26.11.08

MENGURUS KRISIS SEBAGAI MODUL TARBIAH

Islam adalah syumul. Ia merangkumi segalanya. Ada teorinya jelas, namun tak kurang juga teori yang perlu diselongkar terlebih dahulu untuk terbentuk sempurna.


Jika ilmu perubatan, kepimpinan, pentadbiran berjaya diselongkar oleh pengkaji ( muslim dan non-musim ) daripada khazanah tafsir al-Quran dan syarah matan hadis, sudah tentu ilmu berkaitan kemanusiaan juga mudah ditemui.


Tetapi sangat jarang kita mendengar kupasan mendalam seni mengurus krisis manusia oleh tokoh agamawan negara. Itu berlaku mungkin kerana kita sukar menemuinya secara pakej yang tersedia lengkap di dalam mana-mana kitab silam. Tidak pernah lagi saya mendengar "bab pengurusan krisis" di dalam kitab-kitab fiqh tradisional, melainkan ianya tajuk bagi pengkaji-pengkaji moden di universiti.


Belum juga ketemu, kaedah menangani krisis sebegini dihurai detil dalam mana-mana bab kitab hadis Nabi saw secara tersusun dan lengkap. Apa yang ada, terpisah-pisah di sana-sini.


Kita tahu Islam benarkan isteri 'mencuri' harta suami yang bakhil, untuk keperluan diri dan anak yang sangat mendesak. Kita tahu Islam benarkan mereka-reka kebaikan antara dua yang bertelagah. Kita tahu hadiah-menghadiah merapatkan ukhuwwah, setelah wujudnya sifat berkasih sayang.


Itulah contohnya bagaimana Islam telah menyediakan kaedah-kaedah untuk mengurus manusia dan krisis manusia. Ia seharusnya difahami dan dihayati baik oleh umat Islam, kerana kita sebenarnya sudah ada asas rujukan yang baik.


Tetapi, kenapa ada yang mendakwa, PAS lemah dalam mengurus krisis dalaman, sedangkan ianya sebuah parti Islam yang mendasari al-Quran dan sunnah? Apakah kerana ilmu sebegini jarang-jarang disentuh dalam bentuk yang tepat dan betul semasa proses pentarbiahan dalam parti ini?


Saya boleh menerimanya. Sukar menafikan bahawa ramai ahli-ahli seperti sukar mengurus krisis dalaman. Kita tidak biasa dan boleh jadi belum bijak menanganinya. Apa silap kita?


Seringkali apabila wujud krisis, kita hanya mengguna kalimah sabar, berlapang dada, wala', taat dan seumpamanya sebagai cadangan penyelesaian. Jika masih berterusan dengan krisis, kita lemparkan mereka dengan andaian biasa, iaitu 'kurang tarbiah'.


Jika kita ahli tarbiah, maka soalan yang sepatutnya kita kemukakan ialah berbentuk memuhasabah diri sendiri berbanding melihat pihak bertelagah. Betulkah tarbiah kita? Apakah kita sudah mendidik mereka dalam mengurus krisis sebegitu? Kita pula, pandaikah mengurus krisis itu?


Saya percaya, ilmu mengurus krisis perlu disediakan oleh pimpinan dalam bentuk yang betul, lengkap serta dikupas lebih detil dalam silibus tarbiah kita, bukan sekadar mencadangkan ahli supaya bersifat mahmudah serta ditambah nilainya dengan saranan memperbanyakkan zikir dan solat contohnya, sedangkan kaedah mengurusnya tiada.


Apabila seorang sohabiah mengadu suaminya kedekut, Nabi Muhammad saw memesankan " ambillah seperlunya daripada harta suami kamu untuk diri dan anak kamu." Bukan 'bersabar dan berdoa' sahaja, atau 'panggil suamimu untuk aku nasihat dia'. Tidak pada hadis ini.



2 comments:

Dr. Muhamad Faisal Ashaari said...

Boleh tanya orang salafi ni cara rasulullah mengurus krisis. Tentu banyak cara rasulullah menunjukkan caranya.

Elbaritii said...

Kena tanya salafi moden la. Ala, ustaz suruh aje student ust buat tesis atau xcmn tajuk tuh.

Lps tu, bukukan dan jual kat muktamar tahun depan.