26.7.08

Idea Saya Untuk Sektor Pelancongan Perak

Entri sebelum ini adalah idea yang saya ambil untuk ditujukan kepada negeri saya Perak. Berikut pula adalah apa yang saya sempat menungkan, idea pembangunan dan pelaburan bagi negeri Perak, walaupun saya tahu semua ini ada pihak tertentu yang memikirkannya.

Sebagai warga yang dilahirkan dan membesar di Perak, pendokong kuat kerajaan negeri walaupun dari luar Perak, saya berasa ada peranan yang boleh dimainkan, baik kecil mahupun besar. Mungkin ianya idea mentah, namun saya gembira kerana saya telah meluangkan masa berfikir untuk Perak dan dikongsikan bersama pembaca.

  1. Adakan segera apa sahaja program yang boleh menemukan pelabur Timur Tengah dengan Institusi Perbankan Islam dan syarikat pemaju di Malaysia untuk projek pembangunan di negeri Perak. Sekarang adalah musim melancong keluar oleh warga negara Arab yang berkemampuan dan Malaysia adalah antara destinasi terkemuka mereka, selain Eropah. Maka ambillah kesempatan ini untuk pertemuan dua pihak bagi menerokai potensi kerjasama perniagaan dan pembiayaan yang amat menguntungkan Perak. Sudah pasti amat menguntungkan para pelabur apabila lawatan ke Malaysia mempunyai dua matlamat penting, berehat dan mengembangkan perniagaan.
  1. Pilihan kedua, hantar segera wakil kerajaan negeri ke Timur Tengah, antaranya Dubai, Abu Dhabi, Doha, Bahrain, Jeddah dan Kaherah untuk menarik pelabur-pelabur ke Perak. Rombongan tersebut perlu diikuti bersama wakil daripada bank-bank Islam di Malaysia dengan insentif menarik yang diberikan oleh kerajaan negeri, bersyarat setiap pelaburan mesti berlaku di Perak. Ketika ini, banyak bank di Malaysia sedang menerokai pasaran pelaburan dan kerjasama pelbagai jenis dengan pelabur dan institusi perbankan Timur Tengah, khususnya Dubai. Malah ramai juga rakyat Malaysia yang sedang bekerja dengan bank-bank Islam di Dubai dan beberapa bandar lain.
  1. Saya memilih Timur Tengah sebagai fokus kerana faktor bidang pelancongan yang boleh dikembang-luaskan di Perak dan pelancongan adalah daya tarikan utama warga sebelah sana ke Malaysia. Buat masa ini, tiga negeri menjadi tumpuan mereka, Melaka, KL (Genting Highland) dan Pulau Pinang / Langkawi. Di Melaka tumpuan mereka ialah A Famosa Resort, Genting kerana tanah tinggi dan konsep kota keriangannya dan Pulau Pinang / Langkawi kerana pantai dan pulaunya. Mereka sanggup menaiki van pelancongan untuk pergi-balik ke Melaka dan Genting. Manakala ke Pulau Pinang / Langkawi untuk bermalam, sama ada dengan menaiki van atau pesawat. Ramai juga yang menaiki van ke utara.
  1. Jika dibandingkan dengan Perak, banyak kelebihan yang Perak ada-tanah tinggi ( Cameron Highland melalui Tapah ), air terjun, pantai dan pulau. Oleh itu saya mencadangkan kawasan sekitar Tapah dibangunkan sama seperti A Famosa Resort di Melaka. Malah Tapah beruntung kerana ada air terjun yang boleh dieksploitasi dan berdekatannya Sungkai, ada Hot Spring. Di situ Perak dapat gabungkan dua unsur tarikan, satu di Genting dan satu di Melaka. Lebih menjimatkan bagi pelancong. Jika mahu ke kawasan pantai dan pulau, tidak perlu mereka ke Pulau Pinang atau Langkawi yang jauh, kerana Perak sudah ada Lumut dan Pulau Pangkor yang bertaraf dunia (Pangkor Laut Resort ). Kini, Perak tidak menjadi pilihan mungkin kerana pelancongan di Perak hanya tertumpu kepada Pulau Pangkor semata-mata yang dilihat tidak berkembang dan pusat pelancongan lain gagal menarik pelancong.
  1. Dengan pembangunan menarik di Tapah dan Lumut / Pangkor, saya percaya syarikat pelancongan mampu menyediakan pakej menarik bermula dari KL ( tidak perlu ke Genting dan Melaka ) ke Perak dan seterusnya ke utara, jika perlu. Jika tidak terus sahaja berpusat di Perak dengan konsep A Famosa di Tapah, Kota Keriangan di Cameron ( kerjasama dengan Pahang ) dan rehat santai di Lumut dan Pulau Pangkor.
  1. Saya juga mencadangkan pembangunan di sekitar Lumut, Pantai Remis dan Pulau Pangkor di pergiatkan lagi untuk industri pelancongan dan perumahan kos mewah. Kerjasama dengan pelabur dari Timur Tengah perlu dicari segera. Mungkin boleh mencari pelabur Arab untuk membina hotel kelas dunia di Pulau Pangkor atau pulau sekitarnya sebagai tempat rehat kelas pertama bagi pelancong Arab dan Eropah. Boleh juga membangunkan kawasan penempatan kelas dunia melalui pembinaan pangsapuri mewah, rumah banglo, atau service apartment untuk menyokong dasar kerajaan persekutuan, Program Malaysia Rumah Kedua Saya. Bagi projek ini, saya mencadangkan Perak menerokainya bersama dengan Kuwait Finance House (M) Bhd, yang berpengalaman membangunkan Pavilion yang turut menyediakan pangsapuri mewah untuk pembeli Timur Tengah dan mempunyai rangkaian luas di Timur Tengah.
  1. Lebih menarik perhatian pelancong Arab untuk menetap, jika Perak dapat memenuhi citarasa mereka, sebagai contoh menyediakan pusat membeli-belah kelas dunia dengan pemisahan lelaki dan wanita di sekitar Lumut. Saya percaya, dengan adanya perancangan seperti itu, beserta dengan perancangan kemudahan ibadat dan mungkin sebuah kolej bertaraf antarabangsa, Lumut dan Pangkor akan menjadi pilihan utama untuk peniaga Arab melabur dan keluarga Arab menjadikan Perak negeri kedua mereka.

Begitulah idea separa masak saya. Semoga Perak terus maju dan membangun di bawah pentadbiran YAB Ir Mohammad Nizar bin Jamaluddin bersama barisan exconya.

2 comments:

ibnhardi said...

salam yob....
g tengok hutan belum kt grik..macam2 ada...tempat menariksila lawat www.freewebs.com/kotabina

Elbaritii said...

Salam kembali Yob

Keme ada dengor pasal Belum ni, cume tak dan nak nengok / pegi lagi. Ade cadangan dari geng2 keme nak buat tamrin di sane, tengok le lepaih ni.

Ade sesapa yang boleh dikontek?

Terime kasih menjenguk...