8.8.08

Mungkinkah PAS memiliki Dewan Dakwah?

Salah satu sambutan Krismas secara besaran di sebuah pusat membeli belah di Jalan Bukit Bintang.
Bagaimana Islam dibawa oleh PAS kepada mereka yang sentiasa berada di tempat seperti ini?


Ketika berbangkit isu konsep Kepimpinan Ulama di dalam sistem pengurusan PAS beberapa tahun lalu, kita didedahkan persoalan apakah maksud sebenar konsep itu. Ada yang menghuraikan sebagai ulama mengetuai pentadbiran eksekutif parti, iaitu parti mesti diketuai oleh seorang ulama sebagai presiden.


Ada pula yang menghuraikan dengan wujudnya Majlis Syura Ulama maka ia telah memenuhi kehendak konsep tersebut, walaupun presidennya bukan seorang ulama. Di dalam PAS, malah di peringkat pimpinan pusat sekalipun, pengaruh terhadap dua pandangan ini besar.


Kelompok pandangan pertama berhujah antara lain, dalam sistem pentadbiran dan pengurusan parti, kuasa utama berada di dalam tangan pimpinan pusat yang diketuai oleh seorang presiden, bukan pada Majlis Syura Ulama, maka perjalanan parti pada teknikal dan strategi serta perancangannya tidak secara terus dilakukan oleh Majlis Syura Ulama.


Oleh itu sekadar meletakkan ulama di majlis tersebut tanpa mengetuai Jawatankuasa Kerja PAS Pusat tidak menjamin perjalanan PAS sentiasa dan selalu benar-benar berada di landasan Islam yang terkawal dan terlindung serta tidak cukup untuk parti dinobatkan sebagai melaksanakan kepimpinan ulama secara konsisten.


Bagi kelompok kedua pula, cukup sekadar Majlis Syura Ulama menjaga keislaman parti dan kuasa eksekutif perlu diserahkan kepada yang paling layak, sama ada daripada kalangan ulama, mahupun non-ulama. Maknanya, tidak disyaratkan presiden parti mesti seorang ulama.


Tulisan ringkas ini, tidaklah mahu membincangkan hal tersebut di atas, sekadar memulakan dengannya sebagai latar kepada isu yang ingin saya bawa, atau idea yang ingin saya kemukakan di bawah. Dalam hal tersebut, cukuplah saya menjadikan isu muzakarah baru-baru ini sebagai sokongan hujah bahawa pandangan pertama lebih sesuai untuk parti. Saya tambah pula, bagaimana jika suatu hari nanti berlaku pertembungan pandangan antara Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diketuai oleh seorang non-ulama? Bagaimana reaksi ahli bawahan agaknya?


Idea yang ingin saya utarakan dalam artikel ini ialah menggantikan Dewan Ulama PAS Pusat kepada Dewan Dakwah PAS Pusat, kemudian diikuti oleh setiap peringkat. Saya memohon maaf jika perkara ini menyinggung mana-mana ulama PAS, namun ia sekadar pandangan seorang ahli biasa yang tiada apa-apa kelebihan mahupun pengaruh. Ia mula terdetik pada fikiran saya bukan disebabkan oleh tanggapan saya terhadap kelemahan Dewan Ulama atau saya sudah terpengaruh dengan golongan yang pernah mencadangkan Dewan Ulama ditiadakan. Tidak begitu.


Saya melihat, Dewan Ulama berada di landasan yang betul malah sentiasa maju ke hadapan, namun kadang-kadang matlamat dan peranannya kurang jelas. Tidak pada polisinya, tetapi pada praktikalitinya dan realiti yang berlaku. Oleh itu, saya terfikir untuk melontarkan idea ini sebagai satu pilihan kepada parti dan sebagai mengukuhkan peranan parti yang merupakan sebuah jamaah Islam yang syumul.


Antara beberapa perkara yang saya amati dan lontarkan untuk tatapan para pembaca ialah seperti berikut:

  1. Banyak perbincangan, kerja dan peranan di bawah Dewan Ulama ini seperti berulang dengan apa yang dilakukan oleh baik PAS Pusat, Negeri mahupun dewan-dewan yang lain. Kadang-kadang tidak nampak fokus yang jelas dipaparkan oleh dewan ini, selain menjadi tempat berkumpulnya golongan agama pelbagai peringkat usia dan latar belakang untuk bergerak aktif. Bagi ahli yang aktif di peringkat Dewan Pemuda, Dewan Ulama dan PAS Kawasan, mungkin apa yang saya maksudkan ini mudah difahami oleh mereka. Untuk membezakan Dewan Ulama dengan Dewan Pemuda pada ahli dan penyertaannya, tidak juga berlaku sedemikian kerana ramai ulama atau ustaz muda menyertai Dewan Pemuda berbanding Dewan Ulama.

  1. Kewujudan dewan ini boleh memberi gambaran bahawa hal berkaitan perbincangan agama dan hukum-hakam melalui kertas kerja, seminar, konvensyen dan lain-lain hanya 'milik' Dewan Ulama, manakala Dewan Pemuda hanya menjurus kepada isu politik dan kepemudaan semata-mata, yang kadang-kadang menyebabkan para pemuda segan untuk menjuarai isu agama dan dakwah yang sepatutnya dijuarai oleh ulama. Tambahan pula pendekatan Dewan Ulama agak lebih 'kedewasaan' yang boleh memberi gambaran kurang tepat terhadap ulama secara umumnya.

  1. Kewujudannya juga memberi gambaran bahawa kepimpinan ulama itu cukup sekadar wujudnya Dewan Ulama dan Majlis Syura Ulama, tidak perlu lagi presiden mesti seorang ulama. Praktikalnya tidak begitu, ramai ulama aktif di luar Dewan Ulama sehingga akhirnya dewan itu sendiri kekurangan tokoh ulama PAS yang mampu memperkasakan dewan tersebut atau kesibukan dengan pelbagai jawatan menghalang fokus kepada dewan ini, yang akhirnya timbul pula pertanyaan apa perlunya Dewan Ulama ketika ramai ulama berada di peringkat negeri dan pusat?

  1. Dewan Ulama yang sepatutnya menjuarai isu dakwah dan tarbiah terbeban dengan pelbagai isu politik dan pilihanraya sehingga tugasan utama berdakwah seperti tidak dijadikan sebagai agenda utama. PAS bangga dengan dirinya sebagai sebuah gerakan dakwah dan politik sekaligus, tetapi realitinya ia lebih kepada politik. Bermula daripada pimpinan pusat, negeri, kawasan dan dewan-dewan semuanya menonjol dengan kerja parti dan politik yang akhirnya tugasan dakwah secara fokus kepada masyarakat muslim dan non-muslim terabai. Maksud saya ialah kerja secara berfokus oleh sebuah dewan, bukan kerja individu para ulama yang berdakwah di sana-sini. Jika itu yang dibanggakan, maka akan ada yang bertanya, apa perlunya dewan?

  1. Apabila Dewan Ulama wujud berasaskan identiti, maka dewan ini mesti melakukan semua perkara. Bermula daripada kerja pentadbiran dewan, politik, pilihanraya, dakwah, tarbiah, kebajikan dan lain-lain, sehingga sekali lagi antara tugasan utama seorang rasul diutus, ulama mewarisi, iaitu berdakwah seperti terabai. Bukankah dengan wujudnya sebuah dewan yang memberi fokus kepada kerja-kerja dakwah akan mampu menyelesaikan persoalan tersebut, di samping dapat mengukuhkan lagi identiti PAS sebuah gerakan politik dan dakwah serentak.

  1. Kewujudan Dewan Dakwah PAS akan memberi ruang yang lebih besar kepada golongan pencinta dakwah yang letih dan pening dengan permainan politik untuk bergerak lebih aktif di dalam PAS. Islam mengharamkan politik terasing tetapi Islam tidak pernah mewajibkan semua individu terlibat di dalam kerja politik Islam, sama seperti Islam mengharamkan pengasingan ekonomi tetapi pernahkah kita merasakan kewajipan terlibat di dalam ekonomi Islam secara langsung? Tidakkan!

  1. Setiap orang ada peranannya ke arah keredhaan Allah. Ada pihak yang aktif berpolitik, dan ada pula yang enggan bermain politik namun akan aktif bersama PAS dalam kerja-kerja dakwah secara fokus melalui Dewan Dakwah. Itulah yang saya harapkan berlaku, kerana ramai yang tidak berbuat apa-apa di dalam PAS kerana ingin menjauhkan diri daripada menjadi politikus. Kini, menyertai mana-mana dewan, terpaksa bermain politik sedangkan ia bukanlah minat semua individu muslim. Jangan silap memahami saya, penglibatan dalam jamaah dan parti adalah wajib bagi semua individu tetapi menjadi politikus bukan kewajipan semua orang. Maka saya mencadangkan Dewan Dakwah ini sebagai platform untuk mereka di dalam parti, daripada mengasingkan diri daripada parti sehingga bekerja sendirian.

  1. Untuk Dewan Dakwah itu nanti bergerak secara terbaik, perlulah kepada pengkajian dan perbincangan lebih lanjut dan detil. Yang pastinya ia sama sekali tidak akan menghalang para ulama untuk bergerak aktif dalam politik sebagai politikus, kerana mereka boleh sahaja bergerak di mana-mana platform parti, malah ulama sebegini boleh sahaja aktif di dalam politik dan di dalamk erja dakwah. Manakala golongan non-ulama yang mahu mencurahkan keringat dalam kerja dakwah, inilah tempat terbaik untuk mereka.

Para pembaca yang dirahmati Allah, saya sekadar memberikan lontaran idea, lantaran mengharapkan kerja dakwah yang berfokus dan tersusun oleh parti, kerana ramai dan ramai para ilmuan dan ulama PAS yang terabai begitu sahaja ilmu dan kepakaran dakwah mereka kerana masing-masing yang mahu aktif di dalam jamaah dipaksa menjadi politikus, bukan diberi pilihan untuk berdakwah secara lebih berfokus. Sekali lagi, mohon maaf kepada para ulama yang membaca.


3 comments:

Anonymous said...

Saudara ! kalau diwujudkan dewan dakwah...maka tak adalah back up system untuk majlis syura dan kepimpinan ulama...'backup system' ni penting dalam mana2 operasi...على الأقل ... هذا الجناح سيكون خط الدفاع الأخير لمجابهة أيّة المحاولة لاسقاط صفوف العلماء في قيادة الحزب

Elbaritii said...

Naam, syukran 'ala al-ra'yi. Pengukuhan kepada kepimpinan ulama boleh sahaja dengan pengukuhan Majlis Syura dan diberikan lebih kuasa dalam hal2 tertentu. malah boleh sahaja dilembagakan sebagai satu polisi bahawa presiden mesti seorang ulama. Ini tidak akan disuarakan oleh Presiden, tetapi boleh sahaja oleh Dewan Pemuda, kita nantikan suatu masa nanti.

Dewan Ulama walaupun kita harapkan sebagai back up system, realitinya ia tidak lebih sebagai sebuah dewan yang berada di bawah AJK Pusat yang jika berlaku kelompongan pada konsep kepimpinan ulama, tidak dapat berbuat apa-apa, kecuali satu undian di dalam mesyuarat pusat.

Wallahu a'lam. Terima kasih atas pandangan.

Anonymous said...

عل أية الحال ... لا بد من تقوية شوكة العلماء ...التغيير بالاسم ما بأثّر عل الساحة السياسية فى ماليزيا... الاسم مجرد الاسم و سوف يبقى اسما بلا معنى... المهم المسمّى! الجوهر فبل العرض ! التغيير الروحى قبل التغيير المادّي! المسمّى فبل الاسم .... والله هعلم