19.11.08

CERPEN - ANU DAN DAULAT

Karya Abu Ihsan


Malam itu Anu cukup berpuas hati. Tidur yang ingin diambilnya, walau untuk hanya 3 jam sahaja, memang akan dipenuhi dengan impian yang manis-manis, indah dan bertenaga.

Dia masih ingat ketika mesyuarat tadi, semuanya penuh ceria dan bersemangat untuk mendirikan daulat. Masing-masing diberi tugas yang besar. Peranan mereka bukan alang kepalang. Ada yang menebas, ada yang menanam cerucuk dan ada yang mengumpulkan simen yang dibeli di sana sini untuk mencukupkan kuantitinya.

Anu ditugaskan untuk mengumpul dana. Dia sangat gembira dengan kerja ini. Bukan untuk riya' atau menunjuk bukti, tetapi untuk membina daulat. Dia tahu, jika dia gagal, gagallah daulat. Jika dia duduk diam sahaja di rumah, tiada siapapun tahu. Kalau dia tak ambil pot pun, bukan ada siapa yang nak marah. Tapi itu bukan sifat Anu.

Anu sungguh bersemangat, walaupun tugasnya adalah tugas paling penting. Paling kritikal. Paling susah. Mana nak dicari duit di tengah bendang yang terbentang luas ini. Kalau nak diharapkan hasil tuaian, masih jauh lagi. Yang lepas-lepas pun tidak berhasil sangat. Ramai orang kampung kecewa. Tapi itu bukan pembunuh semangat Anu.

Ani, ketua kaum ibu mereka juga lain macam semangatnya. Kerjanya kerja orang lelaki. Kerja yang dibuat oleh orang-orang yang belum mencecah usia 40 tahun. Tapi, Ani yang berusia 59 tahun itu, sanggup menerima tugas yang dicadangkan oleh Tok Kepala mereka. Kerja menebas tapak daulat. Kalau makcik Ani pun begitu luar biasa semangatnya, apatah Anu yang masih muda remaja.

"Kenapa Tok Kepala cadangkan kerja itu kepada makcik Ani?" tanya Anu dalam meeting. Tok Kepala hanya senyum. Tidak menjawab. Sebaliknya dia menyambung terus pengagihan tugas, selepas Ani setuju, Anu setuju dan semuanya setuju.

Anu masih berfikir tentang itu. Sepanjang meeting, dia ceria, bersemangat tetapi sukar melupakan kenapa Ani yang dipilih. Mukanya kejap-kejap melungu, kejap-kejap senyum sengeh seorang diri. Tok Kepala sedar dari awal lagi.

Pada akhir meeting, di kaki tangga Tok Kepala membisikkan ke telinga Anu, " saya mahu dapatkan rahmat daripada syura. Keputusan tadi terbukti syura dihargai. Keputusan dibuat kerana syura, bukan kerana Ani layak. Saya boleh beri orang lain yang lebih layak, tetapi bimbang kerja itu diikuti oleh sifat ujub seseorang, terlalu yakin, sehingga lupa syura dan Tuhan syura. Kerja menebas kerja asas daulat kita. Saya mahu ia dilakukan oleh Ani atas rasa rendah diri, bersungguh-sungguh, tawakal yang tinggi dan mendapatkan bantuan orang lain. Dengan itu, rahmat akan bertapak pada tapak daulat kita."

"Bayangkan ketika Ani menebas, Ana yang sibuk membuat air akan terus menghulurkan air ke mulut Ani. Apu yang sibuk mengangkat simen, akan ringan tulang mengutip rumput-rumput Ani. Kamu pula, saya percaya akan membantu makcik Ani menebas, setelah letih mencari dana. Bukankah itu kerjasama dan persaudaraan? Kamu tidak ada kaitan dengan dia, tetapi ikatan itu terbentuk dengan kerjasama" Panjang lebar Tok Kepala membisikkan ke telinga Anu yang sudah lama tidak berkorek itu.

Panjang Anu termenung. Berisi rupanya Tok Kepala mereka ini, fikir Anu. Setiap tugas, ada hikmahnya. Ada tiga empat matlamat, bukan satu sahaja, untuk siapkan kerja sahaja. Dia semakin menyayangi Tok Kepala.

"Tok!" panggil Anu.

"Ya Anu," ringkas.

"Kenapa saya dilantik mencari dana sedangkan saya tiada pengalaman perniagaan?" luah Anu yang dari awal ingin bertanya soalan itu.

"Anu, bukankah Tuhan memesan, orang yang kuat dan amanah dilantik jawatan? Kamu itu orang amanah, tidak tahu sombong, tidak biasa menipu, tiada kepentingan diri, dan muda remaja, kuat untuk ke sana ke sini meminta derma. Saya tak mahu orang yang kaya, orang niaga, tetapi tiada sifat rendah diri untuk meminta derma." Tok Kepala jelas berjela, tetapi tidak sepanjang tadi.

" Apakah kita hanya bergantung kepada derma tok? Bukankah berniaga itu sumber dana terbaik?" soal Anu.

Dengan senyum Tok Kepala menambah dengan penuh semangat, sambil membetulkan ekor serbannya, "Anu, kerja kita bukan setakat siap daulat. Ya, sekarang daulat belum terbina lagi. Meminta derma itu perkara biasa. Nanti bila daulat dah siap, cat dah berkilat, bumbung dah bergenting, laman dah berhias, mampukah orang berniaga terus menjaga daulat kita dengan mengumpul dana daulat dan lupakan hasrat untuk mendapatkan anugerah menebas rumput sekeliling daulat, ibarat kerja ikhlas yang dibuat Ani? Satu lagi, biarkan orang berniaga buat kerja lain dalam bina daulat. Sambil itu dia boleh niaga. Untung, kamu minta lah. Bukankah daulat dapat untung dua kali. Satu kerja dia, dua duit niaga dia"

Anu terus mengangguk dan faham benar pemikiran Tok. Dia tahu, Tok pandang jauh. Zaman susah bina daulat semua nampak beramanah dan konsisten. Zaman daulat dah siap, tidak semua mampu terus sederhana dengan cara hidup sebelum daulat siap, cara kerja sebelum daulat cantik dan cara membantu, bergotong royong sebelum daulat kukuh, macam yang Tok harapkan Ani dibantu.

Anu tak mahu fikir lagi. Dia tahu Tok ada wawasan jelas untuk daulat. Bina daulat bukan sekadar bina daulat, tetapi bina persaudaraan dalam daulat, bina manusia dalam bina daulat dan bina ikhlas, rendah diri dan tidak sombong dalam menebas rumput bersama Ani.

Anu juga tahu, semua keputusan dibuat secara berbincang, bermesyuarat dan berterus-terang. Semua dijelaskan dan semua orang tahu keputusannya. Hikmahnya, hanya yang bertanya akan dapat, macam Anu.

Anu sudahpun selesai solat witirnya. Jam sudah menunjukkan jam 2 pagi. Dia seronok malam malamnya dikorbankan untuk Islam. Isterinya juga faham. Jika dia rasa tak sedap hati, akan diajak isterinya berbincang, sebelum isterinya merungut kerana sibuk.

Anu tersenyum sebelum tidur. Hampir tergelak. Isterinya pelik.

"Hai abang, tadi nampak semangat dalam meeting tadi, kenapa tiba-tiba baca doa tidur tergelak pulak?" korek isterinya.

"Bukan apa isteriku, kan dalam meeting tadi Tok Kepala sergah Putu kerana tertidur dalam meeting, sehingga merah padam muka Putu."

"Ya, saya ingat abang"

"Tahu apa Tok bisik pada abang bila abang tanya apa hikmahnya?"

"Mana le saya tahu abang." sambil isteri Anu memeluk Anu, bukan menggaru kepala yang tidak gatal, kerana itu tidak berfaedah.

"Dia kata dia manusia biasa, hahaha." tergelak Anu mengenangkan pengakuan Tok yang juga ada emosi manusia biasa.

Isteri Anu makin rapat, sambil menambah "saya rasa ada hikmahnya yang dia suruh kita fikir abang, bukan setakat dia tidak terkawal geramnya pada Putu. Saya fikir Tok mahu semua tersentak dan berfikir bahawa kerja bina daulat ini kerja perjuangan. Kerja serius. Takkanlah boleh tertidur dalam meeting kerja besar macam ini" jelas isteri Anu diakhiri dengan sama-sama mereka membaca doa " Ya Allah jauhkanlah kami dari syaitan..."

Anu gembira dapat tunaikan kewajipannya siang dan malam.

Malam itu Anu termimpikan daulat yang cantik, ibarat istana indera kayangan yang boleh digunakan untuk masyarakat setempat solat, ceramah, tahlil, sukan, mesyuarat dan memasak-masak di dalam dan sekitarnya. Daulat itu terletak di tengah bendang nan menghijau itu. Binaannya sangat kukuh hasil persaudaraan penduduknya, yang semuanya manusia biasa.

2 comments:

Anonymous said...

wah... tak sangka ustaz boleh tulis cerpen.

:)

Elbaritii said...

HEHEHE..ANA TENGAH PENING. MCM DR ASRI KUT, TIME SERABUT DIA LAJU MENULIS. HIHIHI :0