17.7.08

Siapakah Pemikir-Pemikir PAS?


Beberapa tahun lalu, saya telah menterjemah satu program stesen televisyen Al-Jazeerah berbahasa Arab, Shariah wa al-Hayah yang menemukan al-marhum Dr Mahir dan al-Fadhilah al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi di bawah isu gerakan Islam dan cabaran semasa.

Banyak input penting dan menarik yang dibincangkan dalam program ini, kerana perbincangan yang dibawa adalah semasa, realiti dan menyentuh cabaran terkini. Berbeza jika kita hanya merujuk kepada buku-buku terjemahan yang kita miliki sejak sekian lama yang kadang-kadang idea penulisnya sendiri telah berubah.

Di sini, saya cuma ingin menyentuh satu perkara sangat 'simple' yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi pada awal perbincangannya. Beliau menegaskan, Gerakan Islam yang kuat dan maju harus terkumpul di dalamnya tiga kelompok manusia. Pertama ulama, kedua aktivis dan ketiga pemikir.

Untuk memadankan elemen-elemen itu di dalam PAS, saya terus tertanya siapakah pemikir-pemikir PAS? Soalan ini terpacul bukan kerana saya merendahkan parti sendiri, menafikan kehebatan memikir dan merancang pimpinan, tetapi kerana saya tidak tahu jawapannya.

Atas alasan apa Dr Yusuf membezakan ulama dengan pemikir saya tidak tahu. Saya andaikan kerana bidang pemikiran ini bukan hanya memerlukan penguasaan ilmu agama semata-mata bahkan perlukan kepada pembacaan meluas melalui pelbagai bahan bacaan yang kadang-kadang tidak diminati oleh sesetengah ulama. Masa pemikir pula dihabiskan di bilik bacaan, bukan di surau dan masjid. Dengan perbezaan itu, saya tidak tahu pemikir-pemikir sebenar bagi PAS.

Oleh kerana beliau juga membezakan antara pemikir dan aktivis maka saya yang menerima kiraan beliau tidak melihat pimpinan yang aktif di dalam Pusat Penyelidikan PAS Pusat adalah pemikir seperti yang dimaksudkan oleh Dr Yusuf.

Saya juga tidak tahu kenapa ianya dibezakan. Barangkali kerana pemikir yang aktif dengan politik dan pertandingan akan tercampur aduk antara kajiannya dengan kepentingan tertentu, sama ada diri, rakan-rakan mahupun kelompok terdekatnya.

Justeru, soalan pada tajuk artikel ini, saya anggap relevan. Siapakah sebenarnya yang benar-benar berfikir untuk PAS, yang kerjanya mengkaji semua perkara, mengukur dari palbagai segi dan bucu, mencuba dari dalam dan luar kotak, bertemu dengan pelbagai lapisan rakyat, yang merupakan satu badan pemikir terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan pengalaman, yang tidak sibuk dengan masalah rakyat setempat, tidak sibuk berceramah siang malam sehingga tidak sempat menelaah, tidak pening memikirkan masalah kecil parti di peringkat bawahan, yang kerjanya hanya berfikir.

Fikirnya, bukanlah fikir syok sendiri, bukanlah fikir yang terpisah antara impian dan realiti, fikirnya bukan dilapisi kepentingan walau sedikit, sebaliknya semuanya adalah kerana masa depan PAS.

Saya tidak dapat melihat pimpinan PAS di semua peringkat mempunyai masa yang cukup untuk mengkaji, memikir, mencuba, menganalisa dan membentangkan perancangan masa depan PAS, dalam keadaan kesibukan kerja politik dan jamaah setiap hari. Maka mereka bukan pemikir yang dimahukan oleh Dr Yusuf.

Saya berharap, biarlah pemikir-pemikir ini memang wujud dan bergerak aktif di dalam PAS. Maka, pemikir-pemikir inilah yang memainkan peranan penting itu, untuk dimanfaatkan hasil kajian mereka oleh baik seorang Presiden atau Dewan Harian atau AJK PAS Pusat atau PPP sendiri. Jika belum, kumpulkan seluruh pakar-pakar yang sedang bertebaran kini di bawah satu badan secara serius.

No comments: