Beberapa hari sahaja lagi Muktamar Tahunan PAS ke 54 akan di'startkan' injinnya. Pelbagai kandungan perbahasan akan dapat didengari sepanjang muktamar kali ini, yang akan berlangsung di Ipoh, Perak. Ia sebuah negeri yang tidak dijangkakan akan menang dan ditadbir oleh MB daripada PAS pada pilihanraya lalu. Tapi, itulah kehendak Allah swt. Allah dengan mudah membalikkan hati-hati manusia.
Semua yakin, isu berkaitan muzakarah dan pembentukan kerajaan PR di peringkat nasional turut akan mewarnai ucapan dasar Presiden dan perbahasan ucapan tersebut oleh wakil-wakil negeri. Juga ucapan tema oleh ketiga-tiga dewan serta perbahasan masing-masing.
Apakah akan ada perbezaan antara keempat-empat ucapan ini, khususnya menyentuh isu pembentukan kerajaan baru pada September akan datang, nanti kita saksikan. Jika jelas perbezaannya, akan sekali lagi menjadi bahan permainan media perdana.
Isu Kerajaan Baru
Isu ini telah dibincangkan oleh banyak laman web, termasuk di blog-blog pimpinan PAS sendiri. Ia telah diperkatakan lama dulu. Kini ia muncul semula. Mungkin kerana hampirnya muktamar maka ada yang memilih wajarlah ianya dipanaskan dahulu seketika, sebelum diperbahaskan secara lebih terbuka di muktamar.
Kebimbangan di kalangan orang-orang PAS tertumpu kepada kemungkinan kerajaan itu nanti didominasi kerusi parlimennya oleh orang-orang bukan Islam, apabila Anwar berjaya membawa masuk sekitar 30 ahli parlimen dari Malaysia Timur ke dalam PR, yang majoriti mereka adalah bukan Islam. Maka, dibimbangi kerajaan baru itu nanti, dikuasai oleh bukan Islam.
Saya cuba melihat secara positif terhadap perkembangan itu nanti, tanpa menolak bahawa saya juga berasa bimbang berkaitan hal penguasaan itu nanti. Beberapa perkiraan atau strategi boleh difikirkan bersama oleh pihak tertentu.
Saya melihat, jika berlaku bukan Islam menjadi majoriti di kalangan anggota parlimen PR yang merupakan kerajaan memerintah, ia tidak semestinya memberi kesan langsung kepada kerajaan, iaitu keanggotaan kabinet itu nanti. Dengan kebijaksanaan Anwar dan PKR ( parti dominan sekarang ), maka boleh sahaja membentuk sebuah kabinet yang majoriti aggotanya adalah muslim.
Kedua, bilangan MP non-muslim melebihi muslim di dalam PR tidak memungkinkan berlakunya perubahan kepada kedudukan agama Islam itu sendiri di negara ini. Tidak akan berlaku perubahan pada perlembagaan negara kerana syarat 2/3 yang wujud, menghalangnya. Islam juga merupakan suatu yang terlindung selamat di bawah sistem raja berperlembagaan negara Malaysia, yang sama kali sistem ini mustahil berubah untuk tempoh terdekat ini.
Ketiga, saya akui kerajaan itu nanti bukanlah kerajaan Islam secara dasar dan mutlak. Tetapi banyak unsur-unsur Islam akan ditegakkan bersama, seperti keadilan, amanah, kebebasan dan ketelusan dalam pengurusan kerajaan. Semua ini adalah cukup besar nilainya di dalam agama Islam, malah ia akan memberi ruang sangat besar kepada Islam bernafas dengan lebih baik di negara ini.
Ya, pada zahirnya, kita mungkin kecewa kerana penyertaan PAS di dalam sebuah kerajaan yang masih melakukan banyak maksiat, lantaran bukan sebuah negara Islam yang tertegak, namun kita juga perlu sedar bahawa penarikan kita nanti akan terus mengekalkan Malaysia sebuah negara yang sukar untuk Islam sebenar bernafas dengan baik, selain segala maksiat yang kita saksikan kini berterusan.
Islam adalah agama untuk dibawa kepada masyarakat, teman dan lawan, bukan agama untuk kelompok 'kita' sahaja, yang mana kita mengasingkan diri daripada kelompok non-islamik semata-mata untuk kita berasa selesa dengan amalan kita. Lantaran, jika ini terus kekal, maka sukarlah Islam diterjemahkan secara betul di tengah masyarakat, kecuali pada kumpulan sendiri dalam bentuk yang sama, tidak berkembang.
Keempat, kerajaan PR, walaupun bukan berasaskan agama, yang sama seperti kerajaan BN, tetapi dengan kebebasan dan ketelusan yang wujud lebih memudahkan Islam bertapak di hati-hati rakyat Malaysia. Walaupun kuasa yang ada tidak mengimplemenkan agama, tetapi ruang yang ada memudahkan PAS masuk ke setiap rumah umat Islam dan bukan Islam di negara ini. Malah Islam boleh diperjelaskan secara betul dan tepat kepada non-muslim. Ia akan berlaku sedemikian apabila dengan mudah kita menggunakan RTM untuk penyebaran Islam sebenar. Malah tanpa halangan lagi, Kelantan serta negeri-negeri PR yang lain akan dibenarkan memiliki stesyen tv sendiri, dan bermacam lagi lah. Senaraikan apa sahaja yang dihalangi oleh BN selama ini, ketika itu, tidak lagi oleh PR. Apakah ini masih lagi merunsingkan kita?
Kelima, sekiranya kerajaan PR berjaya dibentuk, janganlah berharap Islam terus gemilang serta-merta, sebaliknya ia menghasilkan kesempatan dan peluang besar untuk PAS dan para pendakwah bekerja keras menyampaikan Islam sebenar. Saya percaya, kondusi negara di bawah kerajaan PR nanti lebih mempercepatkan pembentukan kerajaan Islam sebenar bagai yang dicita-citakan oleh pejuang PAS, apabila Islam sudah difahami sebaiknya oleh majoriti masyarakat, termasuk kelompok totok Umno di mana sahaja.
'Demand'
Terakhirnya, PAS pada bila-bila masa sepanjang pentadbiran itu nanti adalah merupakan anggota kerajaan yang mempunyai 'demand' tersendiri. Langkah PAS mewawarkan isu muzakarah sebelum pembentukan kerajaan PR adalah satu strategi yang sangat tepat dan bijak. Ini andaian saya, dan tahniah kepada kepimpinan parti yang merancang. Kini, PAS kekal setia dalam PR, dan dalam masa yang sama setiap anggota PR yang lain sentiasa berhati-hati dalam menjaga hubungan bersama PAS, khususnya apabila kerajaan baru terbentuk.
BN di Sabah dan Sarawak mungkin kurang berani untuk bermain tarik tali secara lebih keras dengan Umno, namun begitu mereka tetap mendapat beberapa keistimewaan daripada kerajaan Pak Lah. Dengan isu muzakarah baru-baru ini, apakah Anwar masih mahu kesampingkan Islam dan PAS?
Belajar
Apa yang lebih saya bimbangkan ialah, PAS belum ada perancangan dan strategi bagi memanipulasi kejayaan PR untuk kepentingan agama, baik kejayaan di beberapa buah negeri ketika ini, mahupun kejayaan memerintah negara nanti. Ini mungkin kerana kita selalu beranggapan, sekali PAS memerintah, mesti terus membentuk sebuah daulah Islamiah, tanpa mengambil kira pemeringkatan ke arah itu. Kita sepatutnya belajar daripada PKS dan AKP, itu pandangan saya.
No comments:
Post a Comment