Al-Fadhilah al-'Allamah Dr Yusuf al-Qaradhawi telah menerima satu pertanyaan daripada seorang pembaca seperti berikut: "Selalu kita dengar ucapan di dalam khutbah Jumaat-khususnya pada awal bulan Rejab-tentang hadis-hadis yang menyebut kelebihan bulan ini dan kelebihan besar bagi sesiapa yang berpuasa walau sehari di dalamnya.
Antaranya ialah hadis-Rejab bulan Allah, Sha'ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku-Apakah pandangan tuan terhadap hadis-hadis ini? Apakah ada kebenaran yang boleh diikuti? Apa pula hukum menyampaikan kepada manusia hadis palsu yang disandarkan kepada Nabi saw?
Dr Yusuf al-Qaradhawi menjawab:
Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga dan sahabat-sahabatnya, juga sesiapa yang mengikuti baginda hingga hari pembalasan.
Tidak ada yang benar daripada hadis-hadis kelebihan bulan Rejab kecuali kedudukannya sebagai bulan haram yang disebut oleh Allah ta'ala di dalam al-Quran, iaitu bulan Rejab, Zulqaedah, Zulhijjah, dan Muharram yang merupakan bulan-bulan mulia.
Tidak terdapat satupun hadis sahih berkaitan kelebihan bulan Rejab, kecuali hadis hasan berikut:
"Nabi saw banyak berpuasa pada bulan Sya'ban. Apabila ditanya, baginda menjawab Sya'ban adalah bulan yang dilupai manusia antara bulan Rejab dan Ramadhan".
Difahami daripada hadis ini bahawa bulan Rejab mempunyai kelebihannya.
Manakala hadis "Rejab bulan Allah, Sya'ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku" adalah hadis munkar dan sangat dhaif, bahkan ramai ulama menyatakan ianya hadis maudhu', iaitu palsu. Ianya tiada nilai dari sudut ilmiah mahupun agama.
Begitu juga hadis-hadis lain yang berkaitan kelebihan bulan Rejab seperti sesiapa melakukan solat begini maka pahalanya begini, sesiapa beristighfar sekali, maka pahalanya begini... semua ini adalah sesuatu yang berlebih-lebihan dan semuanya adalah dusta.
Antara tanda sesuatu hadis itu palsu ialah apabila terkandung di dalamnya kelebihan yang melampau-lampau. Ulama telah berkata:
'Sesungguhnya janji pahala yang sangat besar daripada amalan yang remeh/kecil atau balasan yang sangat berat bagi kesalahan yang kecil menjadi dalil bahawa hadis itu adlah palsu.
Sebagai contoh kononnya Nabi bersabda:
"Memberi sesuap makanan kepada seorang yang sangat lapar adalah lebih baik berbanding membina seribu masjid"
Kandungan hadis ini sendiri menunjukkan yang ianya palsu. Kerana tidak masuk akal pahala memberi sesuap makanan kepada orang yang lapar lebih besar berbanding pahala membina seribu masjid.
Hadis yang diriwayatkan berkaitan kelebihan bulan Rejab adalah daripada jenis ini.
(bersambung)
Sila rujuk di sini.
No comments:
Post a Comment