8.7.08
Jangan Lupa Tujuan Kapal Kita
Bingung juga memikirkan apa yang berlaku di Kelana Jaya pada hari Ahad yang lepas. Tindakan meninggalkan majlis oleh Unit Amal berasaskan kepada rasa tidak bersetuju DPPP terhadap persembahan yang diselitkan. Sudah ada perjanjian bahawa ia tidak akan berlaku, namun seperti diingkari.
Itu tidak salah. Itu adalah reaksi apabila munkar muncul di tengah-tengah majlis itu. Bagi Pemuda PAS, itulah reaksi terbaik bagi pelanggaran etika. Semua memahaminya.
Tetapi...
Apa yang membingungkan saya ialah, penyelesaian kepada pertembungan demi pertembungan yang sama selepas ini. Bagi saya, selagi titik persefahaman tidak dicapai dan segala perbezaan budaya, pemikiran dan etika gagal diharmonikan, maka pertembungan sukar dielak. Kecualilah jika tiada program bersama yang berisiko sebegini.
Namun...
Apakah kita mahu terus berasingan demi perbezaan tadi? Biarkan sahaja pentadbir negeri pakatan bekerja bersama, kita di bawah membawa haluan masing-masing? Saya tidak fikir itu yang terbaik. Kita semua menyetujuinya.
Tetapi...
Bukan mudah untuk mengharmonikan perbezaan yang wujud itu!
Lihat gambar di bawah ini: Itulah hasilnya apabila rakyat bersama Barisan Rakyat/Alternatif, walaupun agama, ideologi dan matlamat berbeza. Diam-diam kerajaan Kedah cenderung kepada peraturan Islam, hasil pakatan orang-orang yang berbeza tadi berada di dalam satu kapal politik menyaingi kapal senget BN.
Maka...
Jangan kita lupa, kapal yang dinaiki ini, buat masa sekarang, hanya memiliki satu tujuan sahaja. Biarpun ada yang mahu ke selatan atau ke timur, mahu pun ke barat, ia tetap akan ke utara. Kerana itulah kapal ini berjaya memuatkan jumlah penumpang yang ramai, iaitu secara kebetulan semuanya bersepakat mahu ke utara, sama ada kekal di utara atau sekadar satu persinggahan.
Jika kita beriman dengan sepatutnya kapal ini ke timur, apakah tujuan itu diusahakan dengan cara kekerasan, paksaan, pemboikotan atau diplomasi?
Jangan kita lupa, kapal kita hanya ada satu arah dengan pelbagai agama, budaya, karenah, matlamat dan cita-cita bersamanya.
Berdiplomasi adalah cara yang terbaik untuk menjamin kapal ini utuh, tidak karam ditengah lautan, supaya sampai ke pelabuhan di utara. Setelah sampai nanti, semua yang berada di dalam kapal ini berundinglah lagi, sama ada mahu ke barat atau ke timur, atau kekal sahaja di utara.
Sesungguhnya...
Sepanjang perjalanan ke utara, kita yang mahu ianya ke timur, jangan leka daripada mengambil kesempatan menjalankan kerja penerangan, pujukan dan nasihat terhadap penumpang kapal ini, agar kerja rundingan di pelabuhan utara menjadi mudah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment