di sinilah kebijaksanaan dituntut daripada semua pihak, agar perselisihan dalam soal ini tidak menenggelamkan kapal Pakatan Rakyat. Mungkin titik persefahaman itu adalah nilai ketimuran, nilai kemalaysiaan dan sebagainya.


Maslahah

PAS, sebuah parti Islam, sanggup bersama Pakatan Rakyat yang tidak seratus-peratus Islam, tentu yakin dan percaya ada kebaikan besar untuk ummah dan agama daripada kerjasama itu. Dan dalam masa yang sama, PAS tentu telah sedar tidak semua tuntutan agama Islam akan dicapai daripada kerjasama itu. Maka di sinilah pelbagai kaedah agama digunakan.

Contohnya, "Jika tidak dapat semua, jangan buang semua". Jika tidak dapat pelaksanaan hudud melalui Pakatan Rakyat, jangan hilangkan peluang membebaskan tahanan ISA yang dizalimi. Jika tidak dapat membanteras konsert haram, jangan hilangkan peluang berdakwah kepada masyarakat melalui surau dan masjid. Jika tidak dapat menubuhkan negara Islam, jangan hancurkan kerajaan berkebajikan, seperti yang telah terbukti di Selangor dan Perak.

Oleh itu, dalam Pakatan Rakyat yang kayu pengukurnya bukan seratus peratus bertepatan dengan al-Quran dan Sunnah, PAS tidak boleh elak daripada terpaksa akur untuk meraikan ukuran pihak lain yang tidak pernah menerima ukuran PAS.

Kembali kepada isu hiburan dan konsert dalam acara protes. PAS berhak membantah dan tidak bersetuju dengan hiburan yang diadakan, tetapi berhakkah PAS menggagalkan program itu, dan setiap program Pakatan Rakyat yang terdapat unsur-unsur maksiat, sedangkan Pakatan Rakyat tidak pernah menerima al-Quran dan Sunnah sebagai kayu ukur?

Ataukah kita mahu mempertahankan prinsip, tidak kisah perasaan kawan, boikot semua program pakatan, sanggup keluar pakatan asalkan jangan terlibat dengan maksiat, akhirnya BN kembali berkuasa akibat perpecahan Pakatan Rakyat? Banggakah kita dengan kaedah baru yang kita cipta "daripada tidak dapat semua, baik sedikitpun tak payah"? Redhakah kita jika BN kembali menzalimi rakyat akibat PR berpecah kerana mempertahankan prinsip kononnya?

Pandangan saya, selagi maslahah yang diperolehi lebih besar berbanding mudharat yang berlaku, seperti terlepas bentuk hiburan yang tidak islamik, yang memang tetap akan ada jika BN memerintah, bersama-samalah kita pertahankan Pakatan Rakyat. Ia bukan bermakna kita menggadaikan prinsip. Prinsip masih boleh dipertahankan dengan tidak merestui maksiat yang wujud, cuba menghalangnya dan mungkin memboikot selagi tidak meretakkan pakatan. Jika ada satu dua program Pakatan Rakyat bercanggah dengan agama, tidaklah ia bermakna PAS telah menggadaikan prinsip.

Samalah kita tidak pernah mengatakan PAS telah menggadaikan prinsip apabila menerima semua jenis manusia masuk menjadi ahli, daripada mat rempit, kaki tak sembahyang dan lain-lain sehinggakan ada juga yang tidak pernah berubah walaupun sudah lama menyertai PAS. Tapi kita boleh bersabar dan terus berdakwah.

Oleh itu, PAS perlu mencipta satu pendekatan baru berdakwah dalam Pakatan Rakyat yang dasarmya bukan berasaskan Islam sepenuhnya. Bersabarlah atas apa yang berlaku, dan teruskan berdakwah sepanjang 4 hingga 5 tahun ini. Itu lebih baik daripada berbalah sesama Pakatan Rakyat atas kayu ukur yang tidak pernah sama, sehingga rakyat hilang keyakinan terhadap gabungan ini.

Cerita di atas tadi, kita marah kepada si 'alim yang keras itu, kerana tidak meraikan lawannya, walaupun kedua-duanya masih merujuk kepada asas yang sama. Bagaimana pula jika ukuran kita di dalam Pakatan Rakyat yang memang berbeza? Wajarkah kita marah-marah dengan kekerasan, sambil bertegas "kamu kena ikut aku" ?

Jika mudah begitu, sudah lama manusia muslim Malaysia menyertai PAS.

No comments: