24.10.08

Biarkan Anwar. PAS Perlu Ke Dunia Nyata

Cuba kita pejamkan mata. Lupakan ABIM yang dipimpinnya dahulu. Lupakan jawatan menterinya dahulu. Lupakan reformasi. Lupakan penjara Sungai Buloh. Lupakan Pakatan Rakyat hasil daripada kemenangan pilihanraya lalu. Lupakan kadang-kadang dia banyak di luar, dan "kita" yang berkorban berjumpa orang bandar dan kampung. Lupakan.

Buka mata dan lihatlah wajah Ketua Pembangkang di Parlimen bermain kata-kata, tanpa semua tadi.

Lihatlah kenyataannya. Bermula tarikh keramat dalam bulan April, kemudian 16 September, seterusnya bila-bila masa sahaja, akhirnya sebelum hari raya Aidil Adha. Pernah juga dikatakan, tidak lebih daripada dua bulan. Kini, nanti dahulu. Jangan gopoh. Ekonomi tenat. Mari kita bantu kerajaan sekarang demi ekonomi. Aduh!

Lojik apa Ketua Pembangkang lontarkan apabila cuba menyelamatkan ekonomi negara dengan membantu kerajaan korup sekarang? Bukankah menyelamatkan negara daripada pemimpin yang merompak wang rakyat di KWSP, membeli Eurocopter dengan harga "orang bodoh" adalah satu cara terbaik dan perlu disegerakan?

Apa pandangan pemikir PAS? Jika kita berhujah, jika tidak sekarang akan sampai masanya sehingga pilihanraya akan datang, maka apa bezanya kita dengan orang yang pandang ringan teori "rampasan kuasa" Anwar Ibrahim. Apa yang pemikir PAS fikirkan untuk penyatuan fikrah pimpinan parti? Masih tegar dengan impian Anwar atau turun ke bumi nyata, jayakan agenda sebenar rakyat di negeri Pakatan Rakyat?

Biarlah Anwar dengan perancangannya. Siapa boleh maklumkan walau satu nama sekalipun, orang yang telah bersumpah akan menyeberang ke perahu PR?

Maka, kenapa kita pula yang bersengketa? Sekali lagi, marilah kita ke dunia nyata. Agenda kita masih banyak.

1 comment:

Anonymous said...

Bersama Anuar adalah salah satu dari usaha luaran PAS didunia nyata. Semua usaha luaran dan dalaman perlu digerakan dan disokong. Gagal untuk merancanf adalah merancang untuk gagal