21.8.08

Sembang Tentang Rundingan

Alhamdulillah, walaupun emak saya diserang sesak nafas lagi, beberapa hari sebelum muktamar, keadaannya tidak seteruk beberapa bulan lalu sehingga beliau di'icu'kan.

Dengan keadaannya yang semakin pulih, saya sempat hadir ke muktamar di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Banyak peristiwa dan saat-saat menarik muktamar tidak sempat saya saksikan kerana sampai di muktamar hanya pada jam 3.00pm hari Sabtu. Lagipun saya juga perlu bersiar-siar di kawasan gerai muktamar.

Muktamar kali ini memaparkan sedikit pergolakan dalam PAS yang mana ianya biasa berlaku dalam mana-mana parti politik. ia hanya pergolakan pada memilih satu tindakan terbaik terhadap satu isu hangat. Pergolakan tidak puas hati terhadap sesuatu strategi atau kerja runding pimpinan. Pergolakan dalam mempertahankan dasar parti dengan kaca mata berbeza dan lain-lain.

Ia adalah pergolakan biasa-biasa sahaja tahapnya dan biasa berlaku kepada sebuah parti yang sudah seusia PAS. Ia biasa apabila kebebasan bersuara tidak disekat oleh PAS. Alhamdulillah, pergolakan itu tidak membesar dan tidak bernanah. Ia direda dan disejukkan dengan kebijaksanaan pimpinan memberi penjelasan, khususnya oleh empat pimpinan utama parti.

Daripada semua kejadian berkaitan pergolakan yang saya saksikan, saya menyedari ada satu perkara atau seni yang mana jika dijuarai oleh semua yang berkenaan secara bijak, maka ianya tidak sempat untuk bergolak. Itu yang saya belajar daripada apa yang berlaku selepas pilihanraya lalu, sehingga kepada saat muktamar di Ipoh. Apa yang saya maksudkan ialah seni berunding.

Saya memang tidak mahir dalam berunding dengan pihak yang bertelagah, atau menjadi pihak ketiga. Saya akui kelemahan itu. Tetapi tidaklah bermakna saya lagsung tiada idea untuk mencadangkan bentuk perundingan yang wajar dilakukan.

Tetapi di sini, saya sekadar ingin mengingatkan kepada rakan-rakan dan sahabat-sahabat bahawa setiap pergolakan yang telah berlaku, insyaAllah tidak akan berlaku jika kita mahir dalam berunding, selepas Allah. Sekurang-kurangnya ia tidak lama atau dalam tahap yang kecil.

Saya melihat apa yang telah saya saksikan, bukanlah setiap pergolakan itu terlalu rumit atau sukar dileraikan. Pokok pangkalnya, apakah mereka yang terbabit telah berunding? Jika sudah, apakah perunding itu adalah perunding yang mahir serba-serbi seni runding?

Saya tahu ia bukan mudah. Tetapi saya tetap ingin tegaskan juga, mulai sekarang, setiap yang aktif dalam politik dan setiap yang mahu menjadi ahli politik, perdalamkanlah seni runding kalian. Sama ada ingin berunding dengan sahabat separti, rakan sepakatan mahupun musuh politik. Mahirkan setiap senjata runding, menarik dengan lembut, melepas dengan ikatan, menawar dengan manisan, mengancam dengan senyuman, demi satu perjuangan, bukan satu tubuh badan.

Berunding biarlah berstrategi, bukan beremosi. InsyaAllah, kekalutan tidak sempat menjadi pergolakan.

No comments: