Apa yang dibisingkan kini, adalah bermula dengan kertas kerja yang dibentangkan oleh Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din dan dikaji di dalam mesyuarat Majlis Syura pada 23 April 2008.
Begitulah penjelasan yang dikemukakan oleh Timbalan Presiden PAS, al-Fadhil Ustaz Nasaruddin Mat Isa, ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Terengganu kali ke-37. Saya gembira dengan apa yang saya dengar. Sedikit sebanyak penjelasan beliau menghilangkan kekeliruan kononnya usaha muzakarah / pertemuan sebelum ini adalah atas usaha individu tertentu. Beliau juga menafikan sudah ada usaha untuk menyertai BN, atau Umno.
Ya, kita mendengar terdapat pelbagai dakwaan, tuduhan dan fitnah dilemparkan terhadap Timbalan Presiden, malah Presiden sendiri, di laman-laman web.
Saya putuskan dengan mudah, selagi setiap dakwaan tidak disertakan dengan bukti jelas bahawa pimpinan tertentu memang beriya ingin membawa PAS menyertai BN, atau beriya-iya merebut jawatan menteri atau exco, maka ia tidak lebih daripada fitnah. Pertemuan dengan pemimpin Umno bukan bukti untuk itu, ia sekadar bukti adanya perbincangan. Bincang apa? Saya rujuk kembali kepada keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura.
Ok, jika kita andaikan memang mereka ada berbincang untuk melihat kemungkinan perkongsian kuasa tersebut, bukankah usaha itu adalah hasil keputusan Majlis Syura PAS pada 23 April?
Tetapi, perlu kita ingat, Majlis Syura menyaran, usaha dilakukan oleh pemimpin pusat, dan keputusan sudah tentu melalui muktamar. Kenapa baru mula membaca bismillah untuk berbincang, sudah ada yang panas punggung?
Biarlah pemimpin membuat kerja mereka. Jangan percaya sesuatu tanpa bukti kukuh. Sekadar mendengar berita daripada mulut ke mulut, tidak setepat apa yang ada pada hati pimpinan kita, dan keputusan bukan ditentukan oleh hati mereka.
Ya, jika memang benar ada yang ingin memasuki BN, maka buktikanlah dengan tepat dan berfakta, sama ada kertas kerjanya, rakaman suaranya atau apa sahaja. Selagi tiada, terimalah penjelasan yang dibuat itu.
Untuk mengikuti penjelasan beliau, sila layari www.terengganukini.net dan klik pada tajuk Ucapan Perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu kali ke-37.
No comments:
Post a Comment